Selasa, Ogos 03, 2010

LPT 2 DIJANGKA SIAP JUN 2012


Projek Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa II menghubungkan Jabor di Pahang ke Gemuruh, Terengganu sejauh 184 kilometer akan siap sepenuhnya menjelang Jun 2012.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor ketika memberikan jaminan itu berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diminta memastikan projek berkenaan siap sepenuhnya dalam tempoh tersebut.

"Kita sasarkan projek keseluruhan (LPT Fasa II) siap Jun 2012, kita minta JKR (Jabatan Kerja Raya) pastikan bagaimana projek ini boleh siap dalam tempoh itu dan pastikan juga ia tak berlaku kelewatan," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke tapak projek LPT Fasa II dari Gemuruh di sini ke Pasir Tinggi sehingga ke susur keluar di Bukit Payong, Marang.

Turut menyertai lawatan itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan; Ketua Pengarah Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Dr. Judin Abdul Karim serta Pengarah JKR Terengganu, Shahawai Awang.

Shaziman memberitahu, kos awal keseluruhan projek LPT Fasa II itu kira-kira RM3.7 bilion namun disebabkan berlaku kenaikan bahan berasaskan petroleum pada tahun 2008 dan 2009, kos tersebut dijangka naik antara 15 peratus hingga 20 peratus.

Menurutnya, projek berkenaan terbahagi kepada dua bahagian pembinaan iaitu sejauh 64 km di bawah tanggungjawab Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dengan pelaksanaannya oleh MTD Prime Sdn. Bhd. manakala 120 km lagi di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya.

Shaziman berkata, beliau dimaklumkan pihak LLM bahawa lembaga berkenaan memberi jaminan untuk menyiapkan projek sejauh 64 km pada Mei tahun depan manakala JKR pula menjelang Jun 2012 nanti, sekali gus siapnya keseluruhan projek LPT Fasa II.

Selain itu katanya, laluan lebuh raya dari Gemuruh ke Bukit Payong dijangka mula dibuka kepada orang ramai penghujung tahun ini manakala laluan dari Bukit Besi, Dungun ke Gemuruh pada Jun tahun depan.

"Kerajaan tak akan kutip bayaran tol sehinggalah seluruh projek ini siap sepenuhnya. Saya telah maklumkan kepada JKR supaya pastikan LPT ini (Fasa II) yang ada 10 persimpangan bertingkat dan dari simpang ini ke pekan berhampiran jalan perlu dinaik taraf.

"Kita nak pemandu selesa, kita tak mahu seolah-olah orang memandu di lebuh raya yang selesa ibarat lima bintang tapi bila masuk jalan susur mereka amat tak selesa," ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama, Shaziman turut mengesahkan pihaknya telah menamatkan enam kontraktor melalui 'penamatan bersama' akibat gagal menyiapkan projek yang diamanahkan mengikut jadual.

Buat masa ini jelasnya, tender baru mula dikeluarkan hari ini sebelum ditutup pada penghujung bulan ini bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan dilakukan antaranya membabitkan pakej 1A, 1B, 2, 3, 8 dan 9B.