Sabtu, November 01, 2008

KENAPA TIMBALAN MENTERI KALAH?


Siapa yang tidak mahu wang? Semua orang mahu wang. Malah orang gila pun mahu wang. Tetapi biarlah wang itu wang yang berkat. Begitu juga dalam soal pemilihan UMNO. Apa makna pemilihan pemimpin jika pemimpin yang berwibawa tewas tetapi pemimpin yang tabur wang menang.

Kekalahan Timbalan Menteri Pelajaran, Razali Ismail bagi jawatan naib ketua bahagian Kuala Terengganu menunjukkan bahawa wang main peranan penting. Aneh seorang ADUN yang kalah, Wan Hisham yang juga abang ketua bahagian, Wan Farid Wan Salleh boleh menang sedangkan para pengundi Ladang telah menolaknya. Kenapa para perwakilan tolak seorang timbalan menteri sedangkan beliau adalah orang kepercayaan Menteri Pelajaran, Hishamuddin Hussein. Tidak dapat dinafikan wang main peranan penting di atas kemenangan Wan Hisham. Alangkah ruginya para perwakilan menolak seorang timbalan menteri.

Bekas Exco Kerja raya ini memang kaya. Malah beliau dikatakan sering terbang ke London sewaktu menjadi Exco dahulu. Partnernya, Sabri Alwi menang timbalan ketua bahagian mengalahkan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Che Mat Jusoh.

Wan Farid yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri dapat goyang kaki kerana tidak jadi dicabar oleh Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Zubir Embong. Zubir patuh kepada arahan Menteri Besar, Ahmad Said supaya jangan lawan ketua bahagian.

Apa makna menang dalam pemilihan bahagian tetapi kalah dalam pilihan raya? Semua DUN dalam parlimen Kuala Terengganu kalah kecuali kerusi MCA di DUN Bandar menang. Di Batu Buruk calon BN, Nordiana Shafie kalah. Adakah dengan kemenangan Sabri Alwi atau Mat Kerak ini dapat memberi jaminan DUN Batu Buruk ditawan semula pada tahun 2012?

Begitu juga BN kalah di Wakaf Mempelam. Adakah kemenangan Wan Hisham sebagai naib ketua yang baru dapat beri jaminan bahawa kerusi DUN Ladang dapat ditawan semula? Di Kuala Terengganu, BN kalah di tiga kerusi DUN dan hanya menang satu kerusi (MCA) tetapi bagi kerusi parlimen, Razali berjaya mengalahkan calon PAS, Haji Mohamad Sabu. Ini bermakna Razali boleh diterima oleh para pengundi PAS. Bagi kerusi DUN, mereka pangkah calon PAS tetapi bagi parlimen, mereka pangkah calon BN iaitu Razali.

Oleh itu kekalahan kedua-dua tokoh ini, Che Mat Jusoh dan Razali Ismail menunjukkan para perwakilan lebih mementingkan wang daripada perkhidmatan mereka. Che Mat dipecat oleh kerajaan PAS dari jawatan Setiausaha Kerajaan pada tahun 1999. Beliau dipilih sebagai calon BN bagi Batu Buruk pada tahun 2004 tetapi kalah. Namun demikian beliau dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri.

Razali Ismail pula seorang bekas pengarah pelajaran negeri. Beliau yang berasal dari Kuala Berang, Hulu Terengganu dapat diterima oleh para pengundi Kuala Terengganu. Kalau PAS boleh letak Haji Mohamad Sabu yang dari Pulau Pinang masakan para pengundi Kuala Terengganu tidak boleh menerima yang juga orang Terengganu walaupun berlainan daerah.

CADANGAN MUHYIDDIN DITOLAK


Nampaknya cadangan Muhyiddin Yassin supaya majlis tertinggi UMNO mempercepatkan tarikh pehimpunan agung UMNO tidak dilayan oleh majlis tertinggi. Majlis tertinggi yang bermesyuarat semalam telah menetapkan tarikh perhimpunan agung UMNO dari 24-28 Mac 2009.



Pak Lah berpuas hati kerana majlis tertinggi tidak membincangkan isu pertukaran tarikh perhimpunan agung tersebut. Semalam genap lima tahun Pak Lah menjadi Perdana Menteri, majlis ulang tahun kelima langsung tidak diadakan. Beginilah nasib pemimpin yang mahu bersara. Tiada orang buat majlis mengenang jasanya sedangkan dari segi ketelusan di zaman Pak Lah lebih telus.



Kalau majlis tertinggi pinda pulak tarikh, nampak sangat majlis tertinggi tidak serius. Senang ubah tarikh dari bulan Disember 2008 kepada Mac 2009 dan balik semula ke Disember 2008. Jadi calon-calon ada masa yang panjang selama empat bulan untuk berkempen.



Dalam pada itu majlis tertinggi meminta semua calon atau ejen calon kembali ke kampung masing-masing. Majlis tertinggi difahamkan ejen-ejen itu sedang berkeliaran di hotel-hotel di Kuala Lumpur. Sejauh mana benar mereka main politik wang sukar dibuktikan kecuali ada perwakilan yang sudi tampil ke depan menyerahkan wang yang diterima kepada Lembaga Disiplin UMNO.



Ada cerita kononnya seorang calon telah beri kepada ejennya di Dungun sebanyak RM50,000 untuk dapatkan satu pencalonan bagi satu jawatan. Tetapi bila undi dikalah. Tak pasti sama ada wang itu sampai ke tangan perwakilan atau tidak. Jika sampai, mungkin calon itu sudah dapat pencalonan. Seramai 400 perwakilan kalau dapat RM100 seorang maknanya ejen dapat untung RM10,000.



Politik wang tidak dapat dielakkan. Oleh itu kalau nak main wang, mainlah. Tetapi jangan sampai kena tangkap sudahlah. Nanti naya macam kes Isa Samad dahulu.

KETEGASAN MB DIPUJI


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, beliau berhak untuk melantik atau menggugurkan mana-mana ahli Exco kerajaan negeri di bawah pimpinannya.
Menurutnya, tindakan tersebut tiada kena-mengena dengan kehendak ahli-ahli UMNO yang mahukan Exco tertentu untuk menjadi ketua UMNO bahagian.
"Saya Menteri Besar, saya ada hak terhadap Exco saya. Hak UMNO bahagian ialah melantik ketua bahagian, hak saya lantik Exco. Ia dua keadaan berbeza," ujarnya selepas perasmian Pertunjukan Kuda Kebangsaan 2008 oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Terengganu Equestrian Resort (TER) di Kuala Terengganu semalam.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad yang memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Marang diminta meletak jawatan berikutan 'kedegilan' beliau mengingkari nasihat supaya tidak menentang ketua bahagian sedia ada pada pemilihan bahagian itu, 25 Oktober lepas.
Yahya Khatib menewaskan, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar yang juga bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia dengan kelebihan 198 undi.
Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata, beliau telah mengarahkan semua Exco kerajaan negeri supaya tidak bertanding jawatan ketua bahagian sebelum mesyuarat cawangan bermula.
Jelasnya, arahan tersebut bagi membolehkan setiap Exco kerajaan negeri memberikan tumpuan terhadap jawatan masing-masing dalam kerajaan negeri.
"Biar orang lain memegang jawatan sebagai ketua bahagian kecuali dia memang sudah menjadi ketua bahagian... arahan saya jelas," tegasnya.
Ketika ditanya punca Yahya Khatib akan digugurkan, Ahmad berkata, beliau akan menjelaskan perkara tersebut semasa mengumumkan senarai baru barisan kepimpinan negeri itu nanti.
Mengenai kehendak akar umbi di UMNO Bahagian Marang yang memilih Yahya Khatib beliau berkata: "Kehendak saya pun dia kena ikut."
Ahmad menjelaskan, istilah pemecatan Exco kerajaan negeri sebenarnya tidak timbul sebaliknya beliau menyifatkan apa yang bakal berlaku adalah perubahan dalam senarai barisan kepimpinan negeri itu.
"Ada Exco yang digugur, ada yang dibawa masuk," ujarnya.
Beliau memberitahu, rombakan barisan Exco kerajaan negeri itu akan dilakukan pertengahan bulan depan selepas selesai Kejohanan Kuda Lasak Dunia (WEC) FEI 2008 di Lembah Bidong, Setiu dari 6 hingga 9 November ini.
Saya sokong penuh ketegasan Ahmad Said selaras dengan tulisan saya dalam blog sebelum ini yang meminta beliau memecat Yahya dari jawatan Exco kerana tidak mematuhi arahan Menteri Besar.
Soal melantik Exco adalah kuasa MB jadi Pak Lah tak perlulak komen kerana beliau ada hak untuk pecat Muhyiddin yang tidak ngam dengannya.