Sabtu, Mei 05, 2012

FICKRY YAACOB DALAM KENANGAN

Pagi ini saya terbaca berita kematian Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Fickry Yaacob. Saya mengenalinya ketika bertugas dengan akhbar WATAN pada 1 April 1987. Ketika itu akhbar WATAN diterbitkan oleh Kumpulan Karangkraf dengan Fickry selaku Ketua Pengarangnya manakala Haji Khairune Ali (kini penerbit akhbar Warta Perdana) sebagai Pengarangnya. WATAN mendapat sambutan hangat ketika itu kerana menyiarkan berita Team A dan Team B yang sedang berentap dalam pertandingan Presiden Umno pada 24 April 1987. Tengku Razaleigh Hamzah bersama Musa Hitam mencabar Dr Mahathir Mohamad dengan Ghafar Baba. Fickry ada kolumnya sendiri mewawancara tokoh-tokoh politik utama negara ketika itu. Saya masih ingat WATAN pernah menganjurkan satu majlis di KL International Hotel yang dihadiri oleh Datuk Peter Chin selaku Setiausaha Parlimen di sebuah kementerian (saya lupa kementeriannya). Pada malam itu Fickry selaku boss akhbar WATAN sepatutnya berucap mengalu-alukan kedatangan Peter Chin sebaliknya beliau tidak suka berucap. Beliau menyuruh saya mewakilinya menyampaikan ucapan bagi pihak akhbar WATAN. Beliau seorang yang rajin datang menjenguk kami ketika kami ada deadline. Dia datang awal jam 9 malam kemudian menghilangkan diri. Jam 2 pagi bila semua grafik nak siap, beliau muncul semua menyemak grafik akhir. Beliau seorang yang tidak suka bercakap banyak. Saya jarang ke biliknya kecuali dia panggil saya. WATAN dibatalkan permitnya pada Oktober 1987 ketika operasi lalang. Turut menjadi mangsa ialah akhbar The Star dan Sin Chew Jit Poh yang kononnya memainkan isu-isu perkauman. Apabila WATAN dihidupkan semula pada Mac 1988, saya dilantik Penolong Editor akhbar WATAN.WATAN diterbitkan tiga kali seminggu jadi setiap kali deadline Fickry rajin menemani kami. Beban saya makin berkurangan apabila Jamaluddin Aziz (kini orang kanan di HQ Umno) ditukarkan dari akhbar Bacaria ke akhbar WATAN turut dilantik sebagai Penolong Editor juga. Pada awal 1989, saya ditukarkan ke Sabah selama hampir tiga tahun. Pada tahun 1992, saya berhenti dari Karangkraf apabila ditukarkan ke bahagian iklan. Ketika itu jualan akhbar Watan makin merosot. Fickry tidak kata apa-apa ketika saya menghantar surat peletakan jawatan sebagai wartawan Watan. Sejak itu saya tidak pernah menghubungi Fickry sampailah sekarang tetapi saya masih ingat beliau tetap seorang boss yang baik. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Fickrylah yang mengasaskan Kumpulan Karangkraf bersama adiknya, Datuk Hishamuddin dan sepupunya, Nasir Hamzah. Akhbar Sinar harian melaporkan j
enazah Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Fickry Yaacub selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Damansara, jam 2.13 petang tadi. Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail di sini, untuk dimandi dan dikafankan sebelum dikebumikan selepas solat Zohor. Jenazah dibawa dari rumah Allahyarham kira-kira jam 10.50 pagi tadi diiringi anak-anak dan kenalan rapat. Antara yang menziarahi jenazah Allahyarham pagi tadi ialah Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil; Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar. Turut menziarahi lebih 400 pekerja dan karyawan Kumpulan Media Karangkraf. Allahyarham yang lebih mesra dikenali dengan panggilan Haji Fickry menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10 malam tadi, dipercayai serangan jantung dirumahnya. Sebelum itu, Allahyarham sempat berkomunikasi dengan anaknya yang sedang menuntut di Kanada menggunakan Skype. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Robiah Mohamed dan lapan orang cahayamata. Dalam pada itu, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali melahirkan rasa sedih atas pemergian arwah yang dikenali sejak menuntut di tingkatan enam Maktab Adabi, Kota Bharu, Kelantan. "Waktu itu beliau (Datuk Fickry) mengajar di (Maktab Adabi) sewaktu abangnya Fahmi menjadi pengetua di situ. Saya juga rapat dengan keluarga arwah kerana bapa Allahyarhami Yaacub Idris seorang penjual buku terkemuka di Kelantan," katanya. "Beliau tidak banyak bercakap hal politik dan lebih menumpukan kepada kerjanya. Sepanjang mengenali arwah, saya lihat beliau seorang yang 'simple', malah apabila kami bertemu beliau lebih banyak bergurau dari bercerita hal serius. "Selepas tamat belajar, saya jarang berjumpa arwah dan seingat saya kali terakhir kami berjumpa kira-kira dua atau tiga bulan lepas. Kali terakhir saya menghubungi arwah kira-kira sebulan lalu melalui sistem pesanan ringkas," katanya lagi. Sementara itu, bekas Ketua Pengarang Bernama, Datuk Seri Azman Ujang menyifatkan beliau sebagai seorang ahli perniagaan dan lambang kejayaan orang Melayu dalam bidang persuratkhabaran. “Allahyarham dan adik-beradiknya berjaya membuktikan tanpa bantuan kerajaan, orang Melayu juga boleh maju dalam industri persuratkhabaran yang mencabar untuk diterokai,” katanya yang turut hadir memberi penghormatan terakhir di Masjid At-Taqwa. Azman berkata, walaupun baru mengenali Fickry, Allahyarham boleh dilihat sebagai contoh dalam dunia perniagaan melalui sikap dedikasinya dan beliau juga seorang tokoh di belakang kejayaan Sinar Harian dan Karangkraf pada hari ini. “Kali terakhir saya berjumpa dengan Allahyarham pada satu program wacana di Karangkraf dan saya sedih kerana telah hilang seorang kawan,” katanya. Fickry berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dan industri surat khabar. Beliau pernah menjawat tugas sebagai pendidik di Maktab Adabi di Kota Baharu dan kemudian sistem belajar melalui pos yang dinamakan Adabi Gaya Pos bersama beberapa rakannya. Dalam bidang persuratkhabaran, beliau pernah menjawat jawatan penting dalam pasukan editorial antaranya ialah sebagai Penerbit Eksekutif Akhbar Eksklusif dan juga menjadi Ketua Editor Akhbar Watan. Beliau juga memainkan peranan besar dalam melahir dan menjanakan idea ketika penubuhan awal Sinar Harian. Beliau terus aktif menulis dan mempunyai kolum tetap di dalam akhbar ini serta sentiasa memantau perkembangan akhbar berkenaan.