Jumaat, April 08, 2016

PAC MINTA BEKAS CEO 1MDB DISIASAT

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) meminta pihak berkuasa supaya menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan pihak yang berkaitan.

Menurut PAC, Shahrol Azral perlu bertanggungjawab terhadap kelemahan dan kekangan dalam
pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

Sebelum ini, PAC telah memanggil Shahrol Azral untuk memberi taklimat dan penjelasan pada 25 dan 30 Nov 2015.

Sementara itu, Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin, dalam kenyataannya, menyarankan pihak penguat kuasa perlu membuat siasatan lanjut dan, mengambil tindakan undang-undang sekiranya wujud kesalahan.

PAC dalam laporan itu seterusnya mengesyorkan supaya Lembaga Penasihat 1MDB dimansuhkan berserta Artikel 117 dalam Memorandum dan artikel syarikat itu.

"Segala rujukan kepada YAB Perdana Menteri perlu ditukar kepada Menteri Kewangan, selaras dengan peruntukan syarikat lain kepunyaan MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan)," menurut jawatankuasa Parlimen itu dalam Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB, yang diedarkan di Parlimen di sini hari ini.

Laporan itu turut dimuat naik di laman web Parlimen www.parlimen.gov.my.

Artikel 117 di bawah memorandum dan artikel 1MDB antara lain menetapkan semua keputusan mengenai lantikan dan pemecatan pengurusan atasan 1MDB, serta sebarang komitmen kewangan termasuk keputusan pelaburan 1MDB boleh mempunyai kesan kepada jaminan kerajaan Persekutuan perlulah mendapat kelulusan bertulis Perdana Menteri.

Dalam laporannya, PAC mendapati pengurusan 1MDB beberapa kali tidak mematuhi keputusan dan arahan Lembaga Pengarah atau pun bertindak sebelum kelulusan khusus daripada Lembaga Pengarah.

"Terdapat beberapa pelaburan dan pinjaman besar yang dibuat tanpa penilaian terperinci (termasuk penelitian impak terhadap aliran tunai syarikat) dan beberapa keputusan besar telah dibuat melalui resolusi bertulis," menurut laporan itu.

PAC juga berpendapat, penggunaan hutang yang berlebihan di dalam struktur modal tidak boleh dibenarkan sama sekali, lebih-lebih lagi apabila aliran tunai syarikat tidak mencukupi.

Ia juga menyarankan kawal selia yang lebih rapi oleh lembaga pengarah termasuk mempersoalkan harga belian aset dan kos hutang.

Bagaimanapun, PAC mendapati kerajaan telah mengambil langkah serta merta untuk memperbaiki masalah aliran tunai syarikat yang mula timbul pada November 2014.

Pengurusan tertinggi baharu 1MDB telah dibawa masuk selepas itu, sebelum pelan rasionalisasi dibentangkan kepada Kabinet pada 29 Mei 2015.

PAC juga berpendapat, penggunaan hutang yang berlebihan di dalam struktur modal tidak boleh dibenarkan sama sekali, lebih-lebih lagi apabila aliran tunai syarikat tidak mencukupi.

Ia juga menyarankan kawal selia yang lebih rapi oleh lembaga pengarah termasuk mempersoalkan harga belian aset dan kos hutang.

Bagaimanapun, PAC mendapati kerajaan telah mengambil langkah serta merta untuk memperbaiki masalah aliran tunai syarikat yang mula timbul pada November 2014.

Pengurusan tertinggi baharu 1MDB telah dibawa masuk selepas itu, sebelum pelan rasionalisasi dibentangkan kepada Kabinet pada 29 Mei 2015.

Pada 4 Mac, 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang dikeluarkan pada hari berkenaan, laporan Ketua Audit Negara akan diserahkan untuk pemerksaan telus kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang bersifat bipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen.

PAC dipengerusikan anggota Parlimen Rompin daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin manakala naib pengerusinya ialah anggota Parlimen Kepong daripada DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Ahli-ahli jawatankuasanya yang lain terdiri daripada lapan anggota Parlimen BN, dua PKR, masing-masing seorang daripada DAP dan PAS.

Sementara itu bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini berkata tiada kesalahan atau aktiviti melanggar undang-undang berlaku dalam syarikat itu ketika di bawah pengawasannya.

Dalam kenyataan dikeluarkan di sini, Shahrol Azral berkata ketika penyiasatan dijalankan terhadap syarikat itu, beliau menghadap anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan memberi penjelasan penuh dan secara jujur kepada mereka tentang perkara yang berlaku ketika beliau menjadi CEO 1MDB.

Shahrol Azral juga berkata beliau akan terus memberi kerjasama penuh tentang perkara itu.

"Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

"Semasa siasatan dijalankan, saya banyak kali hadir di hadapan anggota PAC yang dihormati.

"Saya ceritakan sepenuhnya dan dengan jujur semua perkara semasa saya menjadi CEO 1MDB. Seperti yang dijelaskan kepada PAC, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa tiada sebarang perbuatan salah atau aktiviti yang melanggar undang-undang berlaku dalam syarikat itu ketika dalam pengawasan saya.

"Saya akan terus beri kerjasama penuh, yakin dengan sepenuh hati bahawa saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan tiada apa yang hendak disembunyikan".

PAC, dalam Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB yang dibentangkannya di Dewan Rakyat hari ini, meminta pihak berkuasa menyiasat Shahrol Azral dan para pegawai lain yang berkenaan.

PAC berkata Shahrol Azral perlu bertanggungjawab bagi kelemahan dan kekangan yang wujud dalam syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

-- BERNAMA