Rabu, November 11, 2009

TAPAK MASJID DIBINA KOMPLEKS BELI-BELAH


Persidangan Dewan Rakyat Rabu kecoh seketika apabila seorang Anggota Parlimen pembangkang mempertikaikan bagaimana tanah yang didakwa diwartakan untuk pembinaan masjid boleh dibangunkan dengan bangunan komersial.


Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju), yang membangkitkan perkara itu, mendesak Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menjelaskan mengenai sebidang tanah di Sri Hartamas di sini yang dikhaskan untuk pembinaan masjid telah dibangunkan dengan projek pangsapuri dan kompleks beli-belah.


"Saya difahamkan di dalam Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 ada sebidang tanah di Sri Hartamas yang telah digazetkan untuk masjid Desa Sri Hartamas. Kami sokong (pembinaan masjid) tetapi yang kami tidak boleh terima ialah bagaimana tanah yang khas untuk masjid boleh tukar untuk dibangunkan pangsapuri dan kompleks beli-belah.


"Saya difahamkan tanah ini telah dijual kepada syarikat swasta dengan harga RM30 juta. Sila buat siasatan perkara ini," desaknya.


Ketika menjelaskan perkara itu, Raja Nong Chik berkata tanah berkenaan adalah milik Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), yang juga telah membuat keputusan untuk membina masjid berkenaan di tempat lain.


"Berikutan tanah berkenaan kosong, mungkin ada pihak-pihak tertentu telah memberikan cadangan kepada pihak Jawi untuk dibangunkan," katanya.


Tidak puas hati dengan jawapan itu, Wee bangkit meminta Raja Nong Chik menyatakan lokasi baru masjid yang dimaksudkan itu, :"Yang Berhormat Menteri, sekarang ini masjid dibina di mana. Saya tak nampak pun ada masjid di Sri Hartamas?"


Kepada soalan itu Raja Nong Chik hanya menjawab ringkas dan mengatakan bahawa perkara yang membabitkan agama lebih tepat jika dijawab olah Menteri agama iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom yang lebih arif berhubung isu itu.


Menyifatkan menteri itu mengelak daripada memberi jawapan, Wee terus menerus 'menyerang' Raja Nong Chik hingga akhirnya menyebabkan beliau menjelaskan masjid tidak dibina di situ kerana terdapat Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta yang terletak berdekatan kawasan yang dimaksudkan.


Bagaimanapun, jawapan itu juga tidak memuaskan hati Wee kerana mendakwa ia masih tidak tepat sehingga memaksa campur tangan daripada Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meminta wakil rakyat pembangkang itu duduk kerana beliau sendiri tidak dapat menentukan sama ada jawapan yang diberikan itu tepat atau sebaliknya.


Pertikaman lidah antara Wee dan Raja Nong Chik yang terhenti kerana waktu rehat tengah hari bersambung selepas dewan kembali bersidang sehinggalah Raja Nong Chik memberi jaminan beliau akan menyiasat perkara itu kerana tidak mempunyai butiran mengenainya pada ketika ini.