Rabu, Mac 24, 2010

TAHNIAH BUAT AHMAD SAID


Tahniah kepada Datuk Haji Ahmad Said yang menyambut ulangtahun kedua sebagai MB Terengganu semalam. Semalam akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian menyiarkan sisipan khas sempena genap dua tahun beliau menjadi MB.

Oleh itu saya tidak perlu mengulangi semula apa yang telah dilakukan oleh Ahmad Said sepanjang dua tahun lalu.Semuanya sudah tercatat dalam kedua-dua akhbar bahasa Melayu tersebut.

Setelah dua tahun beliau menjadi MB, beliau perlu menilai kembali kekuatan dan kelemahannya supaya dua tahun berbaki sebelum pilihanraya umum ke 13, BN terus kekal memerintah Terengganu. Tahniah Ahmad Said!

Kebetulan semalam saya berada di Kuala Terengganu menemui pegawai penyelidik kanan MB, Hambali Latif di pejabatnya. Pada masa yang sama, rakan lama Zahani Sulong datang bersama Hambali.

Banyak cerita menarik yang diluahkan oleh bekas Ketua Biro Berita Harian Kelantan itu kepada kami yang membuatkan kami ketawa terbahak-bahak. Dia ceritakan pengalamannya bersama bekas MB, Allahyarham Datuk Nik Hassan Nik Abdul Rahmna.

Katanya, Nik Hassan suka berjoget. Siang dia rasmikan Simposium Sastera Islam, pada malamnya pula dia buat majlis joget.

Beliau ceritakan juga pengalamannya bersama seorang lagi bekas MB, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad. Selepas beliau berhenti kerja dengan Berita Harian pada tahun 1980an, beliau menemui Wan Mokhtar. Wan Mokhtar tak tahu nak letak Zahani di mana maka Wan Mokhtar kata ambillah bantuan kebajikan masyarakat. Terkejut Zahani mendengar kata-kata Wan Mokhtar itu menyebabkan kami semua ketawa.

Banyak lagi pengalaman lucu Zahani jika dibukukan boleh dijadikan pedoman kepada wartawan-wartawan baru. Pada masa yang sama, saya terlihat berita kematian Bapak Pujangga atau Pak Husin dalam akhbar. Saya pernah bersamanya dalam Persatuan Wartawan melayu Terengganu pada tahun 1998 dahulu.

"Nasib baik berita kematiannya tersiar dalam akhbar. Bila kita mati nanti, ada tak orang tulis berita kematian kita?" tanya Zahani yang membuatkan kamisemua tertawa.

Saya terpaksa minta diri apabila rakan saya, Marzuki Muda tiba di pejabat Hambali pada jam 2.15 petang. Memang tidak puas berbual dengan Zahani selama satu jam di pejabat Hambali.

Sepanjang perjalanan dari pejabat Hambali menuju ke kereta Marzuki, saya hairan dengan sikap Unit Komunikasi yang tidak membuat liputan majlis MB sedangkan unit itu diketuai oleh Setiausaha Akhbarnya, Rosli Zakaria. Hairan bin ajaib!