Isnin, Mei 02, 2016

ADA HIKMAH DAN PENGAJARANNYA KATA RAZIF

KUALA TERENGGANU, 1 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman menjunjung kasih atas perkenan Sultan Mizan Zainal Abidin untuk beliau terus melaksanakan tugas sebagai ketua pentadbir negeri.

"Syukur...saya yakin apa yang berlaku ada hikmah dan pengajarannya", kata Ahmad Razif susulan pengesahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau kekal sebagai Menteri Besar Terengganu.

Dalam kenyataan media hari ini, Ahmad Razif berkata beliau turut bersyukur di atas segala nikmat dan kurniaan yang diberikan Allah serta berterima kasih kepada Najib di atas kepercayaan yang diberikan terhadapnya.

"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan terhadap saya serta komitmen yang diberikan oleh beliau dalam menyelesaikan isu yang melanda negeri ini sejak minggu lalu.

"Segala spekulasi serta tanggapan yang dibuat sepanjang minggu lalu telahpun terjawab pada hari ini melalui pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri.

"Oleh itu, saya menyeru kepada semua kepimpinan negeri Terengganu untuk terus bergerak ke hadapan dan berjuang untuk negeri dan rakyat demi kesejahteraan semua," katanya.

Sebelum ini timbul pelbagai spekulasi mengenai kedudukan Ahmad Razif apabila Sultan Mizan melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada beliau berkuat kuasa Jumaat, 22 April.

Najib semalam berkata Ahmad Razif kekal sebagai Menteri Besar Terengganu dan keputusan itu dibuat selepas beliau menghadap Sultan Terengganu semalam membincangkan isu mengenai kedudukan Menteri Besar.

Ulasan saya, memang betul kata Razif ada hikmah dan pengajarannya. Sepanjang sembilan hari berlaku kemelut ini Razif dapat mengenal siapa kawannya yang sejati. Belum apa apa sudah ramai yang berangan menjadi MB baharu. Para penyokong sibuk menghantar biodata bakal MB masing masing dalam whatsapp grup.

Yang lucunya ada juga yang sudah buka bilik gerakan. Begitu ramainya yang mahu melihat Razif jatuh. Tetapi syukurlah Sultan Terengganu hanya melucutkan gelaran Razif sahaja dan bukannya melucutkan jawatan MB.Maka Razif kekal sehingga PRU yang akan datang.

Dalam tempoh dua tahun ini, Razif jadi MB tanpa Dato Seri. Memanglah janggal MB tak ada gelaran tapi itulah yang berlaku kepada Muhammad Mohd Taib yang memulakan tugas MB Selangor tanpa gelaran. Begitu juga Azmin Ali.Oleh itu MB tanpa gelaran bukan perkara baru di negara ini.

Razif kena belajar dari insiden ini mengenalpasti siapa kawan dan siapa lawan.Berhati hatilah dengan orang yang berpura pura menyokong anda. Dalam pada itu anda perlu buang orang yang menulis teks ucapan anda di majlis 22 April yang menyebabkan tuanku murka. Jika anda tidak buang orang tersebut,mungkin selepas ini anda menjadi mangsa lagi.