Khamis, November 13, 2008

PENJELASAN ISU KETUA BAHAGIAN LARUT





Seorang ahli jawatankuasa UMNO di bahagian saya, Jumaat lepas mengirim pesanan khidmat ringkas (SMS) dari Kota Bahru mengatakan seluruh Malaysia sedang melihat perkembangan di Larut.

Editor WATAN, Mohd Zabidi Haji Saidi ada meminta saya selaku Ketua UMNO Bahagian Larut agar menerangkan kedudukan sebenar mengenai masalah yang sedang melanda bahagian Larut.

Pada mulanya saya agak keberatan, khuatir nanti ada yang mengatakan saya mengambil kesempatan menjelang mesyuarat agung pemilihan bahagian kerana akan mempertahankan jawatan tersebut.

Namun bagi mengelakkan kekeruhan berpanjangan, saya bersetuju untuk memberitahu kedudukan yang sebenarnya terutama berhubung dengan kehadiran Datuk Hamzah Zainuddin yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ke bahagian Larut.

Seperti yang umum sedia maklum, nama Hamzah muncul bertanding di parlimen Larut pada pilihanraya umum ke 12 yang baru lalu, walaupun tanpa pengetahuan saya dan ahli-ahli jawatankuasa bahagian yang lain dan kami amat terkejut dengan pengumuman Menteri Besar Perak ketika itu, kerana langsung tidak diperbincangkan mengenai pencalonan beliau itu bagi bertanding di tempat kami.

Hamzah yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) yang dilantik oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah bekas Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat. Parlimen ini merupakan kubu kuat bukan Melayu, justeru wakilnya adalah dari MCA.

Walaupun pada peringkat awal, ramai yang kecewa dengan kehadiran Hamzah dan di bahu saya memikul tanggung jawab yang besar, tetapi demi maruah parti, seluruh jentera BN di Larut dikerah bekerja keras bagi mempastikan kemenangan hamzah. Akhirnya beliau memperolehi majoriti lebih kurang 1,900 undi. Ketika saya bertanding di tempat yang sama pada pilihanraya umum 2004, saya memperolehi majoriti 7,435 undi.

Kini saya ditukarkan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah yang juga dalam parlimen Larut. Kawasan ini adalah kawasan baru yang mula diwujudkan pada pilihanraya 2004 dan merupakan kerusi panas.

Begitupun, jawatankuasa bahagian sekali lagi dikejutkan apabila diberitahu juga tanpa pengetahuan bahagian bahawa keahlian Hamzah ke Larut sudah diterima pada 3 April. Lebih mengejutkan lagi beliau dikatakan boleh bertanding dalam pemilihan tahun ini juga, sedangkan surat pekeliling Setiausaha Agung yang menyatakan sebarang penjelasan yuran, pertukaran cawangan dan bahagian hanyalah dilakukan sehingga berakhir 31 disember 2007 bagi melayakkan mereka mengambil bahagian dalam persidangan agung cawangan dan bahagian tahun 2008.

Dan keadaan ini cukup mengelirukan lantas jawatankuasa bahagian mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut dan membuat keputusan menangguhkan persidangan agung kesemua 97 cawangan sehingga diberitahu kerana ingin menyelesaikan perkara tersebut terlebih dahulu.

Masalah itu yang mendapat bantahan jawatankuasa bahagian turut juga dibangkitkan ke mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri Perak yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Tajol Rosli yang kemudian memutuskan membawa perkara itu ke peringkat atasan.

Pada ketika masalah itu berbangkit, berlaku pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh. Kemudian ia sekali lagi dibangkitkan dalam mesyuarat Perhuhungan UMNO negeri pada hari yang kebetulan Perdana Menteri mengadakan lawatan berbuka puasa di Ipoh.

Ramai yang bertanya kepada saya apa sudah jadi dengan bahagian Larut, Hamzah kata dia tidak mahu bertanding, Cuma sekadar mahukan jawatan Bendahari bahagian semasa beliau menghadiri majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri di Ipoh dan kebetulan turut mengetahui ialah Perdana Menteri, Tajol Rosli, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan ketua-ketua bahagian yang kebetulan berada semasa beliau menyatakan hasratnya itu di hadapan saya dan disambut dengan pujian. Turut hadir dalam rombongan Perdana Menteri itu ialah Menteri Luar Bandar dan Kemajuan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Tan Sri Anuar Musa, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan.

Saya masih ingat ketika menghadiri jamuan hari raya Hamzah di Selama dengan tidak disangka-sangka beliau telah menarik saya naik ke pentas dalam dewan tempat jamuan tersebut sambil meminta mereka yang hadir supaya menyokong saya mempertahankan jawatan ketua bahagian.

Beliau juga telah telah secara terbuka menyatakan kepada ramai ahli UMNO bahagian termasuk timbalan ketua, Datuk Mohd Daud Mohd Yusof, yang juga ADUN Selama dan Datuk Najmuddin Alias yang juga ADUN Batu Kurau yang beliau tidak akan mencampuri urusan bahagian termasuk bertanding apa-apa jawatan, kecuali jika ditawarkan jawatan Bendahari.

Namun masalah ini sebenarnya timbul bukanlah semata-mata kerana soal pertandingan tetapi menjadi tanggungjawab bahagian mengikut perlembagaan parti ke atas perjalanan semua persidangan cawangan dan wajar mempastikan hanya mereka yang berhak sahaja dibenarkan bertanding.

Justeru atas tanggung jawab itu dan berdasarkan surat pekeliling yang disebutkan tadi, bahagian membuat keputusan untuk menolak pencalonan yang telah diberikan kepada Hamzah bagi mengelakkan sebarang pertikaian dan pembatalan mesyuarat agung bahagian.

Keputusan diambil secara konsensus itu dan keputusan menangguhkan persidangan termasuk beberapa hal lain yang masih lagi belum dapat diselesaikan, maka jawatankuasa bahagian yang bermesyuarat minggu lalu telan bersetuju menangguhkan persidangan pada 9hb nov. dan permohonan penangguhan itu telah dihantar kepada perhubungan umno negeri dan ibu pejabat umno Malaysia, bagi mendapatkan kebenaran.

Lagi pun, Datuk Seri Abdullah telah membuat kenyataan akhbar yang menyarankan mana-mana bahagian yang bermasalah, elok membuat permohonan menangguhkan persidangan daripada terbatal dan terpaksa mengadakan mesyuarat semula.

Berpegang kepada kenyataan tersebut, jawatankuasa bahagian Larut telah memohon kebenaran daripada UMNO Malaysia bagi menggelakkan sebarang kesulitan di kemudian hari.

Namun, keputusan bahagian itu telah dijawab oleh Setiausaha agung UMNO yang mengatakan bahawa Hamzah boleh bertanding dan berhak bercakap, memilih dan dipilih, sekiranya beliau tidak menggunakan haknya bercakap, memilih dan dan dipilih di bahagian asalnya pada tahun yang sama. (SUA UMNO merujuk kepada perkara 6.3.8. perlembagaan UMNO) dalam kenyataan akhbar.

Satu pertanyaana timbul, bagaimana sekiranya, Hamzah telah didapati menggunakan haknya di bahagian asalnya dalam tahun yang sama, sedangkan beliau telah diterima oleh ibu pejabat UMNO menjadi ahli UMNO bahagian Larut?

Atau dalam kata-kata lain, selepas menjadi ahli di bahagian Larut, beliau masih lagi menggunakan haknya di bahagian yang lama iaitu Ipoh Barat.

Justeru bagi meleraikan kemelut tersebut, dalam mesyuarat jawatankuasas bahagian yang diadakan pada hari Jumaat (7hb November lalu) telah mengambil keputusan juga secara consensus untuk menemui pengerusi jawatankuasa pengurusan bagi memberi penjelasan mengenai perkara tersebut.

Malah jawatankuasa bahagian bersedia berhadapan dengan pihak atasan untuk berbuat demikian, sekiranya diberikan peluang dan sememangnya itulah yang diharapkan agar dapat diberikan peluang untuk menjelaskan perkara yang sebenar-benarnya.

Bahagian hanya mahukan keadilan dan berharap pihak jawatankuasa pengurusan sudi menerima penjelasan ini bagi mengembalikan semula kekeruhan yang berlaku demi masa depan UMNO bahagian dan juga parti.

Ramai yang berpendapat adalah mustahil, Hamzah boleh diterima bertanding dalam tempoh beliau diterima ahli pada tahun yang sama dengan begitu cepat, tidak sampai sebulan bertanding dalam pilihanraya pada 8 Mac, sedangkan masih ada mereka yang bertahun lamanya membuat permohonan, tetapi belum lagi mendapat kelulusan.

Perkara ini berlaku di Larut, bagaimana kalau di kemudian hari berjangkit di tempat lain, apakah layanan yang sama akan diberikan?

Agak aneh, kenapa bahagian Larut menjadi sasaran pertandingan merebut jawatan ketua bahagian sedangkan dalam pilihanraya umum lalu, kepimpinan bahagian telah berjaya mempertahankan kemenangan keempat-empat kerusi yang di pertandingkan iaitu parlimen dan tiga DUN, selain Kubu Gajah adalah Selama dan Batu Kurau.

Di bahagian berhampiran, Parit Buntar ketiga-tiga kerusi yang dipertandingkan, kesemuanya tewas, tetapi ketua bahagian, Datuk Abdul Rahman Suliman, tidak pula ditentang, sebaliknya pemimpin-pemimpin di situ berpakat demi perpaduan.

Perlu diingat dalam keghairahan berlakunya perebutan jawatan ini jangan dilupa tanggung jawab sebenar ahli-ahli parti bagi mempastikan matlamat utama untuk merampas semula negeri-negeri yang BN kalah.

Di Perak setakat ini, dua ADU telahpun tewas dalam perebutan jawatan ketua bahagian. Mereka ialah, bekas ketua bahagian Beruas, Datuk Hamdi Abu Bakar yang gagal mempertahankan jawatannnya dan Datuk Nasaruddin Hashim merebut ketua bahagian di Parit.

Satu pertanyaan timbul, apakah BN dan UMNO Perak mampu merampas semula negeri tersebut daripada tangan pembangkang dalam masa terdekat ini atau dalam pilihanraya umum akan datang? Tepuk dada tanya selera.

Penjelasan ini telahpun saya sampaikan semasa berucap merasmikan persidangan pemuda, wanita dan puteri bahagian Larut pada hari Sabtu bagi menggelakkan sebarang tanggapan buruk terhadap kepimpinan bahagian.


(Rencana ini ditulis oleh Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin dalam kolumnya, Salam Kubu Gajah yang tersiar dalam akhbar WATAN, Ahad 16-22 November 2008)

MUHYIDDIN TAK PERLU TAGIH JANJI


Muhyiddin Yassin tidak perlu menagih janji dari Najib Razak dalam pertandingan timbalan presiden UMNO pada Mac depan. Ini adalah kerana Najib tidak pernah berjanji apa-apa dengan Muhyiddin.

Lagipun kenapa Muhyiddin harus takut kepada pertandingan tiga penjuru? Biar perwakilan memutuskan siapa yang layak jadi timbalan presiden. Pada tahun 1981, bakal presiden UMNO, Dr. Mahathir Mohamad kononnya berkecuali dalam pertandingan timbalan presiden UMNO di antara Menteri Kewangan, Ku Li dengan Menteri Pelajaran, Musa Hitam.

Tetapi apabila pegawai khas Dr. Mahathir, Aziz Shamsuddin berkempen untuk Musa, ini menunjukkan Dr. Mahathir mahu Musa dan bukannya Ku Li, maka menanglah Musa dalam pertandingan tersebut.

Dalam pertandingan tiga penjuru ini, Najib tak perlu bersuara siapa yang dia mahu jadi timbalannya. Namun demikian, apabila setiausaha politik Najib, Shafie Abdullah yang menang tanpa bertanding sebagai ketua bahagian Wangsa Maju mencalonkan Muhyiddin untuk jawatan timbalan presiden, ini boleh ditafsirkan bahawa Najib menyokong Muhyiddin. Muhyiddin masih tak faham ke?

DR. KHIR REDAKAN KETEGANGAN PAK LAH-MAHATHIR


Saya berpeluang bertemu dengan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Khir Toyo pada petang Rabu lalu untuk menemubual calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu. Sebelum ini saya sudah bertemu dengan ahli parlimen Jerlun, Datuk Mukriz Mahathir dan ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Bagi saya, di antara mereka bertiga, Khairy paling petah berhujah tetapi kemampuan anak Jawa ini untuk menjadi Ketua Pemuda tidak boleh dipandang enteng. Beliau mahu mengembalikan kegemilangan pemuda di zaman Datuk Harun Idris dan Tan Sri Syed Jaafar Albar.

Dapatkah Dr. Khir diterima oleh para perwakilan? Sebagai bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Khir telah berjaya membangunkan Selangor seperti Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan Tan Sri Abu Hassan Omar. Kemiskinan tegar berjaya dikurangkannya. Begitu juga bilangan setinggan di Selangor berjaya dikurangkannya.

Beliau sepatutnya tanding naib presiden UMNO kerana pada tahun 2004 beliau menang ahli majlis tertinggi UMNO nombor 1. Biasanya ahli majlis tertinggi nombor 1, mudah menang kerusi naib presiden seperti mana Ali Rustam dan Tengku Ahmad Riathaudeen. Tetapi oleh kerana beliau tidak ada jawatan dalam kerajaan, beliau rasa jawatan ketua pemuda lebih sesuai untuk beliau.

Beliau adalah calon alternatif di antara menantu Perdana Menteri, Pak Lah dan anak bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad. Sebagai anak orang kampung, Dr. Khir lebih tidak ada protokol berbanding Khairy dan Mukhriz. Beliau pernah hidup susah. Jadi apabila pemuda mahu memperjuangkan masalah kemiskinan, Dr. Khir lebih memahami masalah orang miskin berbanding dengan Khairy dan Mukhriz. Oleh itu kemungkinan Dr. Khir menang pada Mac depan tidak boleh dinafikan. Sampai bila ahli-ahli UMNO mahu lihat pergeseran Pak Lah-Mahathir berterusan? Jadi Dr. Khir menawarkan diri untuk menghentikan pergeseran ini.

Dr. Khir suka di kalangan exco pemuda yang tidak yes men. Dia suka dia diargue dalam mesyuarat. Oleh itu jika Dr. Khir terpilih sebagai ketua pemuda, beliau mahu pemuda lebih kritikal dan beliau dari dulu bersikap kritikal dalam apa jua isu.

Dr. Khir pernah diserang dengan isu Bukit Cherakah tapi beliau menang dalam isu itu walaupun pada mulanya ia menimbulkan kemarahan Perdana Menteri. Tetapi anak Jawa ini tidak jatuh walaupun setiap hari Utusan Malaysia menyerangnya seolah-olah ada agenda untuk menjatuhkannya. Itulah kelebihan Dr. Toyo.

Saya kira jika Dr. Khir diberi peluang memimpin pemuda, beliau akan menjadi ketua pemuda yang berani dan lantang seperti Datuk Harun Idris dan Tan Sri Syed Jaafar Albar. Terpulanglah kepada para perwakilan untuk membuat keputusan.

SHAHANIZA TIDAK AKAN TARIK DIRI


Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Shahaniza Shamsuddin tidak akan tarik diri dari bertanding merebut jawatan Ketua Puteri UMNO Malaysia pada Mac depan.

Katanya, beliau tetap bertanding walaupun bakal Presiden UMNO adalah orang Pahang.

“Ada yang mengatakan bahawa oleh kerana Presiden UMNO orang Pahang, jadi Ketua Puteri berilah kepada orang lain, bukan orang Pahang,” kata beliau dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur minggu lalu. Beliau adalah ADUN Kuala Sentul di Maran, Pahang.

Shahaniza adalah cucu peneroka FELDA Jengka 3, Pahang . Seorang peguam lulusan dari Universiti Kebangsaan Malaysia rasa berbangga kerana dapat berbakti sebagai wakil rakyat di kampung kelahirannya. Beliau adalah ADUN wanita kedua di Pahang selain daripada Senator Maznah Mazlan yang masih seorang ADUN walaupun sudah dilantik timbalan menteri.

Beliau berkata walaupun sibuk sebagai ADUN, beliau tidak ada masalah untuk menerajui Pergerakan Pututeri UMNO Malaysia kerana beliau tahu membahagikan masa sama ada di Pahang atau di Kuala Lumpur.

Beliau lebih suka supaya Nolee Ashilin menjadi regunya dalam pertandingan naib ketua puteri kerana katanya lebih mudah bekerja dengan orang yang serasi dengannya.

Shahaniza berharap para perwakilan puteri dapat mengundi dengan matang. Jangan undi kerana sentimen kenegerian. Ada yang menggunakan isu kononnya beri peluang kepada orang Sabah untuk menerajui puteri (Rosnah Shirlin), Shahaniza berkata soal beri peluang kepada orang Sabah tidak timbul kerana yang penting perwakilan diberi peluang untuk memilih pemimpin yang berwibawa.

“Pemimpin hendaklah diterima secara menyeluruh. Saya pun dapat pencalonan dari Sabah. Jadi sebagai pemimpin nasional, kita jangan terpengaruh dengan sentimen kenegerian,” katanya sambil mengakui bahawa tanggungjawab yang akan digalasnya amat besar untuk menarik golongan puteri menyokong BN dalam pilihan raya umum akan datang.

MB PERAK TAK PROFESIONAL


Nampak sangat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin tidak professional apabila beliau bertindak di luar dugaan apabila memaksa jurugambar Utusan Malaysia menyerahkan kamera dan memadamkan gambarnya yang diambil ketika penyerahan surat tuntutan maaf daripada seorang peguam semalam.


Kejadian berlaku semasa sesi rehat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di dewan makan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini apabila jurugambar, Mohd. Najib Mohd. Nor, 28, merakamkan gambar Mohammad Nizar menerima surat tuntutan maaf daripada peguam Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali.


Surat itu disampaikan oleh wakil firma guaman Shafee & Co. menuntut Menteri Besar menarik balik tuduhannya bahawa Mohd. Tajol Rosli terlibat dalam konspirasi politik membabitkan penangkapan dua Exco kerajaan negeri ini oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada Ogos lalu.
Dalam kejadian itu, jurugambar Utusan Malaysia telah diherdik dan diminta keluar dengan berkata ''Go.. go..".


Selepas meminta Mohd. Najib keluar, Mohammad Nizar kemudian dengan memanggil semula Mohd. Najib.


''Woi, mari sini. Saya nak memory card kamera tu," katanya.


Mohd. Najib bagaimanapun enggan menyerahkan kad tersebut tetapi bersedia memadamkan gambar yang diambilnya itu di depan Mohammad Nizar.


Bagaimanapun, Menteri Besar itu meminta kamera untuk memastikan gambar- gambar tersebut telah dipadamkan.


Selepas membuat pemeriksaan, beliau menyerahkan kamera itu kepada Setiausaha Akhbarnya, Anuar Hashim bagi membuat pemeriksaan lanjut.


Tidak lama selepas itu, barulah kamera berkenaan diserahkan semula kepada Mohd. Najib.
Mohammad Nizar kemudian bertanya lagi kepada jurugambar itu ''Siapa beri keizinan ambil gambar ini? Awak dari mana?"


Wakil syarikat guaman Shafee & Co. itu kemudiannya diminta menyerahkan surat tuntutan tersebut di pejabat Menteri Besar.


Penyerahan surat tuntutan yang sama juga dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air, Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Ngeh Koo Ham di pejabatnya.