Ahad, Disember 13, 2015

UMNO TIADA PILIHAN JIKA MUHYIDDIN TERUS BERDEGIL

Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Muhyiddin Yasin angkuh kerana enggan menerima salam perdamaian yang dihulurkan oleh Presiden Umno, Najib Razak. Dalam ucapan penggulungannya petang semalam sekali lagi Najib berkata beliau berjiwa besar sedia menerima mereka yang mengkritiknya walaupun hatinya sudah terluka.

Beliau telah meluahkan ucapan yang sama ketika merasmikan perhimpunan agung Umno pada hari Khamis lalu. Muhyiddin dan seorang lagi Naib Presiden Umno, Shafie Apdal berkata tidak timbul soal minta maaf kepada Najib kerana isu yang dibangkitkan mereka adalah isu rakyat dan bukannya isu personal Najib.

Nampaknya jika Muhyiddin dan Shafie masih berdegil dan masih membangkitkan isu 1MDB dan isu derma RM2.6 billion, Umno tiada pilihan terpaksa memecat atau menggantung keahlian mereka. Belum pernah seorang timbalan presiden Umno mengecam presiden Umno dalam majlis terbuka seperti yang dibuat oleh Muhyiddin Yasin.

Sehubungan dengan itu jika Muhyiddin dan Shafie masih berdegil, mereka terpaksa mengambil keputusan yang amat sukar demi menyelamatkan Umno terus tenggelam dalam PRU akan datang. Seperti kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dr Salleh Said Keruak, Dr Mahathir harus dipersalahkan jika BN tumbang pada PRU akan datang.

Perhimpunan agung Umno sudah berakhir semalam. Sejauh mana para perwakilan dapat menerangkan kepada akar umbi masalah yang berlaku kepada Umno hari ini. Masalah dalaman yang menyebabkan pembangkang bertepuk tangan menunggu pemimpin Umno balun sesama pemimpin Umno seperti kata Najib bahawa balun sesama sendiri bukan budaya Umno.

Adakah perwakilan sekadar bersetuju di hadapan Najib sahaja atau membiarkan rakyat menghukum Najib pada PRU akan datang? Jika ahli Umno bersikap sokong di hadapan, tak sokong di belakang maka Umno yang tumbang kerana ahli Umno sendiri mengundi pembangkang pada PRU akan datang. Bersediakah kita melihat kerajaan baru yang didominasi DAP? Tepuklah dada tanya selera.