Khamis, Januari 19, 2017

ANAK TERENGGANU PERTAMA JADI MENTERI MENINGGAL DUNIA



KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Bekas Menteri Perusahaan Utama dan Menteri Pertanian, Datuk Abdul Manan Othman, 81, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru ketika menerima rawatan di Hospital Gleneagles, Ampang, di sini, pada pukul 7.12 malam ini.

Anak sulung Allahyarham, Nadzrin, 53, berkata bapanya dimasukkan ke hospital itu selepas tidak sedarkan diri sejak Isnin lepas.

Bercakap kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya di Desa Sri Hartamas di sini, Nadzrin berkata jenazah bapanya akan disembahyangkan di Masjid Bukit Damansara sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 10 pagi esok.

Allahyarham yang merupakan Menteri Pertanian pada 1980 hingga 1984, sebelum itu pernah bertugas sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Awam, Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri.

Allahyarham meninggalkan isteri Nora Abu Hassan, 78, tiga anak dan lapan cucu.

Ulasan saya, Manan Othman adalah anak Terengganu pertama yang menjadi menteri penuh. Selepas ahli parlimen Kemaman, Datuk Wan Kadir Wan Ismail meninggal dunia pada tahun 1976 beliau terpilih sebagai calon PRK parlimen Kemaman.

Selepas itu beliau bertanding di parlimen Kuala terengganu pada PRU 1978 dan dilantik timbalan menteri dalam kabinet Hussein Onn. Pada tahun 1980 beliau dilantik menteri pembangunan usahawan dan selepas Dr Mahathir menjadi perdana menteri pada tahun 1981, beliau ditukarkan ke kementerian pertanian.

Pada tahun 1981, beliau menang ahli majlis tertinggi Umno tetapi kalah pada tahun 1984. Dalam rombakan kabinet selepas pemilihan Umno 1984 beliau digugurkan sebagai menteri kerana beliau kalah ahli majlis tertinggi dan penyokong kuat tengku Razaleigh Hamzah.

Pada 1990, beliau yang menyertai Semangat 46 mengalahkan calon BN, Zubir Embong di parlimen Kuala Terengganu tetapi pada PRU 1995, beliau tewas kepada Datuk Abu Bakar Daud.

Beliau dikenang sebagai anak terengganu pertama yang dilantik sebagai menteri pusat dan ternyata beliau adalah penyokong kuat Ku Li. Kali terakhir saya menemui beliau di pejabat Ku Li pada April tahun lepas. Alfatihah buat beliau.