Khamis, November 22, 2018

TRADE DAY@MAHA 2018 SASAR NILAI JUALAN RM250 JUTA

SERDANG, 22 Nov (Bernama) – Acara berkaitan perdagangan agro-makanan 'Trade Day@MAHA 2018' disasar menghasilkan anggaran nilai jualan RM250 juta sepanjang dua hari penganjurannya sehingga esok.

Ia diadakan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.

Ketika berucap merasmikan Trade Day hari ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Salahuddin Ayub berkata acara itu juga menyasarkan kira-kira 1,000 padanan perniagaan melibatkan peniaga tempatan dan luar negara.

"Ia menjadi platform... untuk meluaskan jaringan perniagaan, mencipta tawaran perniagaan baharu serta meninjau peluang perniagaan di Malaysia," katanya mengenai acara yang julung kali diadakan itu.

Beliau berkata antara negara luar yang mengambil bahagian ialah Taiwan, China, Thailand, India, Australia, Indonesia, Nigeria dan Hungary.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pedagang berpotensi dari dalam dan luar negara mencari antara lain bekalan produk siap proses, segar, sejuk beku, kering, konfeksioneri dan snek, tenusu, makanan kesihatan, organik, halal dan agro-teknologi," katanya.

Salahuddin berkata di bawah naungan MOA beserta sokongan jabatan dan agensi berkaitan, Trade Day@MAHA 2018 diharap menjadi kedai sehenti (one-stop shop) untuk meningkatkan perdagangan produk berasaskan pertanian – daripada produk segar ke teknologi – dari Malaysia.

Acara itu menampilkan 770 gerai jualan dengan penyertaan 680 pempamer, mesyuarat perniagaan serta forum perniagaan bersama jemputan daripada agensi kerajaan berkaitan.

-- BERNAMA