Jumaat, Jun 10, 2016
MASTURA MAAFKAN NIZAR
KUALA KANGSAR, 9 Jun (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid berkata beliau tidak akan mengambil sebarang tindakan malah memaafkan mereka yang memfitnahnya.
Kemaafan itu turut diberikan kepada Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengaitkan kematian suaminya, penyandang kerusi itu dalam nahas helikopter di Sarawak 5 Mei lepas sebagai balasan Allah.
"Saya maafkan Nizar sebab saya percaya Allah akan menunjukkan kebenaran pada kita semua. Saya tidak akan mengambil tindakan (lanjut) dan saya anggap ini satu perkara yang harus saya maafkan. Kami perlu teruskan kehidupan," katanya dalam sidang media di kediamannya di sini semalam
Mastura berkata kenyataan Mohammad Nizar terhadap Allayarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad itu tetap mengguris hati dan perasaan mereka sekeluarga, namun beliau memaafkan bekas menteri besar Perak itu.
Mohammad Nizar dalam satu ceramah umum Amanah di Kampung Sayong Lembah di sini pada Selasa dipetik sebagai berkata "Allah mahu orang Kuala Kangsar 'mengajar' (memberikan kekalahan kepada) BN menerusi PRK Kuala Kangsar".
Selain itu, Mastura berharap semua parti yang bertanding pada PRK Parlimen Kuala Kangsar dapat menghormati kesederhanaan serta keharmonian masyarakat di kawasan itu.
Ditanya mengenai kecenderungan pembangkang menggunakan isu nasional dalam kempen PRK itu, Mastura berkata: "Cara kempan kami berbeza. Saya dipilih mewakili penduduk Kuala Kangsar. Isu nasional biarlah saya fikir masa di Parlimen nanti (jika dipilih)".
Dalam sidang media itu, Mastura turut mengumumkan lima agenda yang beliau akan perjuangkan untuk penduduk Kuala Kangsar jika dipilih sebagai Anggota Parlimen kawasan tersebut.
Katanya agenda itu adalah menaik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (Kuisas) kepada Universiti Awam dan menyegerakan kelulusan projek jambatan Manong.
Selain itu, Mastura juga akan memohon kelulusan projek membesar dan melebarkan jalan Manong-Kuala Kangsar, menaik taraf Hospital Kuala Kangsar kepada hospital pakar serta membangunkan semula lembah dan tebing Sungai Perak sebagai pusat pelancongan.
"Semua senarai ini merupakan pemikiran arwah datuk (Wan Mohammad Khair-il) sendiri tapi tak kesampaian. Saya harap saya akan jadi ejen ke arah merealisasikan semua ini demi orang Kuala Kangsar," katanya.
Ketika ditanya mengenai dakwaan ada anggota UMNO di Kuala Kangsar yang tidak gembira dengan pemilihannya sebagai calon, Mastura percaya mereka akan bersama-sama dengannya.
"Pastinya dalam kalangan rakan-rakan, kami mempunyai perbezaan pendapat ...tetapi saya pasti dan yakin rakan-rakan saya (anggota UMNO) akan menyokong saya," katanya.
Pengundian PRK itu berlangsung 18 Jun ini, yang menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, PAS, Amanah dan Bebas.
-- BERNAMA
BUDIMAN PERSOAL AMANAH BERSEKONGKOL DENGAN DAP NAIKKAN PAPAN IKLAN
SUNGAI BESAR, 9 Jun (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) Budiman Mohd Zohdi mempersoalkan tindakan Parti Amanah Negara (Amanah) bersekongkol dengan DAP untuk mencetuskan kebencian kaum Cina terhadap kaum Melayu melalui tindakan menaikkan papan iklan yang berunsur provokasi di pekan Sekinchan, semalam.
Beliau turut kesal kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar yang baharu memasuki hari kelima telah dicemari bibit-bibit kebencian yang disemai parti berkenaan.
"Kita minta Amanah yang kononnya punyai fitrah Islam dan sama-sama bertanding beri jawapan mengapa mereka bersekongkol (dengan DAP) mempromosi dan menyemai kebencian politik.
"Sepanjang lima hari kempen saya lihat jentera Amanah semuanya menjadi boneka DAP ... mereka lebih menyemai sentimen kebencian berbanding dengan isu pembangunan yang seharusnya diberi keutamaan di Sungai Besar," kata Budiman dalam sidang media di sini hari ini.
Polis semalam mengesahkan menerima satu laporan berkenaan tindakan menaikkan papan iklan berbaur perkauman dan fitnah di Sekinchan semalam.
Pengerusi DAP Selangor Tony Pua pula dalam sebuah portal berita turut dipetik sebagai mengakui parti itu telah menaikkan papan iklan tersebut.
Mengenai keengganan Pua memohon maaf kepada BN, Budiman berkata beliau tidak terkejut kerana itulah prinsip dan pendirian DAP.
"Ternyata mereka rasa senang dengan elemen kebencian politik dan kita lihat Pua sendiri telah mengaku bertanggungjawab. Saya jangkakan taktik ini akan berterusan dibawa oleh pihak mereka.
"Apapun saya rayu pada pengundi supaya fokus kepada pembangunan dan perpaduan kaum demi menjamin kesejahteraan masyarakat di Parlimen ini," katanya.
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu berkata beliau sedang berbincang dengan penasihat undang-undang sama ada akan membuat laporan polis berhubung tuduhan DAP bahawa beliau telah menurunkan empat papan iklan milik parti itu di Sekinchan dan digantikan dengan papan iklan sendiri.
Budiman yang menafikan dakwaan DAP itu turut menyifatkan tuduhan itu sebagai taktik murahan pihak lawan yang sangat terdesak untuk memalukan serta mencemar karakter peribadi beliau.
"Saya lihat banner itu bercanggah langsung dengan SOP (Prosedur Operasi Standard) banner-banner milik saya, sebab (dalam banner) saya tidak berpakaian baju Melayu di kawasan yang majoritinya pengundi Cina dan pakaian blazer bukan juga SOP dari pasukan saya.
"Saya tidak tuduh DAP tetapi saya fikir ada pihak yang sudah takut dengan gerak kerja saya bertemu 3,000 pengundi setiap hari. Saya lihat mereka bankrap idea dan sengaja memburukkan keperibadian saya bertujuan menggugat sokongan rakyat terhadap BN," katanya.
Ketika membuat tinjauan mesra di Pekan Sekinchan pagi tadi, Budiman telah didatangi ADUN Sekinchan Ng Suee Lim yang menuduh beliau 'mencuri' empat papan iklan milik DAP yang dinaikkan di pekan itu dan menggantikannya dengan papan iklan beliau sendiri.
PRK Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Budiman; calon PAS Dr Abdul Rani Osman dan Azhar Abdul Shukur daripada Amanah.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Langgan:
Catatan (Atom)