Khamis, Mac 01, 2018

JAMBATAN GANTUNG SIAP AKHIR TAHUN INI

KUALA TERENGGANU, 1 Mac (Bernama) -- Penantian rakyat Terengganu untuk menyaksikan sendiri satu lagi cerita kejayaan negeri ini bakal menjadi kenyataan apabila jambatan gantung yang pertama seumpamanya di negara ini dijangka siap pada penghujung 2018.

Mengambil idea pembinaan jambatan gantung di kota raya London, iaitu London Tower Bridge, jambatan yang belum dinamakan itu kini sedang rancak dalam pembinaan di muka kuala sungai Terengganu, iaitu di tengah-tengah bandar raya pesisir pantai, Kuala Terengganu ini.

Bakal menjadi mercu tanda dan satu lagi daya tarikan pelancongan di sini, jambatan yang mula dibina pada tahun 2014 itu kini sudah mencapai 70 peratus pembinaannya melibatkan laluan utama jambatan, empat menara, dan dua 'sky bridge'.

Pihak Berkuasa Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC) merupakan pihak yang bertanggungjawab membina keseluruhan projek Kuala Terengganu City Centre atau KTCC dan jambatan gantung yang menelan kos pembinaan kira-kira RM5 bilion itu adalah sebahagian daripada komponen projek itu.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata jambatan itu apabila siap kelak akan mengubah keseluruhan landskap bandar raya ini serta menjadi nadi utama sektor pelancongan bukan sahaja bagi negeri ini tetapi juga di wilayah pantai timur.

Kedudukan jambatan yang strategik di tengah-tengah bandar raya itu juga akan memendekkan jarak perjalanan trafik dari bandar ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Nerus iaitu dari 30 minit kepada 10 minit sahaja.

"Daripada perspektif perniagaan pula, setakat ini projek itu telah berjaya menarik pelaburan pihak swasta bernilai RM33 bilion dengan jangkaan dapat memberikan 40,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata ia dilihat sebagai strategi pembangunan menyeluruh yang mana kesan pembinaan jambatan itu bukan sahaja menyuburkan ekonomi dan sektor pelancongan negeri Sang Penyu ini malah rakyat tempatan turut sama mendapat tempias manfaatnya iaitu dari segi peluang pekerjaan untuk mereka meningkatkan taraf hidup dan ekonomi masing-masing.

"KTCC merupakan satu daripada projek strategik untuk pelancongan kerana Terengganu bersedia menjadi gerbang pelancongan untuk pantai timur...dalam rangka kerja ini, KTCC dijangka menarik sebanyak RM5 bilion pelaburan baharu dalam sektor hartanah yang mewujudkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan," katanya.

Katanya, di menara jambatan itu nanti terdapat galeri yang akan dibuka kepada orang awam bagi melihat keindahan pemandangan seluruh bandar raya ini selain terdapat restoran serta kedai-kedai di kawasan berhampiran 'sky bridge'.

"Pengunjung juga pasti akan tertunggu-tunggu saat dan masa apabila jambatan itu dibuka dan ditutup nanti dan pada masa ini, pelaksanaannya akan dibuat dua atau tiga kali sehari, atau mengikut keperluan dan keadaan trafik.

"Seperti mana yang kita dapat lihat di London Tower Bridge yang mana para pengunjung dapat melihat pergerakan sistem navigasi jambatan di bahagian tepi jambatan berkenaan, sudah tentu jambatan di sini akan mengujakan para pengunjung," katanya.

Kedatangan pelancong tempatan dan juga asing pastinya meningkat selepas melihat keunikan struktur binaan itu wujud di Terengganu yang kebiasaannya hanya terkenal dengan keindahan pulau-pulau dan pantainya.

Golongan yang turut mendapat manfaat daripada projek pembinaan jambatan itu sudah pastinya nelayan dan pekerja firma marin dan perkapalan yang akan melalui jambatan itu sebelum melabuhkan bot-bot dan kapal-kapal mereka di muara sungai Terengganu.

Jebasingam berkata isu alam sekitar juga tidak perlu dirisaukan kerana pihaknya telah menjalankan kajian terperinci selama dua tahun agar ekosistem di sepanjang muara sungai terpelihara dan tidak terjejas teruk susulan pembinaan jambatan itu,

"Apa sahaja projek kami lakukan dengan cara yang mampan. Dalam konteks KTCC, kami telah melakukan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan semua langkah mitigasi telah disediakan...kami juga bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk aspek hidraulik bagi projek di masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA