Khamis, November 13, 2008

MB PERAK TAK PROFESIONAL


Nampak sangat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin tidak professional apabila beliau bertindak di luar dugaan apabila memaksa jurugambar Utusan Malaysia menyerahkan kamera dan memadamkan gambarnya yang diambil ketika penyerahan surat tuntutan maaf daripada seorang peguam semalam.


Kejadian berlaku semasa sesi rehat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di dewan makan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini apabila jurugambar, Mohd. Najib Mohd. Nor, 28, merakamkan gambar Mohammad Nizar menerima surat tuntutan maaf daripada peguam Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali.


Surat itu disampaikan oleh wakil firma guaman Shafee & Co. menuntut Menteri Besar menarik balik tuduhannya bahawa Mohd. Tajol Rosli terlibat dalam konspirasi politik membabitkan penangkapan dua Exco kerajaan negeri ini oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada Ogos lalu.
Dalam kejadian itu, jurugambar Utusan Malaysia telah diherdik dan diminta keluar dengan berkata ''Go.. go..".


Selepas meminta Mohd. Najib keluar, Mohammad Nizar kemudian dengan memanggil semula Mohd. Najib.


''Woi, mari sini. Saya nak memory card kamera tu," katanya.


Mohd. Najib bagaimanapun enggan menyerahkan kad tersebut tetapi bersedia memadamkan gambar yang diambilnya itu di depan Mohammad Nizar.


Bagaimanapun, Menteri Besar itu meminta kamera untuk memastikan gambar- gambar tersebut telah dipadamkan.


Selepas membuat pemeriksaan, beliau menyerahkan kamera itu kepada Setiausaha Akhbarnya, Anuar Hashim bagi membuat pemeriksaan lanjut.


Tidak lama selepas itu, barulah kamera berkenaan diserahkan semula kepada Mohd. Najib.
Mohammad Nizar kemudian bertanya lagi kepada jurugambar itu ''Siapa beri keizinan ambil gambar ini? Awak dari mana?"


Wakil syarikat guaman Shafee & Co. itu kemudiannya diminta menyerahkan surat tuntutan tersebut di pejabat Menteri Besar.


Penyerahan surat tuntutan yang sama juga dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air, Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Ngeh Koo Ham di pejabatnya.