Ahad, November 27, 2016

AHLI UMNO PERLU DIDIDIK SETIA KEPADA PARTI

KOTA BHARU, 27 Nov (Bernama) -- Prihatin dengan ancaman perpecahan dalam kalangan anggota UMNO sehingga wujud parti serpihan, seorang veteran UMNO menyarankan agar program pendidikannya diperkasakan bagi mewujudkan anggota dan pemimpin yang sentiasa setia dengan perjuangan parti.


Pengerusi Veteran UMNO Kelantan Datuk Mohd Rozali Isohak berkata pemerkasaan program itu juga perlu untuk melahirkan anggota dan pemimpin yang lebih mengutamakan perpaduan yang kukuh dalam parti.

Sudah sampai masanya UMNO menumpukan perhatian kepada program pendidikan itu dengan mewujudkan pusat-pusat pendidikan sampai ke peringkat cawangan parti untuk mendidik para anggotanya secara sistematik dan menyeluruh seperti yang dilakukan PAS, katanya dalam satu temu ramah dengan Bernama di sini.

"UMNO juga perlu mengambil langkah segera untuk mendekatkan golongan Islamik kepada parti itu dengan menguasai institusi dalam masyarakat seperti masjid dan surau," katanya

Mohd Rozali berkata seluruh warga UMNO sekarang harus sedar bahawa kewujudan UMNO pada 1946 yang diasaskan Datuk Onn Jaafar, ketika itu telah menjadi wadah untuk orang Melayu terutama golongan Islamik dan nasionalis bersama-sama berjuang menentang Malayan Union hingga berjaya.

UMNO diasaskan pada 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Bahru diketuai Datuk Onn dengan matlamat mendukung cita-cita kebangsaan Melayu bagi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Penubuhan UMNO adalah hasil usul Kongres Melayu Se-Malaya pertama yang diaturkan Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 yang disertai wakil 41 pertubuhan Melayu.

Kongres tersebut diadakan bertujuan menentang Malayan Union yang dilihat menjadi ancaman terhadap hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Sultan-sultan Melayu.

"Sama ada mereka itu golongan agama atau profesional, UMNO perlu memenangi hati mereka kerana kejayaan menggarap tenaga daripada kesemua golongan itu dalam satu perjuangan dan kesetiaan yang satu, di bawah satu bumbung, akan menjadikan UMNO sebuah parti yang kuat untuk orang Melayu tanpa meminggirkan kaum lain," katanya.

Mohd Rozali berkata UMNO juga sebagai parti tunjang bagi masyarakat luar bandar perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menjaga kebajikan mereka dalam menempuh pelbagai cabaran termasuk kenaikan kos sara hidup.

Mohd Rozali yang juga Naib Pengerusi Kanan Veteran UMNO Malaysia dan anggota Jawatankuasa Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), turut berharap para perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 dapat mengumpul idea dan pendekatan untuk memperkukuhkan perpaduan parti.

Mereka juga harus mengariskan kriteria calon pilihan raya boleh menang untuk persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14} dan bagaimana untuk menarik sokongan rakyat terutama golongan pengundi muda kepada UMNO dan BN, katanya.

ZAHID HANYA MAKAN DI PINGGAN YANG ADA DI HADAPANNYA

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Berikut adalah transkrip temu bual Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selaku Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016.

Temu bual ekklusif dengan Bernama ini akan disiarkan dalam rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel di saluran Astro CH502, myTV CH12 dan HyPPTV CH410, pada pukul 10 malam Sabtu (26 Nov).

Selain mengulas panjang lebar kepentingan solidariti dan kebersamaan anggota parti bersama pucuk pimpinan UMNO, Ahmad Zahid turut menyingkap topik seperti kesiapsiagaan UMNO menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14, kepentingan UMNO untuk seluruh rakyat Malaysia dan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Perhimpunan tahunan itu akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 29 Nov hingga 3 Dis.

SOALAN: Pada Perhimpunan Agung UMNO 2016, Datuk Seri menggalas tugas-tugas sebagai Timbalan Presiden parti dan diberi mandat untuk merasmikan perhimpunan ketiga-tiga sayap. Apa perasaan Datuk Seri?

AHMAD ZAHID: Tugas pertama secara rasmi, Insya-Allah akan saya realisasikan pada 29 Nov. Majlis Tertinggi UMNO telah memberikan mandat kepada saya untuk merasmikan ketiga-tiga sayap pada malam itu dan setelah 21 tahun saya tidak memakai baju Pemuda UMNO, Insya-Allah saya akan pakai baju Melayu Pemuda UMNO ketika itu sebagai nostalgia untuk diri saya secara peribadi.

SOALAN: Apakah yang akan difokuskan pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini?

AHMAD ZAHID: Pada hemat saya pelbagai isu, tetapi saya memfokuskan kepada tiga isu utama. Pertama, mengenai apa yang harus kita depani ketika kita menghadapi tokoh-tokoh yang dulu pernah berada dalam gelanggang UMNO, kini menyerang UMNO dari luar gelanggang. Kedua, bagaimana isu-isu dalaman dapat kita rungkaikan bagi menghadapi hari besar dan ia merupakan 'mother of battle', satu pilihan raya umum. Ketika itu kita mahu pemikiran dan tindakan yang bersama daripada orang UMNO. Ketiga, fokusnya ke arah bagaimana satu transformasi untuk menuju 30 tahun akan datang yang akan diterjemahkan melalui program TN50 di mana kita mahu mendengar suara daripada adik-adik dan anak-anak kita, daripada Pemuda dan Puteri untuk menyuarakan apakah bentuk dan molekul yang perlu dihadamkan bagi membina masa depan anak-anak kita dan cucu-cucu kita supaya UMNO terus relevan untuk 30 tahun akan datang apabila UMNO sendiri akan merayakan ulang tahun ke-103 pada ketika itu.

SOALAN: Cabaran yang dihadapi UMNO pada masa ini begitu hebat. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini?

AHMAD ZAHID: Pada hemat saya cabaran itu tetap datang dan setiap kali Perhimpunan Agung pasti ada isu-isu yang diperbahaskan sama ada ia hangat atau tidak, bergantung kepada bagaimana isu itu diolah oleh jurucakap dan juga mungkin lontaran pandangan oleh YAB Presiden parti selaku Perdana Menteri untuk mengupas sesuatu isu. Pada hemat saya, perhimpunan kali ini dilihat sebagai satu mercu tanda untuk UMNO sekali lagi bersama parti-parti komponen Barisan Nasional menghadapi pilihan raya. Saya tidak pasti bila, tetapi ia pasti akan datang dan tentunya UMNO bersama-sama dengan komponen BN yang lain harus bersiap siaga dalam apa keadaan. Kita harus menghadapi semua isu yang dibangkitkan, jika tidak kita mungkin tenggelam dalam gelombang isu yang sengaja diada-adakan. Ini merupakan perang saraf yang harus digembleng pemikiran, tenaga dan juga jentera untuk bergerak kerana nampaknya pihak lawan telah memukul gendang perang. Kita lihat minggu lalu pada 19 Nov ada satu perhimpunan yang dijangkakan besar tetapi tidak begitu besar. Namun yang menjadi polemik adalah kerana yang terlibat itu termasuk orang yang pernah melarang perhimpunan seumpamanya diadakan. Insya-Allah, para perwakilan akan menilai sendiri bagaimana cakap petang dan cakap pagi itu berbeza.

SOALAN: Orang yang pernah mempunyai kedudukan penting dalam UMNO kali ini menggunakan pengalaman lepas untuk menentang kembali UMNO. Apakah ini menimbulkan kegusaran di pihak UMNO? AHMAD ZAHID: Melihat sejarah politik UMNO, bukan kali pertama kita menghadapi permasalahan. Ketika Allahyarham Datuk Onn Jaafar berada di luar UMNO, perhimpunan agung ketika itu juga menghadapi tentangan yang sama, begitu juga ketika permasalahan Tengku Razaleigh Hamzah dan selepas itu Tun Musa Hitam. Tahun 1998, kita menghadapi masalah ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di luar gelanggang dan kali ini kita menghadapi gelombang politik yang besar. Ia adalah cabaran dalam lakaran sejarah politik, namun UMNO tidak tenggelam. Ini kerana ia bergantung kepada bagaimana kepimpinan parti, bukan hanya Presiden dan Timbalan Presiden mendepani permasalahan itu tetapi yang penting adalah rasa kekitaan dan kebersamaan untuk menjawab, menyelesai dan mengatasi permasalahan yang dibangkitkan dengan kebijaksanaan dan ketatasusilaan kita sebagai orang Islam dan Melayu. Kebersamaan ini penting untuk meletakkan saf kepimpinan dan akar umbi terus berada dalam gelanggang UMNO bersama-sama parti komponen Barisan Nasional dalam satu pentas dan wadah yang sama.

SOALAN : Cakap-cakap menyatakan bahawa mereka tidak memusuhi UMNO tetapi hanya meletakkan sasaran (target) kepada Presiden parti. Adakah ini benar?

AHMAD ZAHID : Itu juga pernah berlaku di zaman penubuhan Semangat 46, itu juga pernah berlaku ketika ada konflik walaupun mungkin diterjemahkan sebagai krisis ketika ketidakbersamaan pendapat antara Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh serta kepimpinan ketika itu. Tetapi dari segi teori politik, kita harus memahami apabila berlaku serangan kepada kepimpinan utama, ertinya serangan juga kepada organisasinya. Dulu apabila dua tokoh marah kepada Dr Mahathir ketika itu, isu yang sama juga dibawa, mereka tidak marah kepada UMNO tetapi marah kepada Presiden UMNO, Perdana Menteri ketika itu. Jadi, perang psikologi yang sama dilakukan dan kita jangan mudah mengalah dengan kaedah atau pendekatan yang dilakukan melalui tema yang sama, pendekatan yang berbeza.

SOALAN : Pihak tertentu mengambil kesempatan permasalahan dalaman untuk melaga-lagakan pemimpin UMNO. Apakah ini sebenarnya satu daripada muslihat untuk menenggelamkan UMNO? AHMAD ZAHID : Kita harus melakukan satu kajian perbandingan dengan parti-parti politik lain di Malaysia, kita lihat permasalahan dalaman tetap berlaku kerana kita bukan 'maksum' ertinya bukan sempurna. Tiap-tiap seseorang yang berada di dalam mana-mana organisasi politik pasti ada cita-cita politiknya. Kita lihat ada parti yang berlandaskan Islam bermula daripada permasalahan dalaman, akhirnya berpecah. Begitu juga dengan beberapa parti serpihan. Namun, parti serpihan ini tidak harus dipandang sebelah mata, kita harus melihat dengan mata hati untuk mengetahui sejauh mana kekuatan mereka. Saya fikir hayat politik mereka tidak lama kerana sesebuah parti itu wujud bukan kerana tokoh, tetapi wujud kerana kekeramatan organisasi itu ditubuhkan dan bagaimana kekentalan semangat itu disuntik kepada ahli-ahlinya dan bagaimana perkasa atau tidaknya jentera parti itu dalam menghadapi permasalahan terutamanya ketika pilihan raya.

SOALAN : Sejak akhir-akhir ini, kenyataan-kenyataan yang silih berganti daripada luar UMNO mahupun dalam UMNO memperlihatkan seolah-olah UMNO tidak lagi releven, tidak lagi mempunyai kekuatan sama ada di peringkat akar umbi atau kepercayaan di peringkat atas. Apakah ini sebagai satu perang saraf, realiti ataupun sengaja diada-adakan? AHMAD ZAHID : Saya fikir ini suatu perang saraf. Kalau kita lihat dalam sejarah pilihan raya umum sebanyak 13 kali, kita lihat lakar bentuknya tidak berubah. Setahun sebelum pilihan raya umum pasti ada serangan yang bertubi-tubi termasuk mortar yang datang dari dekat atau jauh. Dalam keadaan begini, kita harus mengetahui bahawa dua pilihan raya yang lalu, Pilihan Raya Umum ke-12 dan ke-13 pada hemat saya paling berat kita hadapi. Namun dalam Pilihan Raya Umum yang ke-11, apabila kita dapat mencapai lebih 90 peratus kerusi di Parlimen dan kita menguasai semua negeri kecuali Kelantan, memperlihatkan bagaimana putaran itu berlaku dan sesuatu isu itu dapat ditangani dengan baik. Pada hemat saya, ia agak berat sekarang ini kerana mereka yang pernah berada dalam kepimpinan utama UMNO kini berada di luar. Saya yakin perang saraf ini akan dapat diatasi dengan perang saraf serangan balas (counter attack). Apa yang saya baca daripada jurnal-jurnal politik terutamanya yang ditulis oleh pengkaji-pengkaji sejarah politik di negara kita, kita dapati bahawa lebih mudah sebenarnya untuk menangani serangan dari luar berbanding serangan dari dalam. Ini pernah dinyatakan oleh seorang tokoh orientalis dari Belanda, Snouck Hurgronje yang mengatakan bahawa masyarakat Melayu di nusantara ini mudah dipecahbelahkan jika ia dipecahkan dari dalam. Inilah yang sedang berlaku di negara kita dan usaha-usaha untuk melihat kepompong kekosongan dan kelompongan dalam menangani isu-isu ini harus dilakukan. Saya fikir walaupun ia tidak mudah tetapi tidak mustahil untuk kita menanganinya.

Insya-Allah... saya akan membantu YAB Presiden parti untuk menentukan bahawa isu-isu dibangkitkan diperjelaskan bersama-sama dengan kepimpinan parti dan kerajaan di semua peringkat. Pada hemat saya, jangan biarkan Presiden parti berseorangan bagi mendepani permasalahan-permasalahan itu sebaliknya kita telah belajar daripada kepimpinan yang lalu. (Memetik ayat Al-Quran) "sami'na wa atho'na" ertinya apabila kita berada dalam satu saf, kita harus bersama dan kita harus menterjemahkan apa yang dihasratkan oleh pucuk pimpinan sebagaimana yang kita tahu dalam tempoh 22 tahun serangannya pelbagai, dari luar dan dari dalam tetapi akhirnya kelangsungan politik (political survival) itu berlaku disebabkan oleh kekuatan dalaman, disebabkan dukungan kepimpinan dan akar umbi walaupun kita tahu terlalu banyak isu timbul selama 22 tahun itu. Akhirnya tokoh itu diakui sebagai seorang negarawan sehingga beliau sendiri yang menconteng dan melakarkan lukisan yang berbeza daripada apa yang telah diiktiraf oleh rakyat keseluruhannya.

SOALAN : Kita hanya ada tiga tahun untuk mencapai Wawasan 2020 tetapi hakikatnya di awal langkah ini kita sudah gagal kerana orang yang meletakkan Wawasan 2020 sudah berada di luar kerajaan, di luar UMNO. Adakah Transformasi Nasional 2050 atau TN50, suatu retorik atau realiti atau bagi menggantikan Wawasan 2020? AHMAD ZAHID: Dulu Wawasan 2020 dianggap sebagai retorik dan kita harus melihat bahawa gagasan ini bukan gagasan peribadi tetapi sebuah gagasan nasional. Kepimpinan sekarang di bawah YAB Datuk Seri Najib bertanggungjawab bersama-sama dengan Jemaah Menteri dan kepimpinan parti termasuk Barisan Nasional untuk merealisasikan sasaran kepada wawasan berkenaan menjelang tahun 2020. Saya berpendapat bahawa kita harus membezakan adakah itu wawasan peribadi seseorang ataupun negara. Kita komited untuk melaksanakannya sebagai wawasan negara biarpun orang itu berada di luar gelanggang. TN50 ialah suatu program transformasi yang kita mahu lihat dalam 30 tahun akan datang, yang mahu kita hidangkan pada Gen Y, Gen Z dan Gen Alpha. Kalau kita tidak menyediakan acuan yang begitu ertinya, kita tidak ada "futuristic plan" untuk disediakan sebagai hidangan bagi dihadamkan generasi akan datang. Saya tidak nampak ini agenda peribadi YAB Datuk Seri Najib tetapi ia adalah agenda nasional yang merupakan kesinambungan daripada Wawasan 2020. Saya fikir kita hendaklah membezakan antara soal peribadi dengan soal negara.

SOALAN: Datuk Seri, bermakna dalam tempoh tiga tahun ini kerajaan akan mengambil input-input untuk menggubal TN50? Bagaimana ia hendak dilakukan?

AHMAD ZAHID: Betul, kita cuma tinggal tiga tahun sahaja lagi untuk melangsaikan agenda Wawasan 2020. Kita harus membezakan agenda ini sebagai satu agenda nasional bukan agenda peribadi seseorang yang pernah mencetuskan idea ini. Saya yakin bukan beliau seorang yang mencetuskannya malah ada kumpulan pemikir yang mencetuskan idea itu. Begitu juga TN50 dalam tempoh tiga tahun ini, selepas menyelesaikan seluruh agenda Wawasan 2020, kita akan melangkah untuk melihat apakah rupa bentuk bangsa kita, negara kita, sistem ekonomi kita, produk-produk serta sesuatu yang baik yang akan dilakukan untuk 30 tahun akan datang. Dan ketika itu, saya telah sebutkan UMNO akan berusia 103 tahun apabila kita mencapai 2050 tentunya terlalu banyak produk baharu yang diharapkan oleh generasi akan datang. Pada hemat saya, bukan mudah untuk kita hadamkan dan saya mengharapkan keterlibatan semua pihak bukan hanya perbincangan-perbincangan dalam kalangan para intelektual tapi harus memperlihatkan komitmen daripada pemimpin-pemimpin pemuda sekarang yang akan menjadi tua 30 tahun akan datang, pemimpin-pemimpin pelajar yang akan menjadi penikmat kepada program itu. Semua pihak harus dilibatkan, sama ada melalui town hall discussion ataupun beberapa percambahan ilmu dalam kalangan para intelektual, melalui intelectual discourse.

SOALAN: Apa yang boleh kita belajar daripada Wawasan 2020 dalam perlaksanaan TN50 itu?

AHMAD ZAHID: Wawasan 2020 mempunyai matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Insya-Allah, kita akan mencapai keadaan itu dengan pendapatan per kapita sebagaimana yang pernah diunjurkan walaupun kita mempunyai kekangan untuk mencapai GDP atau Keluaran Dalam Negara Kasar pada purata lapan peratus dengan kekangan faktor-faktor luar dunia. Saya yakin kita akan berada pada tahap negara maju dengan elemen lain termasuk prasyarat untuk mencapai tahap negara maju. Kita mahu menuju TN50, ertinya kita selesaikan agenda 2020 dan kita akan wujudkan agenda baharu untuk membawa generasi yang berbeza bagi memenuhi cita rasa mereka sendiri.

SOALAN: Apabila kita sentuh tentang kepimpinan UMNO, ia tidak boleh lari daripada kepentingan Melayu. Datuk Seri dilihat antara yang ultra Melayu tetapi hakikatnya kalau sejarah disingkap, Datuk Seri juga mempunyai hubungan baik dengan masyarakat bukan Melayu. Bagaimana Datuk Seri hendak membezakan soal kedudukan sebagai Timbalan Perdana Menteri yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO yang meletakkan hakikat untuk memperjuangkan hak-hak Melayu itu?

AHMAD ZAHID: Itu adalah satu gelaran, tetapi kita harus mengakui hakikat bahawa negara kita adalah negara yang bermasyarakat majmuk. Akar tunjang kepada negara ini adalah kebangsaan dan tidak bererti apabila Islam dan Melayu diperjuangkan kita mengenepikan agama lain. Saya mempunyai latar belakang berbeza mungkin atas kemajmukan di tempat kelahiran saya dan dalam kerjaya, saya pernah bekerja dengan sebuah bank bertaraf multinasional yang dikuasai oleh etnik lain. Tetapi itu latar belakang dan saya tidak mahu berkompromi dari segi memperjuangkan tentang kepentingan negara. Jangan bila seseorang itu memperjuangkan kepentingan akar tunjangnya maka dia dituduh ultra dan diberikan gambaran yang negatif. Bagi saya, kalau seseorang pemerintah di sebuah negara memperjuangkan soal kebangsaan negaranya maka dia tidak boleh dituduh, orang itu anti negara-negara yang berkenaan kecuali kalau memang lafaz-lafaz kata dan perbuatannya itu menunjukkan rasa anti dengan jelas. Saya melihat sebagai orang nombor dua dalam kerajaan dan menjalankan tugas-tugas orang nombor dua dalam UMNO, saya sebagai pemimpin harus berlaku adil kepada semua hatta dalam Quran pun disebut bahawa walaupun kerajaan Islam tetapi kita harus juga berlaku adil kepada orang bukan Islam. Ini dilihat dalam Perlembagaan Madinah ketika Rasullullah membentuk sebuah negara Islam yang pertama di Madinah. Umpamanya, bagaimana orang Yahudi dan Nasrani ketika itu dihormati dan diberikan haknya. Mana yang ada ilmu diminta mengajar, mana ada duit dikenakan jizyah dan itu adalah dasar yang terbaik malah saya telah melontarkan perkara ini ketika saya menyampaikan syarahan saya di Universiti Oxford. Saya jelaskan perkara ini bahawa gambaran sebenar tentang Islam itu bukan untuk ditakuti, Islamophobia. Gambaran itu harus dibetulkan. Saya ingin memberikan gambaran bahawa keMelayuan saya, keIslaman saya tetap kental tetapi tidak semestinya saya mengenepikan agama dan bangsa lain. Saya harus berlaku adil kepada semua rakyat Malaysia dan ummah keseluruhannya dan masyarakat kita di peringkat antarabangsa dan sejagat.

SOALAN : Berkedudukan sebagai orang nombor dua dalam parti sekarang ini, apakah Datuk Seri mahu mengorak langkah seterusnya sehingga menjadi Perdana Menteri?

AHMAD ZAHID: Saya hanya makan di pinggan yang ada di depan saya, nasi dan lauk yang dihidangkan kepada saya. Saya tidak akan pergi ke meja lain untuk mengambil lauk atau nasi walaupun nasi dan lauk tidak cukup. Ertinya saya akan berada di suatu keadaan di mana saya harus hormati institusi yang ada dan ia berlaku mengikut kehendak Allah. Saya memegang kepada ayat Quran bahawa nasib seseorang itu harus ditentukan kepada apa yang berlaku di Luh Mahfuz yang ilmunya itu ilmu Allah. Saya ingin berkongsi sedikit bahawa Rukun Iman keenam iaitu percaya kepada Qada dan Qadar itu harus ada pada kita, barulah kita reda dengan apa yang berlaku sebab nasib kita bergantung kepada usaha kita. Kita lihat bahawa nasib kita ini ditentukan oleh Allah.

SOALAN : Sejak mutakhir ini Datuk Seri, kita lihat bahawa hubungan baik antara UMNO dan PAS telah terjalin. Apakah ini satu perkahwinan politik yang Datuk Seri nampak menguntungkan UMNO atau sengaja melibatkan PAS, demi kepentingan kuasa UMNO? AHMAD ZAHID: Tidak pernah dibincang tentang kerjasama politik (political collaboration) atau tahaluf siyasi yang dipanggil sebagai perkahwinan politik. Yang ada mungkin ialah kesefahaman terhadap beberapa isu yang menyentuh tentang soal ummah ertinya tentang soal orang Islam, tentang soal isu-isu yang tidak selesai yang harus didukung bersama. Saya fikir ini satu pendekatan yang baik oleh kepimpinan utama PAS dan saya yakin kepimpinan Islam di parti-parti yang lain atau di organisasi yang lain harus bersama untuk mengenepikan perbezaan, sama ada pegangan politik atau pun tafsiran suatu isu tetapi kita kembali kepada mencari titik pertemuan untuk sesuatu isu. Undang-undang yang melibatkan semua orang Islam, undang-undang yang melibatkan soal perkahwinan dan perceraian orang bukan Islam umpamanya, kita duduk bersama. Saya mengadakan konsultasi dengan pihak kawan dan lawan untuk mencari penyelesaian. Saya fikir kematangan politik dilihat bukan hanya soal tahaluf siyasi, kerjasama politik tetapi tentang soal keikhlasan kita menangani isu kepentingan sejagat dan kepentingan ummah keseluruhan berbanding kepentingan peribadi kita atau kepentingan sempit sesebuah organisasi itu.

SOALAN: Datuk Seri, kita lihat pembunuhan karektor sering berlaku dalam UMNO. Ketika ini, Datuk Seri Najib menjadi mangsa kepada gerak kerja untuk mengerjakan UMNO dengan menurunkan beliau sebagai Perdana Menteri. Apakah ini satu halangan besar untuk UMNO bertahan dalam pilihan raya umum akan datang?

AHMAD ZAHID: Selama lima tahun pilihan raya melibatkan seorang pemimpin yang tersohor dan saya melakukan kajian Doktor falsafah mengenai situasi lima pilihan raya di bawah kepimpinan tokoh berkenaan. Saya lihat setiap pilihan raya tak pernah sunyi daripada sebarang permasalahan yang ditembak dan dituju kepada tokoh berkenaan. Beliau berjaya mengatasinya kerana beliau berjaya menyakinkan kepimpinan parti dan kerajaan serta menurunkan penjelasan itu ke peringkat akar umbi. Kita juga tahu ketika Tun Abdullah mengetuai Pilihan Raya Umum ke-11, belum ada mana-mana pemimpin sebelum itu mempunyai prestasi sebaik beliau. Tetapi dalam pilihan raya umum kedua bawah Tun Abdullah, ia mengalami kemerosotan yang terlalu nyata kerana budaya kebencian ditanamkan begitu hebat. Ketika itu, kita tidak dapat mengelak kerana sistem komunikasi bertukar daripada sistem konvensional kepada alam siber. Ketika itu, kita tidak bersedia dengan usaha untuk menyerang semula dan kita hanya menjadi bomba, fire brigade. Bila ada api, kita padam dan kita tidak ada foam, tidak ada buih yang dapat mengelak api supaya tidak merebak ke bangunan lain. Dalam keadaan begini, saya fikir pendekatan komunikasi yang baharu harus diperkasakan. UMNO ada ini, Barisan Nasional ada ini, tetapi masalahnya ditujukan sesama sendiri bukan ditujukan kepada musuh di luar gelanggang, setakat ini. Tapi saya yakin apa yang sedang berlaku sekarang, apabila UMNO, Barisan Nasional dan kerajaan diserang dari luar, saya lihat ada trend penyatuan pemikiran dan tindakan. Tindak balas ini harus diteruskan.

SOALAN: Kesetiaan anggota parti terhadap Perdana Menteri di tahap mana?

AHMAD ZAHID: Oh itu tidak ada satu kajian dilakukan. Saya pun nak tahu juga.

SOALAN: Bagaimana kesetiaan Datuk Seri?

AHMAD ZAHID: Saya 101 peratus.

-- BERNAMA