Sabtu, Disember 06, 2008

PP DENGAN KT MEMANG TAK SAMA



Bakal Presiden UMNO yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, situasi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu (KT)pada 17 Januari depan adalah berbeza dengan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh (PP)sebelum ini.


Menurut Timbalan Perdana Menteri, PP melibatkan perebutan kerusi yang dipertahankan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala KT melibatkan kerusi yang sebelum ini dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).


"Ia berbeza... suasana berbeza dan keadaannya pun berbeza dan ini merupakan negeri yang ditadbir oleh BN,” kata beliau ketika menghadiri tahlil arwah Datuk Razali Ismail di Kuala Terengganu malam tadi.


Pilihan raya kecil PP memang tak sama dengan pilihan raya kecil KT. PKR menang kerusi PP pada pilihan raya umum 8 Mac lalu. Jadi bila PKR berjaya mempertahankan PP pada pilihan raya kecil 28 Ogos lalu, ia tidak menambah kerusi pembangkang. Begitu juga kerusi KT. Pada 8 Mac lalu, BN menang dengan majoriti 680 undi walaupun tiga kerusi DUN dimenangi oleh PAS. Jadi jika BN kalah, ini bermakna pilihan raya kecil KT tak sama dengan PP.


BN gagal menawan PP kerana itu kubu kuat PKR. Tapi jika BN gagal mempertahankan KT, ini bermakna BN kehilangan satu kerusi lagi di Dewan Rakyat, Jika BN salah letak calon, BN mungkin kalah.


Pada pilihan raya kecil PP, mesyuarat jawatankuasa UMNO Bahagian sebulat suara bersetuju memilih ketuanya, Datuk Jalil sebagai calon tetapi pucuk pimpinan tidak mengikut keputusan bahagian. BN pusat pilih Datuk Arif Shah Omar Shah. Akhirnya BN tewas.


Pada 9 Disember ini kemungkinan jawatan kuasa UMNO Bahagian Kuala Terengganu bermesyuarat. Mesyuarat itu dijangka memilih ketuanya, Datuk Wan Farid sebagai calon. Jika BN pusat tidak ikut keputusan mesyuarat bahagian seperti keputusan mesyuarat bahagian PP, ada kemungkinan BN tewas.


Oleh itu BN tidak ada pilihan lain selain dari meletakkan Wan Farid. Kelebihan Wan Farid ialah beliau tidak pernah bertanding dalam pilihan raya. Pada tahun 1999, Wan Mokhtar mahu beliau bertanding di parlimen Kemaman tetapi jawatankuasa UMNO Bahagian Kemaman menolaknya.


Pada tahun 2004, beliau tidak dipilih sebagai calon tetapi selepas itu dilantik Setiausaha Politik Pak Lah. Pada tahun 2008, sekali lagi beliau tidak dipilih sebagai calon oleh Idris Jusoh tetapi Pak Lah melantiknya sebagai senator dan Timbalan Menteri Dalam Negeri.


Dalam UMNO pula, pada tahun 1995, beliau adalah Ketua Penerangan Pemuda. Pada tahun 1998, beliau dipilih Ketua Pemuda UMNO Bahagian. Pada tahun 2000, beliau dipilih timbalan ketua bahagian dan pada tahun 2004, beliau mengalahkan Datuk Roslan Awang Chik bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian dan pada pemilihan UMNO bulan lepas, beliau menang tanpa bertanding.


Ini bermakna kepimpinan beliau sudah diterima oleh ahli-ahli UMNO Kuala Terengganu. Justru itu jika beliau diletakkan sebagai calon BN, peluang untuk BN menang adalah cerah.


Sudah sampai masanya bagi BN letak beliau sebagai calon pada hari penamaan calon 6 Januari depan. BN kena kerja kuat untuk pastikan kemenangannya dalam pilihan raya kecil 17 Januari 2009 ini.