Ahad, Ogos 24, 2014
PRK PENGKALAN KUBOR: UMNO KELANTAN MULA ATUR LANGKAH
KOTA BAHARU, 23 Ogos (Bernama) -- Umno Kelantan kini mula mengatur langkah untuk bersiap siaga dalam menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar akibat kanser pada Rabu lepas.
Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata beliau akan bertemu anggota jawatankuasa empat peringkat Umno bahagian itu bagi mengatur langkah seterusnya.
"Segala laporan mengenai DUN Pengkalan Kubor itu akan saya bentangkan kepada Presiden dan Timbalan Presiden Umno malam esok, dan pada Jumaat pula, akan membentangkan laporan yang sama kepada Majlis Tertinggi Umno.
"Bermula Sabtu depan, gerak jentera parti akan mula bekerja secara habis-habisan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kelantan hari ini.
Noor Zahidi, 57, yang meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China pada 5.45 pagi Rabu lepas, merupakan ADUN Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon BEBAS Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.
Mengulas ciri calon yang akan dipilih, Mustapa berkata paling penting calon mesti boleh diterima pengundi, disenangi rakyat, berpengaruh dan mampu memenangi kerusi DUN itu.
-- BERNAMA