Rabu, September 23, 2009

PELIK JUGA DR MAHATHIR HADIRI MAJLIS MENTERI BESAR NEGERI SEMBILAN


Selama ini Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Hassan dianggap sebagai orang Pak Lah. Jadi apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menghadiri majlis terbuka rumah beliau, ia dianggap pelik.


Apatah lagi Dr Mahathir membuat kenyataan seolah-olah tidak pro kepada Tan Sri Isa Samad yang disebut-sebut sebagai bakal calon BN bagi pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang. Kenapa Mat Hassan jemput Dr. Mahathir? Apakah ini mesej beliau bahawa calon BN bukan Isa? Adakah Dr. Mahathir bercakap bagi pihak Mat Hassan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan?


Saya pun tak mahu Isa dipilih sebagai calon kerana saya sokong kenyataan Dr. Mahathir bahawa calon yang bersih yang wajar jadi calon. Isa sudah terbukti bersalah amalkan politik wang. Jadi dia tidak layak jadi calon.


Tetapi amalan UMNO tidak begitu. Six milion dollar man, Datuk Tajudin Rahman turut bersalah tetapi dia dipilih jadi calon parlimen Pasir Salak pada tahun 2008. Kini dia masih ahli parlimen dan Pengerusi FELCRA pula. Bekas Bendahari Agung UMNO, Datuk Azim Zabidi pernah jadi calon BN Bukit Gantang pada pilihanraya umum 2008 tetapi kalah. Beliau pun pernah dihukum terlibat dalam politik wang.


Oleh itu jika Isa jadi mangsa kali ini, maka Tajudin tidak boleh bertanding lagi dalam pilihanraya umum akan datang. Jika tidak orang kata UMNO double standard. Kita ikuti berita Dr. Mahathir seterusnya.


Dr. Mahathir sekali lagi menegaskan UMNO perlu memilih calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.


Beliau berkata, UMNO boleh mendapat majoriti besar pada pilihan raya kecil DUN tersebut yang merupakan kubu kuat parti jika memilih calon yang benar-benar bersih.


Beliau berkata, jika calon tidak bersih diketengahkan dalam pilihan raya tersebut, UMNO mungkin menang di Bagan Pinang tetapi akan kalah di tempat lain.


"Faktor calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah menjadi sangat penting di Bagan Pinang malah pada pilihan raya umum akan datang.


"Bagi saya, bukan sekadar tempat ini sahaja. Soal seluruh Malaysia, orang nak tahu sama ada kita serius atau pun tidak untuk membasmi gejala politik wang, rasuah dan sebagainya,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Hari Raya Aidilfitri di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Rantau, Rembau semalam.


Dr. Mahathir turut khuatir jika trend pemilihan calon yang tidak bersih diteruskan, parti itu akan kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.


"Saya tak fikir tentang individu, saya kenal semua orang dan saya tak peduli dengan siapa pun tapi saya fikir cuma untuk parti sahaja," tegasnya.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 3 Oktober sementara pengundian 11 Oktober.


Dr. Mahathir berkata, Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai masalah untuk menang dalam pilihan raya kecil berkenaan kerana ia merupakan kubu UMNO.


"Yang kita kalah sebelum ini pun semua di kawasan pembangkang," ujar beliau.


Beliau juga berkata, sokongan kaum Cina dan India masih belum cukup untuk membantu BN memenangi pilihan raya berkenaan.


Kata beliau, faktor itu berpunca daripada pemimpin parti komponen yang masih berhadapan dengan masalah sendiri.


"Saya nampak belum ada perubahan yang boleh dilihat atau mungkin saya belum nampak. Masing-masing masih memikirkan masalah kaum sendiri.


"MIC masih mempunyai masalah dalaman dan saya tidak tahu sama ada mereka boleh menumpukan perhatian dalam berkempen untuk membantu BN," jelas beliau.


Jelas beliau, sekiranya semua pemimpin parti mengutamakan parti dan bukannya diri sendiri, sudah pasti semua masalah dapat diselesaikan.