Naib Presiden Umno itu berkata, pihaknya akan terus berusaha mempertahankan kepentingan rakyat serta bersama-sama Umno dalam membela nasib bangsa, agama dan negara.

Sehubungan itu, beliau yang merupakan salah seorang pengasas UMNO Sabah mengingatkan semua ahli parti agar terus berpegang teguh bersama Umno supaya parti keramat Melayu itu tetap unggul dan kukuh.

Kali pertama pulang ke parlimennya Semporna, beliau disambut seramai 20,000 penyokongnya. Sudah tentu 20,000 orang ini kecewa Najib Razak menggugurkannya sebagai menteri walaupun beliau sudah dua kali menang jawatan Naib Presiden Umno.

Malah yang lebih mengejutkan undi Shafie lebih besar dari undi Hishamuddin Hussein dalam pertandingan naib Presiden Umno pada tahun 2013. Shafie mencatat sejarah sebagai rakyat Sabah pertama memenangi jawatan Naib Presiden Umno. Jika TPM diberi kepada orang Sabah, sudah tentu Shafie adalah calonnya kerana beliau adalah naib presiden Umno dari Sabah.

Saya mengenali Shafie ketika bekerja di Sabah sebagai wakil akhbar WATAN pada tahun 1989. Ketika itu beliau masih pegawai kerajaan tetapi beliau adalah timbalan presiden Persatuan Bajau Bersatu Sabah (USBO) yang diketuai Salleh Said Keruak.

Pada tahun 1993, beliau menang Exco Pemuda Umno Malaysia dan pada tahun yang sama, beliau dilantik Setiausaha Politik kepada Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi (Sakaran Dandai). Pada tahun 1994, beliau menawarkan jawatan Setiausaha Akhbar Sakaran Dandai kepada saya. Saya sepatutnya melaporkan diri pada 21 Mac 1994 tetapi tiba-tiba kerajaan BN terbentuk di Sabah dan Sakaran dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah pada 17 Mac 1994. Maka saya tidak dapat jadi Setiausaha Akhbar.

Selepas itu saya kurang rapat dengan Shafie kerana saya dapati beliau sombong. Kawan saya Zaharin Mohd. Yassin pernah beritahu saya Shafie ada merungut  kepadanya, Zabidi nak kerja ke, nak berniaga. Masa itu saya melobi kawan saya yang memohon permit bawa penyanyi dari luar negara. Ketika itu permit di bawah kementerian beliau, kementerian kebudayaan, kesenian dan warisan.

Ketika beliau menjadi menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, saya pernah ke rumahnya untuk membentangkan sistem pengurusan subsidi tetapi beliau suruh ke pejabatnya menemui pegawainya Karim. Sampai beliau tukar kementerian, kami tak dapat temui beliau. Ketika itu partner saya, Burhanudin dapat menemui menteri baharu yang menggantikannya, Shahris Samad yang lebih terbuka sikapnya dari Shafie.

Tetapi ketika itu PM, Pak Lah tidak berminat dengan sistem pengurusan subsidi sebaliknya mengumumkan setiap rakyat yang memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka dapat rebat RM625. Cadangan Pak Lah ini bukannya mengurangkan subsidi sebaliknya menambah perbelanjaaan kerajaan lagi.

Dalam Facebooknya, Zaharin berkata beliau nak temui Shafie sebelum hari rayabaru-baru ini lagi, tetapi Shafie berkata ini sudah tentu kerana Zaharin nak duit raya. Sampai beliau dipecat menteri pada 28 Julai lalu, Zaharin tidak dapat menemuinya. Zahar
in kata tak payah jumpalah kerana beliau bukan lagi menteri.

Shafie memang sombong orangnya. Saya pelik juga macam mana beliau boleh menang Naib Presiden Umno sebanyak dua kali. Jika beliau tidak sombong, saya percaya beliau boleh menang jawatan naib presiden pada tahun 2018 walaupun tidak ada jawatan menteri.

Pak Lah pernah dipecat menteri walaupun dia masih naib presiden Umno pada tahun 1987. Pada tahun 1990, beliau menang walaupun tiada jawatan dalam kabinet. pada tahun 1991, beliau kembali dalam kabinet kerana menurut Dr Mahathir,  perwakilan Umno memilihnya.

Jika Shafie kikiskan perangai sombongnya, beliau boleh menang jawatan naib presiden Umno pada tahun 2018. Jika menang, beliau akan kembali dalam kabinet. Sebaliknya jika terus kekal sombong, maka tahun 2018 beliau akan hanyut sebagai naib presiden Umno.

Belajarlah dari Ghafar Baba yang selalu menang naib presiden Umno walaupun tidak jadi menteri pada tahun 1978, 1981 dan 1984.