Memaparkan catatan dengan label langkah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label langkah. Papar semua catatan

Ahad, Ogos 24, 2014

PRK PENGKALAN KUBOR: UMNO KELANTAN MULA ATUR LANGKAH

KOTA BAHARU, 23 Ogos (Bernama) -- Umno Kelantan kini mula mengatur langkah untuk bersiap siaga dalam menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar akibat kanser pada Rabu lepas. Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata beliau akan bertemu anggota jawatankuasa empat peringkat Umno bahagian itu bagi mengatur langkah seterusnya. "Segala laporan mengenai DUN Pengkalan Kubor itu akan saya bentangkan kepada Presiden dan Timbalan Presiden Umno malam esok, dan pada Jumaat pula, akan membentangkan laporan yang sama kepada Majlis Tertinggi Umno. "Bermula Sabtu depan, gerak jentera parti akan mula bekerja secara habis-habisan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kelantan hari ini. Noor Zahidi, 57, yang meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China pada 5.45 pagi Rabu lepas, merupakan ADUN Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon BEBAS Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi. Mengulas ciri calon yang akan dipilih, Mustapa berkata paling penting calon mesti boleh diterima pengundi, disenangi rakyat, berpengaruh dan mampu memenangi kerusi DUN itu. -- BERNAMA

Isnin, Julai 11, 2011

LANGKAH POLIS TIDAK TANGKAP ANWAR WAJAR


Langkah polis tidak menangkap Anwar Ibrahim dalam perhimpunan haram dua hari lepas wajar kerana polis tidak mahu dia disanjung sebagai wira. Sebaliknya semua kena tangkap termasuk Haji Hadi, Mat Sabu, Ambiga sebaliknya orang tertanya-tanya kenapa Anwar tidak ditangkap.

Itulah harapan Anwar supaya dia ditangkap kerana mahu memohon simpati dunia kononnya kerajaan BN zalim.Tapi pelakon terbaik ini sempat cipta isu kononnya dia cedera dan masuk hospital. Memang hebat lakonan Anwar.

Apa yang berlaku pada hari Sabtu lepas menunjukkan orang Melayu yang mudah diperalatkan oleh Ambiga. Kenapa majoriti Melayu yang hadir sedangkan pejuang murtad yang anjurkannya? Mana pergi orang Cina dan India. Orang Melayu memang sudah berjaya diperalatkan oleh Ambiga kononnya mahu hantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong sedangkan peluang untuk menghadap Agong sudah ada tiga hari sebelum itu.

Motif Bersih mahu memalukan Malaysia di mata dunia. Gambar ini disiarkan oleh CNN kononnya Malaysia sudah jadi seperti Mesir rakyat merusuh kerana marahkan BN.Sebaliknya langkah tegas polis menghalang mereka masuk Kuala Lumpur berjaya.

Tahniah kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang berjaya menyekat ratusan ribu berada di Stadium Merdeka. Tidak seperti 2007 di mana perhimpunan Bersih gagal ditangani oleh bekas Menteri Dalam Negeri, Pak Lah sendiri dan bekas KPN, Tan Sri Musa Hassan.

Seperti kata Ibrahim Ali, Ambiga wajar dilucutkan kerakyatan kerana gagal mematuhi arahan Agongs supaya jangan berkumpul secara haram. Kenapa mereka tidak berkumpul di Stadium Melawati, Shah Alam kerana mereka bukannya mahu bercakap tentang pilihanraya tetapi untuk memalukan kerajaan Malaysia di mata dunia.

Khamis, Julai 09, 2009

SEMUA PUJI LANGKAH MUHYIDDIN


Pemimpin-pemimpin daripada pakatan pembangkang menyambut baik keputusan kerajaan untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) berkuat kuasa pada 2012.


Ketua Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang, Yusmadi Yusoff berkata, beliau menyokong penuh keputusan itu kerana partinya telah menanti-nantikan keputusan itu sejak sekian lama lagi.


Katanya, pihaknya menyeru kerajaan agar mengeluarkan kertas putih berhubung keputusan itu memandangkan pelaksanaan PPSMI sejak 2003 lalu telah memakan kos yang begitu banyak.


''Pengeluaran kertas putih itu dapat menerangkan matlamat utama pemansuhan PPSMI yang dilihat tidak mempunyai motif politik.


''Ia juga dapat memberi penjelasan secara telus kepada pihak-pihak yang tidak lagi berpuas hati dengan keputusan baru kerajaan itu,'' katanya ketika dihubungi semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan berhubung mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan kebangsaan yang akan diajar dalam bahasa Melayu berkuat kuasa pada 2012.


Manakala, pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pula dalam bahasa ibunda masing-masing.


Tambah Yusmadi lagi, kini tanggungjawab kerajaan adalah memberi penjelasan tepat kepada semua pihak termasuk ibu bapa dan orang ramai berhubung pemansuhan PPSMI tersebut.
''Tindakan itu akan membantu kerajaan untuk melaksanakan keputusan baru tanpa apa-apa halangan daripada beberapa pihak yang masih menyokong dasar PPSMI,'' jelasnya.


Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, dasar yang baru diperkenalkan itu membuktikan bahawa kerajaan prihatin terhadap masyarakat negara ini.


''Akhirnya kami berjaya dalam perjuangan kami. Inilah yang kami menanti-nantikan selama ini,'' jelasnya.


Sementara itu, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang menyifatkan keputusan Kabinet itu bukan penyelesaian mutlak kerana ia tidak bersifat serta-merta.


Menurutnya, apa yang perlu ialah keputusan yang berani melalui pendekatan pendidikan baru dengan matlamat untuk meningkatkan pencapaian murid dalam Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.


''Tentu ada cara untuk capai matlamat ini setelah PPSMI gagal. Mungkin perlu ada cara yang berbeza kepada setiap aliran. Sebab murid SJKC mantap dalam Matematik dan Sains manakala untuk aliran kebangsaan lemah dalam ketiga-tiga subjek itu.


''Jadi perlu keputusan berani dan fleksibel ikut keperluan aliran. Ada tinjauan pendapat kata majoriti ibu bapa Melayu di bandar mahu PPSMI diteruskan, mungkin kita perlu fleksibel. Patut beri ibu bapa hak memilih PPSMI atau sebaliknya. Tak boleh tangguh sampai tiga tahun,'' ujarnya.

Sabtu, April 04, 2009

MENGIKUT JEJAK LANGKAH DR. MAHATHIR


28 tahun lalu ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad mula menjadi Perdana Menteri ketiga pada 16 Julai 1981, beliau telah mengumumkan beberapa langkah yang agak mengejutkan rakyat Malaysia termasuk menghalalkan buku Malay Dilemma yang dikarangnya pada tahun 1969. Buku itu kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu berjudul Dilema Melayu.


Menjelang hari raya aidilfitri tidak lama kemudian, beliau membebaskan ramai tahanan ISA termasuk Tan Sri Abdullah Ahmad, Tan Sri Samad Ismail dan ramai lagi.


Nampaknya Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak yang angkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam semalam 3 April telah mengikut jejak langkah Dr. Mahathir dengan membebaskan 13 tahanan ISA termasuk dua orang peguam Hindraf. Selain dari itu beliau berjanji mengkaji semula ISA dan menarik balik penggantungan akhbar Harakah dan Suara Keadilan.


Ini menunjukkan Najib sebagai Perdana Menteri yang baru amat terbuka dan banyak lagi yang bakal dirubah dalam UMNO termasuk menghapuskan sistem kuota dalam pertandingan UMNO. Najib akan dilihat sebagai Perdana Menteri yang cemerlang jika beliau berjaya menghapuskan kuota ini yang diperkenalkan oleh Dr. Mahathir dan diteruskan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.


Dua hari lepas, di The Mall, seorang ahli jawatankuasa PERKASA, Ahmad Jadawi Ghazali begitu yakin bahawa Najib tidak akan angkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 3 April. Katanya, Pak Lah yang pergi menghadap Yang Dipertuan Agong berkata terpulang kepada tuanku bila ditanya pemberita mengenai adakah Najib akan angkat sumpah pada keesokan harinya.


Jadawi atau dikenali dengan panggilan Jad turut berkata bila Najib keluar dari istana, mukanya merah dan enggan bercakap kepada pemberita. Gambaran Jad seolah-olah Najib tidak diperkenan oleh Yang Dipertuan Agong sebagai Perdana Menteri yang baru.


Pada Oktober 2003, Jad juga yang mengatakan bukan Pak Lah yang angkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang kelima tetapi Tengku Razaleigh walaupun Pemangku Presiden UMNO ialah Pak Lah dan bukannya Ku Li. Cakap-cakap orang seperti Jad nampaknya berkesan. Pada 2 April lalu, jam 2.30 petang saya menerima panggilan dari stringer WATAN di Muar, Tukiran Hitam yang bertanya benarkan Najib tak jadi angkat sumpah Perdana Menteri esoknya.


Seluruh negara gempar dengan cakap-cakap orang seperti Jad ini. Sebab itu Naib Presiden UMNO yang baru, Hishamuddin yang juga sepupu Najib kesal dengan sms yang disebarkan pembangkang kononnya Najib tidak jadi angkat sumpah sebagai Perdana Menteri semalam.


Petang semalam sekali lagi ketika berada di The Mall dengan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Rahim Hussin; bekas Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Kemaman, Mat Dalam Awang; Sabari Jusoh, Zainal, Mat Gonjeng dan Mat Cincin,tiba-tiba datang sepupu Najib, Azmi yang secara sinis perli bahawa Najib belum angkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Apa yang berlaku di istana pada pagi semalam hanya raptai sahaja. Azmi perli orang seperti Jad yang begitu yakin istana menolak Najib menjadi Perdana Menteri yang baru.


Yang Dipertuan Agong pernah mencipta sejarah menolak pilihan Pak Lah sebagai Menteri Besar Terengganu pada tahun lepas.Baginda menolak pilihan Pak Lah, Idris Jusoh kerana mahu Ahmad Said dilantik Menteri Besar yang baru. Jadi masakan Yang Dipertuan Agong boleh menolak perlantikan Presiden UMNO yang baru sebagai Perdana Menteri kerana Najib telah dipilih oleh para perwakilan UMNO sebagai Presiden yang baru tanpa bertanding. Oleh itu mustahil istana mahu berkrisis dengan UMNO pula.


Justru itu teori Jad tidak menjadi kenyataan tetapi cakap-cakap Jad telah menyebabkan rakyat terpengaruh dengan teori ini. Oleh itu tak perlulah kita layan orang seperti Jad kerana ternyata beliau yang banyak menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat.


Bila bercakap tentang Jad, teringat saya kepada sms kiriman Sang Kelembai atau Zaharin Mohd. Yassin yang menulis: " Ahmad Jadawi Ghazali kelihatan berlegar di lobi The Mall berpakaian baju melayu merah, seluar kuning,samping hitam dan songkok putih kerana menunggu giliran menukar nota dengan PM, kemungkinan akan diadakan di Hotz Cafe".
Najib,55, bukan orang baru dalam politik. Beliau menjadi ahli parlimen dalam pilihan raya kecil parlimen Pekan menggantikan tempat ayahandanya, Tun Razak yang meninggal dunia pada tahun 1976. Ini bermakna Najib lebih awal dari Pak Lah menjadi ahli parlimen (1978).
Pada tahun 1978, beliau dilantik timbalan menteri tenaga, telekom dan pos. Pada tahun 198o, beliau dilantik timbalan menteri pelajaran di bawah Musa Hitam dan pada tahun 1981, bertugas sebagaiu timbalan menteri kewangan di bawah Ku Li. Pada tahun 1982, beliau dipanggil balik menjadi menteri besar Pahang sepenggal.
Pada tahun 1986, beliau kembali ke pusat sebagai menteri belia dan sukan. Pada tahun 1990, beliau menjadi menteri pertahanan. Pada tahun 1995, beliau menjadi menteri pendidikan. Pada tahun 1999, beliau kembali menjadi menteri pertahanan. Pada tahun 2004, beliau dilantik timbalan perdana menteri. Pada tahun lepas, beliau menjadi menteri kewangan dan kemuncaknya pada 3 April beliau menjadi perdana menteri yang keenam.
Dalam UMNO pula, pada tahun 1978, beliau adalah exco pemuda umno. Pada tahun 1981, beliau menang ahli majlis tertinggi UMNO. Pada tahun 1982, beliau menang naib ketua pemuda tanpa bertanding. Pada tahun 1987, beliau menjadi pemangku ketua pemuda dan setahun kemudian beliau menjadi ketua pemuda tanpa bertanding. Pada tahun 1993, beliau menjadi naib presiden UMNO selama tiga penggal sebelum menjadi timbalan presiden UMNO pada tahun 2004 dan 26 Mac lalu beliau disahkan sebagai Presiden UMNO yang baru tanpa bertanding.
Dengan pengalaman yang luas sebagai ahli parlimen, timbalan menteri, menteri besar, menteri, timbalan perdana menteri selama 33 tahun, tidak syak lagi Najib akan menjadi Perdana Menteri yang berjaya memandangkan tindakan beliau yang berani di hari pertamanya sebagai Perdana Menteri dengan membebaskan tahanan ISA dan menarik balik penggantungan permit akhbar Harakah dan Suara Keadilan.

Sabtu, Mac 28, 2009

LANGKAH SHAHRIR WAJAR DIPUJI

Langkah Shahrir Samad yang kalah mempertahankan jawatan ahli majlis tertinggi UMNO untuk meletakkan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna wajar dipuji. Beliau tetap bertegas mahu meletakkan jawatannya Rabu ini untuk memberi laluan kepada bakal Perdana Menteri, Najib Abdul Razak melantik barisan kabinet yang baru.

Perlantikan menteri adalah di atas budi bicara Perdana Menteri. Tidak semestinya kalah merebut jawatan dalam parti, tidak boleh dilantik menteri. Dr. Mahathir Mohamad banyak kali melakukan rombakan kabinet tanpa mengambil kira kedudukan dalam parti.

Setelah kalah merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1981, Dr. Mahathir mengekalkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Menteri Kewangan. Pada tahun 1984, sekali lagi Ku Li tewas di tangan Musa Hitam, tetapi Dr. Mahathir mengekalkan Ku Li dalam kabinetnya sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Pak Lah pernah kalah dalam pertandingan Naib Presiden UMNO pada tahun 1993 tetapi Dr. Mahathir mengekalkan jawatan Menteri Luar. Muhyiddin Yassin pernah kalah dalam pertandingan bagi jawatan yang sama pada tahun 1996 tetapi beliau tetap dikekalkan sebagai Menteri Belia dan Sukan. Pada tahun 1996, Rafidah gagal mempertahankan jawatan ketua wanita tetapi Dr. Mahathir tetap mengekalkannya sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Ini bermakna jawatan dalam kerajaan adalah kuasa mutlak Perdana Menteri dan ia tidak kena mengena dengan jawatan dalam parti. Dr. Rais Yatim kata semua menteri perlu letak jawatan kerana mahu beri laluan kepada Najib membentuk kabinet barunya adalah tidak tepat.

Apabila Dr. Mahathir mengambilalih jawatan Perdana Menteri pada 16 Julai 1981, beliau mengekalkan kabinet Hussein Onn. Beliau hanya melantik dua orang menteri baru sahaja, Pak Lah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Sanusi Junid sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar. Ini bermakna Dr. Mahathir tidak merombak keseluruhan kabinet dengan 100 peratus menteri baru.

Begitu juga apabila Pak Lah menerajui negara pada 31 Oktober 2003. Beliau hanya melantik seorang saja menteri baru, Senator Nor Yakcup Mohamed sebagai Menteri Kewangan kedua. Oleh itu apabila Najib menjadi Perdana Menteri pada bulan April ini, Najib boleh mengekalkan kabinet lama Pak Lah dengan melantik seorang dua menteri baru. Terpulang kepada Najib. Tetapi jika semua menteri yang kalah bertanding pada 26 Mac lalu mengikut jejak langkah Shahrir, ia lebih memudahkan Najib membuat perlantikan baru menteri.

Yang kalah seperti Dr. Rais Yatim, Syed Hamid Albar, Khaled Nordin, Azalina Othman Said wajar mencontohi Shahrir Samad supaya Najib dapat melantik lima menteri baru dari kuota UMNO. Siapakah yang layak jadi menteri baru? Adakah Dr. Latif Ahmad, Husni Hanadzlah, Saifudin Abdullah, Idris Jusoh dan Dr. Noraisah Mohamed?

Terpulang kepada Najib untuk menentukannya.