Jumaat, Julai 23, 2010
SELEPAS INI PEGAWAI KERAJAAN BOLEH HENTAM MB
Sekarang ini tidak salah pegawai kerajaan menghentam Ketua Menteri atau Menteri Besar seperti yang berlaku pada SDO Pulau Pinang, Nik Ali Mat Yunus dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, tindakan disiplin tidak perlu diambil ke atas Nik Ali kerana dia berhak mempertahankan dirinya. Nampaknya keadaaan begitu celaru di bawah Sidek Hassan. Selepas ini jika berlaku pegawai kerajaan menghentam MB, maka ia bukanlah satu kesalahan.
Kebetulan ia berlaku di Pulau Pinang negeri yang diperintah oleh bukan BN. Cuba ia berlaku di negeri yang diperintah BN seperti Pahang atau Melaka tak tahulah apa akan jadi kepada SDO Pahang atau Melaka. Perkara perselisihan faham di antara MB dengan SDO bukan perkara baru.
Tanyalah Datuk Seri Shahidan Kassim. Beliau pernah jadi SDO Perlis. MB Perlis ketika itu nampak Shahidan ada kepentingan politik kerana beliau adalah Naib Ketua UMNO Bahagian ketika itu. Maka Shahidan ditukarkan ke Kuala Lumpur sebagai Setiausaha Bahagian di Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah.
Shahidan tidak biadap seperti Nik Ali mengadakan sidang akhbar. Sebaliknya Shahidan menerima pertukaran ini sebagai qada dan qadar.Shahidan jadi mangsa politik. Akhirnya Allah mengangkat Shahidan sebagai Menteri Besar Perlis. Begitulah kehendak Allah.
Shahidan tidak melenting pun seperti Nik Ali. Maka tindakan KSN mempertahankan tindakan Nik Ali bukanlah tindakan yang wajar. Sepatutnya KSN meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada Ketua Pengarah JPA, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah sebagai KSN yang baru. Belum pernah berlaku dalam sejarah perkhidmatan awam,pegawai kerajaan bebas menjawab tuduhan orang politik dalam akhbar. Walaupun ia bukan sidang akhbar tetapi bila ditanya oleh wartawan, sepatutnya Nik Ali menjawab, "no comment".
Jangan sampai rakyat sudah tidak percaya kepada pegawai kerajaan lagi. Kalau Nik Ali hendak berpolitik letaklah jawatan dan bertanding di Penaga (Datuk Azhar Ibrahim pun tak nak bertanding lagi) dan jika BN menang semula di Pulau Pinang, silap-silap Nik Ali jadi Ketua Menteri yang baru manakala Lim Guan Eng menjadi Ketua pembangkang.Barulah Nik Ali bebas berperang dengan Lim Guan Eng dalam Dewan Undangan Negeri.
Langgan:
Catatan (Atom)