Jumaat, September 01, 2017

MERDEKA#QURANHOUR BOLEH DIKEMBANGKAN LAGI PADA MASA AKAN DATANG

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Program Merdeka #QuranHour yang diadakan malam ini adalah program istimewa yang dapat meningkatkan pembangunan rohani umat Islam di negara ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.

Beliau berkata pembangunan rohani perlu seiring dengan kejayaan dalam pembangunan ekonomi dan sosial yang dikecapi negara ketika ini selepas mencapai kemerdekaan.

"Dengan bacaan doa, bacaan Surah Yasin yang dikupas para ustaz menjadikan kita lebih dekat kepada Allah iaitu pencipta kita.

"Ia (program) begitu istimewa sekali bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga kepada yang bukan Islam. Mereka datang untuk melihat apa yang orang Islam buat dan jelas daripada ayat-ayat yang dibaca, Al-Quran bukanlah hanya untuk orang Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berakhirnya program tersebut yang diadakan di Dataran Merdeka di sini.

Sharifah Zarah berkata program Merdeka #QuranHour boleh dikembangkan lagi pada masa akan datang melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi menarik lebih banyak pihak berkolaborasi dalam penganjuran program itu.

Dianjurkan bersama oleh Sekretariat Merdeka KKMM, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Merdeka #QuranHour merupakan anjuran kali pertama, bertemakan 'Bangsa Berbudi dan Penyayang.

Ia diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2017.

-- BERNAMA