Sabtu, November 01, 2008

KENAPA TIMBALAN MENTERI KALAH?


Siapa yang tidak mahu wang? Semua orang mahu wang. Malah orang gila pun mahu wang. Tetapi biarlah wang itu wang yang berkat. Begitu juga dalam soal pemilihan UMNO. Apa makna pemilihan pemimpin jika pemimpin yang berwibawa tewas tetapi pemimpin yang tabur wang menang.

Kekalahan Timbalan Menteri Pelajaran, Razali Ismail bagi jawatan naib ketua bahagian Kuala Terengganu menunjukkan bahawa wang main peranan penting. Aneh seorang ADUN yang kalah, Wan Hisham yang juga abang ketua bahagian, Wan Farid Wan Salleh boleh menang sedangkan para pengundi Ladang telah menolaknya. Kenapa para perwakilan tolak seorang timbalan menteri sedangkan beliau adalah orang kepercayaan Menteri Pelajaran, Hishamuddin Hussein. Tidak dapat dinafikan wang main peranan penting di atas kemenangan Wan Hisham. Alangkah ruginya para perwakilan menolak seorang timbalan menteri.

Bekas Exco Kerja raya ini memang kaya. Malah beliau dikatakan sering terbang ke London sewaktu menjadi Exco dahulu. Partnernya, Sabri Alwi menang timbalan ketua bahagian mengalahkan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Che Mat Jusoh.

Wan Farid yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri dapat goyang kaki kerana tidak jadi dicabar oleh Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Zubir Embong. Zubir patuh kepada arahan Menteri Besar, Ahmad Said supaya jangan lawan ketua bahagian.

Apa makna menang dalam pemilihan bahagian tetapi kalah dalam pilihan raya? Semua DUN dalam parlimen Kuala Terengganu kalah kecuali kerusi MCA di DUN Bandar menang. Di Batu Buruk calon BN, Nordiana Shafie kalah. Adakah dengan kemenangan Sabri Alwi atau Mat Kerak ini dapat memberi jaminan DUN Batu Buruk ditawan semula pada tahun 2012?

Begitu juga BN kalah di Wakaf Mempelam. Adakah kemenangan Wan Hisham sebagai naib ketua yang baru dapat beri jaminan bahawa kerusi DUN Ladang dapat ditawan semula? Di Kuala Terengganu, BN kalah di tiga kerusi DUN dan hanya menang satu kerusi (MCA) tetapi bagi kerusi parlimen, Razali berjaya mengalahkan calon PAS, Haji Mohamad Sabu. Ini bermakna Razali boleh diterima oleh para pengundi PAS. Bagi kerusi DUN, mereka pangkah calon PAS tetapi bagi parlimen, mereka pangkah calon BN iaitu Razali.

Oleh itu kekalahan kedua-dua tokoh ini, Che Mat Jusoh dan Razali Ismail menunjukkan para perwakilan lebih mementingkan wang daripada perkhidmatan mereka. Che Mat dipecat oleh kerajaan PAS dari jawatan Setiausaha Kerajaan pada tahun 1999. Beliau dipilih sebagai calon BN bagi Batu Buruk pada tahun 2004 tetapi kalah. Namun demikian beliau dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri.

Razali Ismail pula seorang bekas pengarah pelajaran negeri. Beliau yang berasal dari Kuala Berang, Hulu Terengganu dapat diterima oleh para pengundi Kuala Terengganu. Kalau PAS boleh letak Haji Mohamad Sabu yang dari Pulau Pinang masakan para pengundi Kuala Terengganu tidak boleh menerima yang juga orang Terengganu walaupun berlainan daerah.