Khamis, Oktober 29, 2009

PENYOKONG BN MINTA TEE KIAT DAN TSU KOON BERUNDUR


Seorang penyokong kerajaan Khamis secara lantang mendesak Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berundur kerana disifatkan sudah tidak mendapat kepercayaan parti selain imejnya yang sudah tercalar.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) turut mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk melakukan perkara sama kerana gagal menunjukkan prestasi yang baik sebagai menteri.

Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 di Dewan Rakyat, beliau berkata sebagai barisan hadapan kabinet, seorang menteri tidak seharusnya hilang kepercayaan anggota parti apatah lagi jika maruah dan imejnya jatuh di mata rakyat.

"Kalau ada menteri kabinet yang hilang kepercayaan di kalangan ahli partinya, buat apa jadi menteri kabinet, berhentilah.

"Kalau ada harga diri, maruah diri, berhenti, jangan susahkan Perdana Menteri. Orang lain dalam MCA boleh ganti tempat (dia), apa ingat dia seorang sahaja yang pandai," katanya

Mohamad berkata menteri berkenaan wajar berundur sejajar dengan slogan kerajaan sekarang iaitu supaya 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.

"Saya cakap apa yang dirasai sebahagian besar rakyat. Inilah makna rakyat di dahulukan, menteripun harus bersikap rakyat didahulukan. Rakyat sudah tidak mahu....jalan, jangan tunggu...get out you!," katanya.

Mengenai kedudukan sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga dan menilai Petunjuk Prestasi Utama (KPI), beliau berkata menteri itu sendiri tidak menunjukkan prestasi yang baik.

"Jaga KPI tetapi kalau diri tidak ada KPI, kakitangan di bawah hilang kepercayaan, bagaimana keberkesanan kita sebagai menteri.

"Saya kasihan pada kawan saya (bekas Anggota Parlimen) Batu Kawan (Huan Cheng Guan), dulu seorang Anggota Parlimen yang baik tetapi kawasannya dirampas Presiden (Gerakan, Koh) yang bertanding, tetapi kalah satu negeri, macam ini hendak jaga KPI," katanya.

Beliau juga menyifatkan Koh sebagai 'suka mengampu' kerana tidak pernah hadir di Parlimen kecuali apabila perdana menteri hadir.

"Jadi senator, masuk pintu belakang, jadi menteri, tak datang pun Parlimen. Perdana menteri datang, dia datang, perdana menteri datang, dia datang...ini namanya menteri mengampu," katanya yang menerima sokongan beberapa anggota Parlimen lain termasuk pembangkang.

Kemudian dengan nada yang lebih rendah, Mohamad yang telah tiga penggal menjadi wakil rakyat, turut menasihati para menteri agar tidak bersikap sombong atau bongkak.

"Kata orang tua kalau dongak ke langit jangan lupa rumput di bumi. Jangan jadi teratai, ke langit tidak sampai ke bawah tidak jejak. Hari ini kau menteri esok orang biasa, untung macam saya semalam Anggota Parlimen, hari ini Anggota Parlimen, esok dan selama-lamanya Anggota Parlimen," katanya disambut derai ketawa mereka yang hadir.

Kenyataannya itu membuatkan Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee mencelah dan bertanya adakah itu bermakna beliau tidak berminat untuk menjadi menteri.

Menjawab soalan itu Mohamad berkata: "Saya sudah pernah pengalaman menjadi exco. Setahun 241 mesyuarat, susah hendak jumpa bini, timang anak tak dapat, timang bini pun tak dapat, cukuplah. Tanyalah menteri yang betul bekerja, tak sempat dia timang anak tak sempat...wakil rakyat beginipun alhamdulillah," katanya sekali lagi disambut tepukan mereka yang hadir.

Mohamad turut membangkitkan beberapa isu semasa termasuk program XChange Proton yang didakwa satu polisi yang menyusahkan rakyat terutama masyarakat kampung dan boleh menjatuhkan BN.

Justeru beliau mahu polisi itu dipinda.

Menerusi skim itu, pemilik boleh menukar beli kereta lama mereka dengan minimum jangka hayat 10 tahun bagi diskaun RM5,000 apabila mereka membeli mana-mana kereta Proton.

Semua model kereta layak berada di bawah program itu tetapi ia perlu terlebih dahulu diuji dan disahkan oleh Puspakom Sdn Bhd bagi memastikan ia tidak diubah suai secara haram.

Isu lain yang turut dibangkitkan termasuk tindakan menghalang peminjam Tabung Pendidikan Tinggi Nasional Malaysia (PTPTN) ke luar negara yang beliau harap dapat dikaji semula manakala Kementerian Kesihatan diminta memberi penjelasan tentang dakwaan masakan tomyam campur, yang menggabungkan makanan laut dengan makanan darat contohnya ayam dan daging, mempunyai kaitan dengan jumlah penyakit dan daya tahan penyakit yang semakin rendah di kalangan rakyat negara ini.

Beliau berkata menurut Islam adalah dilarang masakan yang mencampurkan makanan laut dan darat kerana dikhuatiri boleh memudaratkan sistem penghadaman manusia.



-- BERNAMA

ADA ORANG YANG TAK FAHAM BAHASA MELAYU


Saya tak faham kenapa ada juga orang yang tak tahu membaca dalam bahasa Melayu. Saya tulis dalam blog ini menggunakan bahasa simple tapi ada orang yang tak faham lantas mengadu kepada Kamaruddin Ali bahawa kononnya dia kata saya pelahap orangnya. Nasib baik Kamaruddin bukannya orang yang mudah melenting.

Pagi ini dia call saya tanya apa yang saya tulis dalam blog saya. Saya pun jelaskan satu persatu. Sedangkan yang menuduh saya pelahap adalah orang lain. Orang itu pula melenting hantar sms kepada saya marah-marah. Dia ugut nak tampar saya bila jumpa nanti. Ada juga orang yang masih primitif sifatnya. Dia kata saya macam-macam dalam sms kepada saya. Saya tulis semula dalam blog apa yang dia kata kepada saya Dia pula yang marah. Patutnya saya yang marah kepadanya kerana kata macam-macam kepada saya. Pelik juga bila dia kata kepada saya tak apa, bila saya kata kepadanya tak boleh pula.

Saya malas dah layan orang gila ini. Dia datang ke Kuala Lumpur nak jumpa saya. Saya suruh dia datang ke pejabat saya dia tak hendak. Bila saya tak pergi jumpanya, dia marah pula kepada saya. Siapa yang nak jumpa siapa ni? Itu yang pelik. Kalau saya nak jumpanya, saya pergilah carinya di hotelnya tetapi dia yang nak jumpa saya, patutnya dia datanglah ke pejabat saya. Lupakanlah kisah orang gila ini.

Malam tadi seperti biasa saya ke Hotel Vistana mengikuti taklimat GMC. Setibanya saya di lobi hotel saya terserempak dengan bekas mufti Terengganu, Datuk Haji Ismail Yahya. beliau kini adalah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu. Beliau ada urusan rasmi di Ulu Yam melawat pusat pemulihan milik Majlis Agama Islam Selangor. Beliau baru tiba dari Acheh.

Saya kenali beliau sejak saya bekerja sebagai stringer akhbar Berita Harian pada tahun 1986. Ketika itu beliau adalah kadi daerah Kemaman. Selepas itu beliau ditukarkan ke Kuala terengganu sebagai Hakim Mahkamah Syariah. Janda saya, aruah Che Noriah Ngah pernah menyaman saya kes tuntutan anak kami di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu pada tahun 1996 tetapi oleh kerana beliau kenali saya maka fail saman itu tidak bergerak. Maka aruah saya menyaman saya melalui hakim lain. Begitulah untungnya bila kita kenali hakim.

Haji Ismail berasal dari Kijal. Namanya pernah dipilih sebagai calon BN pada pilihanraya umum 2008 menggantikan Datuk Ahmad Said. Datuk Seri Idris Jusoh selaku Pengerusi BN terengganu memilih namanya sebagai calon. tetapi oleh kerana beliau tidak minat jadi ahli politik, maka Ahmad Said kekal sebagai calon. Jika Haji Ismail bertanding, sudah tentu bukan Ahmad Said yang jadi menteri besar terengganu pada tahun 2008.

Kami tidak lama berbual dengan Haji Ismail kerana dia sedang menunggu biliknya. Saya terus ke tingkat satu Hotel Vistana untuk jumpa Seha, orang kuat GMC kerana membeli Nutriblend ubat yang bagus untuk penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung. Saya tidak lama di situ kerana menghadiri majlis hari jadi yang ke 70 tukang urut peribadi saya di sebelah sungai di hadapan hotel tersebut.