Sabtu, Februari 14, 2009

TERIMA KASIH SHABERY


Isnin lepas saya terkejut bila menerima panggilan dari penerbit Blog@1, tv1, Rohaniah Ramli yang bertanya sama ada saya sedia menyertai Blog@1 yang disiarkan pada malam tadi. Saya jawab, tidak ada masalah. Dia yang membaca blog saya ingatkan saya duduk di Kemaman. Dia tanya bila mahu datang ke Kuala Lumpur. Saya jawab saya bekerja di Kuala Lumpur. Saya tanya beliau di mana dapat nombor handphone saya. Dia jawab dalam blog saya dan katanya lagi ramai blogger tidak tulis nombor handphone dalam blog masing-masing.


Rabu petang saya menerima panggilan sekali lagi dari Ani yang berasal dari Lahad Datu, Sabah itu bahawa sudah confirm saya diundang dalam Blog@1 pada 13 Februari pada jam 10.30 malam. Pada keesokannya, Ani dan jurugambar, Shamsul datang ke pejabat di Jalan Yap Kwan Seng mengambil gambar saya.


Tepat jam 9 malam, malam tadi saya sampai di Angkasapuri. Saya pernah menemani bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh muncul dalam Bersama Dengan Menteri dan saya juga pernah mengiringi Menteri Besar, Datuk Ahmad Said muncul dalam program yang sama, kini giliran saya pula menjadi tetamu dalam Blog@1.


Kebetulan pengacara Blog@1, Hamdan Ahmir atau Hamdan K.C. Ahmu berasal dari Kemaman juga. Dia junior saya di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. Kami sama-sama bertanding kerusi ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman pada tahun 2004, tetapi kami kalah. Saya dapat nombor 23, kalah 13 undi kepada pemenang ke 20 manakala Hamdan kalah lagi teruk. Maklum sajalah bila duduk di Kuala Lumpur, jarang balik Kemaman, susah nak menang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian.


Inilah kali pertama saya muncul di televisyen. Tambahan pula siaran langsung. Jadi sudah tentu saya rasa gemuruh juga. Bila pengacara saya sudah kenal, kurang sikit gemuruhnya. Bahayanya bila siaran langsung begini, soalan diberi on the spot. Tidak prepare jawapan dari awal. Kalau penerbit emel soalan dari awal, senang kita sediakan jawapan. Sebaliknya memberi soalan dalam tempoh yang terhad membuatkan jawapan saya tidak memuaskan hati saya sendiri.


Ramai yang hantar sms beri ucapan tahniah dan ada juga kawan yang komen bahawa jawapan tidak bernas,. Yang anehnya ada kawan pekak dari Chendering sms kata jawapan saya out. Saya hairan, dia pekak macam mana boleh dengar suara tv pula.


Ada juga kawan hantar sms kepada seorang haji pekak yang tidak sms kepada saya tetapi sms kepada haji pekak. Haji pekak itu forward sms itu kepada saya. Tulisnya,"Haji, tak tengok tv1 semalam, blogger zabidi hok mb trg rejek doh, macamana hj boleh rekomen ke mb suruh bagi kerja kat dia lagu, berhujah pun kelam kabut, lintang pukang, suroh dia balik pasir gajah la ji noreh getah".


Saya terima teguran ini dengan hati yang terbuka. Jika soalan diberi awal, mungkin jawapan saya berbeza. Ini soalan on the spot, jadi saya jawab apa yang terlintas di fikiran sahaja. Walau bagaimanapun saya ucapkan terimakasih kepada tv1 yang memberi peluang kepada saya muncul di tv1.


Walaupun blog saya pernah mengkritik Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang juga ahli parlimen Kemaman, sikap terbuka menteri memberi peluang kepada musuhnya muncul di tv merupakan satu langkah yang terpuji.


Ada yang sms saya tanya Shabery dah beli saya ke? Maklum sajalah baru-baru ini dalam pemilihan UMNO Bahagian Kemaman, saya adalah kempen manager kepada calon yang mahu menentang beliau bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman tetapi Mat Dalam Awang tidak dapat pencalonan yang cukup. Terima kasih Shabery, terima kasih tv1 dan terima kasih Ani.


Sempena Hari Valentine ini, saya ingin mengucapkan Happy Valentine kepada semua pasangan yang sedang bercinta.