Selasa, September 04, 2018

SUDAH SAMPAI MASA BERI KUASA PENUH KEPADA SPRM MENDAKWA PESALAH RASUAH



KUALA LUMPUR: Keputusan untuk menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan Lim Guan Eng tidak pernah dibincangkan dengan pengurusan tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dakwa beberapa sumber.

Sumber berkenaan yang termasuk pegawai penyiasat kanan suruhanjaya itu turut memberitahu bahawa, peguam Lim tersilap dalam mendakwa pegawai SPRM yang memberitahu Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini untuk menggugurkan pertuduhan tersebut.

"Arahan untuk menarik diri daripada kes ini tidak datang daripada SPRM. Jika ada, sudah pasti (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Datuk Seri Shukri (Abdul) tidak akan mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan suruhanjaya itu terkejut dengan keputusan itu.

"(Mohd) Masri (Daud) juga bukan pegawai SPRM. Beliau ialah timbalan pendakwa raya yang mewakili Pejabat Peguam Negara (AGC).

"Beliau (Masri) tidak berbincang dengan SPRM mengenai menggugurkan pertuduhan," kata salah seorang pegawai suruhanjaya itu.

Sumber berkata pegawai SPRM cuma berperanan sebagai penyiasat dan pihaknya tidak boleh membuat sebarang pertuduhan di mahkamah tanpa persetujuan pendakwa raya awam.


Menurut pegawai itu, hal ini kerana prinsip pemisahan kuasa antara pihak eksekutif, perundangan dan kehakiman yang termaktub dalam perlembagaan.

Seorang lagi pegawai berkata mahkamah yang patut memutuskan kes terhadap Guan Eng dan bukan menggugurkan semua pertuduhan terhadap bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.

"Orang ramai perlu diberitahu hal (menggugurkan kes) ini tidak ada kena-mengena dengan SPRM.

Terdahulu hari ini, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Guan Eng daripada dua tuduhan rasuah berhubung dakwaan penukaran status tanah negeri dan pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Mahkamah itu juga membebaskan ahli perniagaan Phang Li Koon, yang merupakan bekas pemilik rumah sewa Lim, daripada pertuduhan bersubahat dengan Lim untuk mendapatkan banglo pada kos bawah nilai pasaran.

Berikutan itu, SPRM segera mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengatakan bahawa mereka "amat terkejut" dengan keputusan itu, manakala peguam bela Guan Eng, Ramkarpal Singh mengeluarkan kenyataan yang menegur SPRM.

Ramkarpal dalam kenyataannya berkata SPRM tidak sepatutnya berbuat tidak tahu-menahu dengan pembebasan Lim daripada pertuduhan itu "apabila pengarah bahagian undang-undang dan pendakwaan (SPRM) sendiri, Mohd Masri Daud" menjadi orang yang memaklumkan kepada mahkamah untuk menarik balik pertuduhan itu.

Sementara itu, Masri ketika dihubungi enggan memberikan sebarang ulasan mengenai dakwaan beliau tidak membincangkan dengan SPRM keputusan menarik balik pertuduhan terhadap Guan Eng.

"Saya tidak mempunyai sebarang komen (pada masa ini). Saya akan meminta pandangan pihak atasan saya terlebih dahulu, kerana saya tidak boleh mengatakan apa-apa mengenai perkara ini.

"Sama ada terdapat perbincangan atau tidak, saya tidak tahu," katanya.

Ulasan saya, sudah sampai masanya SPRM diberi kuasa penuh mendakwa pesalah rasuah dan bukan lagi kuasa mendakwa diberi kepada Peguam Negara.  Apa yang berlaku sekarang pegawai SPRM menyiasat satu kes rasuah siang dan malam tiba tiba bila ia dibawa kepada Peguam Negara ia ditolak.

Yang lebih mengejutkan yang menolak kes Lim Guan Eng adalah Peguam Negara yang pernah menjadi peguam Lim Guan Eng dalam kes rasuah tersebut. Seperti kata Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, sudah tentu tindakan Tommy Thomas boleh dianggap sebagai konflik kepentingan.

SPRM sepatutnya kecewa dengan keputusan Peguam Negara dan bukannya terkejut kerana SPRM sedar bahawa  di bawah perlembagaan  Akta 145 kuasa Peguam Negara bebas membuat apa apa keputusan sama ada mahu mendakwa atau menarik balik dakwaan.

Ramai yang marahi SPRM kononnya SPRM menarik balik kes tersebut sedangkan Masri adalah pegawai Jabatan Peguam Negara dan bukannya pegawai SPRM.  Apa yang dimohon oleh Masri ialah DNAA terhadap Lim Guan Eng  (dilepaskan tanpa dibebaskan). Sebaliknya mahkamah melepaskan Lim Guan Eng. Apabila DNAA diluluskan oleh mahkamah, ini bermakna SPRM boleh menangkap semula Lim Guan Eng jika ada bukti yang cukup. Tetapi mahkamah tak mahu kes itu dibicarakan secara berperingkat maka Lim Guan Eng dilepaskan dan dibebaskan.

Oleh itu supaya rakyat Malaysia menghormati SPRM sebagai badan bebas, maka kerajaan perlu beri kuasa mendakwa kepada SPRM sendiri dan bukannya melalui Jabatan Peguam Negara lagi.

Kesnya hampir sama dengan kes bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo yang dijatuhkan hukuman penjara satu tahun. Jika Dr Khir kena penjara kenapa kes Lim Guan Eng begitu istimewa?

Apabila Peguam Negara mencadangkan  Lim Guan Eng dilepaskan tanpa dibebaskan maka rakyat sudah tidak percaya kepada ketelusan kerajaan Pakatan Harapan. Sepatutnya kes itu diteruskan dan biar mahkamah yang menentukannya. Soal kes itu lemah seperti kata Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan / Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria tidak timbul kerana biar hakim yang buat keputusan.

Hanafiah berkata beliau buat keputusan tanpa pengaruh luar tetapi apa yang berlaku seolah olah beliau sendiri sudah bertindak sebagai hakim tanpa memberi peluang perbicaraan diteruskan.