Ahad, Jun 24, 2018

10 RIBU HADIRI MAJLIS MB DI KEMAMAN



KEMAMAN: Kira-kira 10, 000 pengunjung membanjiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri sempena lawatan Rasmi Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ke Kemaman, hari ini.

Sambutan yang dianjurkan Pejabat Daerah Kemaman yang diadakan di tempat letak kereta Astaka, Kemaman itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat, ADUN Air Putih, Ab Razak Ibrahim, ADUN Kemasik, Saiful Azmi Suhaili dan Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur Wan Mohd Hasnan Abdullah,


Lebih 10 agensi kerajaan dan syarikat korporat menyediakan pelbagai aneka juadah raya masing-masing kepada pengunjung seperti nasi minyak, kambing golek, sate, nasi himpit, ketupat dan lain- lain lagi.


Antara yang mendapat sambutan hangat adalah gerai Petronas apabila 1,000 batang Lemang Kijal habis dalam tempoh tiga jam sebaik majlis bermula.

Selain itu, kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah turut menerima duit raya yang disampaikan oleh Menteri Besar.

Di majlis itu, Ahmad Samsuri turut mengucapkan salam aidilfitri kepada semua warga Kemaman dan para pengunjung yang hadir memeriahkan sambutan berkenaan serta berharap majlis itu dapat merapatkan tali silaturahim sesama kita.

KEPUTUSAN PERTANDINGAN UMNO SETAKAT 12 MALAM TADI



KUALA LUMPUR 23 Jun - Datuk Azizah Mohd. Dun, Mohd. Shahar Abdullah dan Datuk Zahida Zarik Khan mendahului saingan merebut jawatan Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri UMNO dalam pemilihan parti setakat pukul 12 tengah malam tadi.


Azizah mendapat undi seba­nyak 30 mengatasi Datuk Noraini Ahmad yang mengumpul 19 undi, manakala Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman masih gagal memperoleh sebarang undi.


Mohd. Shahar mendapat 20 undi, diikuti Datuk Dr. Asyraf Waj­di Dusuki dengan 19 undi, Khairul Azwan Harun, 14 undi, manakala calon-calon lain iaitu Syed Rosli Syed Harman, Datuk Seri Jamal Yunos, Wan Md. Hazlin Agyl Wan Hassan, Imbran Afham Armen, Abdul Razak Mohamed Yusof dan Mohd. Nor Izzat Mohd. Johari belum mendapat sebarang undi.

Zahida pula dilihat selesa mendahului pencabarnya, Nor Hazreena Mohamad Hashim dengan undi 71-8, dan dilihat berpeluang cerah memenangi jawatan Ketua Puteri UMNO, sekali gus ‘naik pangkat’ daripada Naib Ketua Pu­teri yang disandangnya sebelum ini.

Kemenangan mereka akan me­nyaksikan kesemua jawatan itu diisi oleh muka-muka baharu untuk tempoh dari 2018 hingga 2021 bagi mengangkat semula UMNO serta mengembalikan ­keyakinan rakyat terhadap parti Melayu ter­sebut dan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Wanita sebelum ini di­sandang oleh Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, namun mengumumkan untuk bersara daripada arena politik bagi memberikan peluang kepada muka-muka baharu.

Khairy Jamaluddin yang me­nyandang Ketua Pemuda melepaskan jawatan itu untuk me­rebut jawatan Presiden parti, manakala Mas Ermieyati Samsudin tidak bertanding dalam pemilihan parti kali ini.

Sementara itu, Datuk Norliza Abdul Rahim mendahului kedudukan bagi merebut jawatan Naib Ketua Wanita dengan 30 undi, diikuti Datuk Rosni Zahari (27 undi) sementara dua lagi calon, Endang Kusma Mohamed Kham dan Masdiana Salleh masih gagal memperoleh sebarang undi.

Shahril Sufian Hamdan pula mendahului bagi jawatan Naib Ke­tua Pemuda apabila mengumpul 37 undi dengan pesaing terdekat beliau, Bastien Onn (13 undi) sementara Abd. Halim Sidek Gulam Hassan (satu undi).

Calon-calon lain yang bertan­ding jawatan sama masih belum merekodkan sebarang undian da­ripada bahagian.

Nurul Amal Mohd. Fauzi pula mengumpul 50 undi, sekali gus meletakkan beliau dalam kedudukan selesa untuk memenangi jawatan Naib Ketua Puteri UMNO.

Pesaing terdekat Nurul Amal, June Artisha Mohamad Nazari memperoleh 21 undi, Siti Badariah Ali Hassan,n satu undi manakala undi Ruziana Razali dan Norjamezah Jamaludin masih kosong.