Rabu, Januari 03, 2018

PELAJAR DIINGATKAN BERI TUMPUAN KEPADA PELAJARAN



KEMAMAN: Pelajar pelajar sekolah diingatkan memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran.




Ingatan itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif EPIC Berhad, Nur Fadzil Mohd Nor ketika menyampaikan sumbangan Back To School 2018 di Mesra Mall di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibaca oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Epic, Wan Shukri Mohamad.




Beliau meminta para pelajar manfaatkan segala peluang yang ada untuk menimba ilmu dan mengasah bakat dengan sebaik mungkin supaya mereka menjadi insan yang baik.




"Jadikanlah sekolah sebagai tempat menimba ilmu, membina pengalaman, membentuk bakat dan mengasah budaya kepimpinan kerana andalah merupakan aset negara yang bernilai pada masa hadapan," katanya.




Beliau berharap mereka menjauhi perkara yang tidak berfaedah dan jangan terpengaruh dengan gejala tidak sihat dan tidak bermoral seperti ponteng, buli, dadah serta lain-lain gejala negatif yang boleh merosakkan diri.




"Oleh itu berusahalah menjadi yang terbaik kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini hanya yang terbaik akan berjaya," tegasnya.




Pada hari ini seramai 40 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Seri Iman dan Sekolah Kebangsaan Chukai menerima sumbangan baucer membeli pakaian sekolah, di samping kasut sekolah, alat alat tulis dan juga beg sekolah.




Dalam sidang akhbar Wan Shukri berkata pada tahun 2017 sebanyak RM100,000 disediakan EPIC Berhad untuk tujuan Program CSR yang berkaitan dengan program Back To School di seluruh negeri Terengganu.




Katanya, program CSR sebegini diwujudkan atas dasar untuk membantu dan memberi sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik dengan harapan sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan kesusahan yang ditanggung oleh ibu bapa pada hari ini.