Ahad, Disember 31, 2017

SEMOGA TAHUN 2018 MEMBAWA LEBIH BANYAK KEJAYAAN KEPADA MHONLINE










Oleh : Hidayat Fansyuri (dipetik dari MHONLINE)

Tahun 2017, adalah tahun yang sukar bagi saya untuk menguruskan portal berita www.mhonline.com.my sejak bermula dari tahun 2013, tahun 2017 adalah tahun dimana saya terpaksa turun mencari sendiri pelanggan sejak ketiadaan Ybhg Dato’ Fatah Iskandar yang banyak membantu portal MH Online setelah beliau berhenti sebagai setiausaha politik di Pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Walau sesukar manapun keadaan, saya sedar portal ini harus terus bergerak dan saya berusaha untuk mengerakkan dari mula.

Nasib kami agak baik kerana beberapa organisasi sudi membeli iklan di portal kami walaupun tidak lah sebanyak mana tetapi cukup untuk kami bergerak dan membeli beberapa kelengkapan dan menaiktaraf sistem operasi MH Online.

Dari iklan yang diterima, kami terpaksa berjimat sedaya mungkin untuk perbelanjaan selama setahun bagi kos perjalanan, elaun dan lain-lain kos.

Kami bergerak hampir setahun dengan kos iklan yang tidak seberapa itu dan ianya cukup memeritkan, pelbagai proses suka duka dalam mengurus portal ini saya tempuhi satu persatu, masalah kakitangan, sewaan, hampir ditipu, dan berbagai lagi.

Dari situ saya mula belajar dan mengerti selok belok perniagaan media, saya bernasib baik dikelilingi oleh orang yang berpengalaman dalam bidang kewartawanan dan penulisan.

Zabidi Saidi sebagai ketua editor MH Online banyak membantu saya mengurus portal ini, tanpa beliau mungkin portal ini tidak lagi wujud. Beliau banyak membantu dalam penulisan dan pemasaran iklan.

Seorang lagi Abdullah Karim wartawan senior juga banyak menyumbang kepada MH Online, terima kasih kepada anda semua yang membantu.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pejabat YAB Timbalan Perdana Menteri kerana menyokong portal kecil ini secara berterusan sejak 2015, kepada pelanggan kami dan kepada mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam membantu MH Online Media.

2017 akan terpahat dalam memori MH Online Media, semoga tahun 2018 menjanjikan seribu manfaat, Insya Allah.

Selamat Menyambut Tahun Baru 2018 dari kami MH Online Media.

RATING TERTINGGI BAGI BULAN DISEMBER 2017

Disember 2017 menutup tirai 2017 dengan posting "Mokhtar percaya MCA akan bantu calon Umno Bandar Tun Razak" mendapat rating tertinggi sebanyak 1,160 hits. 10 rating tertinggi bagi bulan Disember 2017 adalah seperti berikut:-

1. Mokhtar percaya MCA akan bantu calon Umno Bandar Tun Razak (27 Disember)
2. Rauf tanding parlimen Masjid Tanah? (14 Disember)
3. Perkasa cadang pertemuan tertutup mengenai MA63 (5 Disember)
4. Hishamuddin bukan saingan Zahid (12 Disember)
5. Budiman bakal MB Selangor? (12 Disember)
6. Felda mahu dapatkan semula hak ke atas tanahnya di Jalan Semarak (21 Disember)
7. Warna hitam Mokhtar jadi tumpuan (7 Disember)
8. Neng Hayati berhasrat tanding Ketua Wanita Umno Bahagian Bandar Tun Razak (8 Disember)
9. Latifah Omar akur dengan keputusan parti (29 Disember)
10. Perkasa syukur Dr Zakir Naik dilepaskan dari tangkapan Interpol (20 Disember)

DAPATKAH LANGKAWI TERIMA MAHATHIR SEBAGAI AHLI PARLIMEN?

SHAH ALAM, 30 Dis (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan kemungkinan bertanding sama ada di kerusi Parlimen Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Saya mungkin bertanding di satu daripada tiga kawasan ini. Mereka beritahu saya bahawa saya punya peluang baik untuk menang di Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya.

"Jadi bersiap-siaplah untuk itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan penggulungan pada perhimpunan agung pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang juga pengerusi PPBM berkata parti itu telah memutuskan segala hubungan dengan PAS dalam soal menjalin kerjasama politik.

"Melainkan kalau orang PAS keluar PAS masuk mana-mana parti Pakatan Harapan termasuk PPBM, mereka dialu-alukan," katanya.

Mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa beliau sedang berusaha merundingkan persetujuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi menyelamatkan karier politik anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Dr Mahathir menafikan perkara itu.

Laporan itu antara lain menyebut persetujuan itu memerlukan Najib melantik Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri II sebelum PRU14 serta memberinya jawatan Kabinet, sama ada Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri atau Menteri Pertahanan.

Sebagai balasan, Dr Mahathir kononnya akan berhenti menyerang Najib dan tidak akan lagi bersama Pakatan Harapan, menurut laporan itu.

-- BERNAMA