Khamis, Januari 28, 2016

MUSTAPA DITUDUH NAK JUAL NEGARA KERANA TPPA

"Kita juga dituduh nak jual negara. Itu kita dah beri penerangan dalam ucapan saya, hari ini saya bangga kerana yang terlibat gulung semua enam menteri terlibat jawab, hampir 40 kali lebih kita bincangkan isu TPPA di Kabinet, Kabinet ambil berat perkara ini dan kita dah buat yang terbaik untuk rakyat Malaysia," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ,Mustapa Mohamed mengulas usul perjanjian Perkongsian Trans pasifik (TPPA) yang diluluskan Dewan Rakyat semalam.

Ia juga satu sejarah kerana tidak pernah lagi mana-mana perjanjian triti dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan anggota Parlimen dan tempoh dua hari yang diperuntukkan juga satu tempoh yang panjang.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab membawa usul penyertaan Malaysia dalam TPPA,  Mustapa Mohamed akhirnya menarik nafas lega selepas ia diluluskan Dewan Rakyat semalam.

"Ini merupakan cabaran paling besar dalam hidup saya dalam karier saya sebagai menteri, tak pernah saya terlibat dalam sesuatu yang begini rumit.

"Ini kerana TPPA banyak menimbulkan salah faham, banyak perkara yang ada di antaranya tak berasas dan saya mendapat pelbagai pandangan dan kritikan daripada pelbagai pihak," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu pada sidang media di lobi Parlimen.

Usul itu diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 127 anggota Dewan Rakyat menyokong manakala 84 lagi menolak, selepas 24 anggota Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan sesi khas Parlimen itu.

"Saya lama dalam kerajaan tapi ini (cabaran) yang paling getir untuk saya. Alhamdulillah, dengan sokongan semua, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak, TPM (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), anggota-anggota Kabinet, rakan di MITI dan 17 agensi kementerian terlibat, ia bukan usaha bersendirian, ini usaha secara bersama," katanya.

Menurut Mustapa langkah seterusnya yang akan diambil ialah membentangkan perkara berkenaan di Dewan Negara untuk dibahaskan dan sekiranya ia dipersetujui, beliau akan berangkat ke Auckland, New Zealand untuk menandatangani TPPA pada 4 Feb nanti.

"Saya sedar ramai lagi yang bimbang denga TPPA kerana mereka takut dengan momokan, tugas kami masih lagi belum selesai, ini baru permulaan, masih banyak lagi yang perlu dibuat," katanya.

Jelasnya, antara tohmahan paling melampau diterima berhubung perjanjian berkenaan ialah Malaysia mengikut telunjuk Amerika Syarikat dan ekonomi negara akan dikuasai syarikat besar.

Penubuhan jawatankuasa caucus berkaitan TPPA juga adalah langkah bijak kerana ia membolehkan penerangan dibuat dalam suasana penuh berhemah dan tertib.




Mustapa berkata beliau akan bersama Ahmad Hamzah yang juga Pengerusi Anggota Parlimen Jawatankuasa Caucus TPPA dan anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar yang juga anggota caucus untuk merangka tindakan seterusnya, termasuk membincangkan cadangan supaya diadakan satu proses pemantauan dilakukan bagi memastikan negara benar-benar mendapat faedah daripada perjanjian itu.
Pindaan akta-akta bagi kementerian yang terlibat dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat Mac tahun depan.