Rabu, April 03, 2019

MENANTU FADZIL NOOR DITAHAN TERIMA RASUAH



PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menegaskan tidak akan campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan setiausaha politiknya hari ini.

Dalam kenyataan malam ini, katanya, beliau dimaklumkan mengenai penahanan setiausaha politiknya.

“Ingin saya tegaskan bahawa saya tidak akan campur tangan dalam siasatan pihak SPRM dan saya akan membiarkan undang-undang mengambil tempatnya,” katanya.

Dalam pada itu setiausaha politik Salahuddin direman empat hari bermula hari ini berhubung dakwaan menerima suapan berbentuk jam tangan berjenama Omega dianggarkan bernilai RM28,000.

Majistret Ahmad Asyraf Mohammad Kamal membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman lelaki berusia 47 itu sehingga 5 April ini.

Semalam, suspek tersebut ditahan pada kira-kira 5 petang di Ibu Pejabat SPRM di sini ketika hadir memberi keterangan.