Sabtu, September 10, 2016
PPR GUA MUSANG LAKSANA SISTEM SEWA DAN BELI PERTAMA
GUA MUSANG 9 Sept. – Sebanyak 1,000 keluarga berpendapatan rendah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang menjadi penerima pertama sistem sewa dan beli rumah yang baru diperkenalkan kerajaan.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, sistem tersebut membolehkan penyewa memiliki rumah selepas membayar sewa bulanan dalam suatu tempoh masa yang akan ditetapkan.
Katanya, sistem itu juga dapat membantu penghuni rumah yang berpendapatan rendah serta berhadapan masalah mendapatkan pinjaman bank.
“Penerima rumah PPR Gua Musang boleh mendiami rumah berkenaan tanpa dikenakan sebarang bayaran pendahuluan dan konsep ini berlainan dengan rumah PPR yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan sebelum ini.
“Kos rumah PPR adalah kira-kira RM150,000 seunit tetapi kita hanya jual pada harga RM35,000. Jumlah keseluruhan bagi projek pembinaan rumah PPR Gua Musang adalah RM150 juta,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kekal Banjir (RKB) kepada 31 mangsa banjir, di sini semalam.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Galas, Ab. Aziz Yusoff.
Menurut Noh, pihak kementerian turut bercadang untuk mewajibkan pemasangan lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang melebihi tiga tingkat.
“Sebelum ini lif hanya disediakan di rumah PPR yang melebihi lima tingkat. Saya akan kemukakan cadangan ini ke Kabinet setelah mengambil kira keperluan rakyat khususnya penghuni yang berumur serta mempunyai masalah kesihatan,” katanya.
Tambah Noh, pihaknya juga akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk menambah keluasan rumah PPR daripada 65 meter persegi kepada 74 meter persegi.
“Selain itu, pada minggu lepas, Kabinet bersetuju bahawa syarat kelayakan untuk memohon rumah PPR dilonggarkan iaitu individu yang berpendapatan RM3,000 ke bawah juga layak memohon,” katanya.
Langgan:
Catatan (Atom)