Rabu, Mei 18, 2016

MAHATHIR BUNUH UMNO YANG DIA TUBUH

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa rakyat menolak calon Barisan Nasional (BN) pada dua pilihan raya kecil bulan depan umpama seorang bapa yang sanggup "membunuh anak" yang dibesarkannya, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata bekas perdana menteri itu kini sanggup melibatkan rakyat pula untuk menolak BN setelah perjuangannya dilihat tidak mendapat sambutan daripada pemimpin pembangkang.

"Saya lihat pembangkang pun tidak mahu berkawan dengan dia dan pihak kerajaan dari BN pun kecewa dengan beliau.

"Beliau (Dr Mahathir) dilihat sebagai berseorangan sekarang ini sehingga sanggup "membunuh" anak (BN) yang dilahir dan dibesarkan serta menyeru orang membunuh "anak sendiri"," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Dr Mahathir dalam satu majlis di Stadium Melawati, Selangor baru-baru ini dilaporkan meminta rakyat menolak calon BN pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar, Perak pada 18 Jun ini.

Ulasan saya, Umno yang ada sekarang bukanlah Umno yang diasaskan oleh Dato Onn Jaafar yang ditubuhkan di atas tangga Istana Johor pada 11 Mei 1946. Umno itu sudah diharamkan pada tahun 1988 apabila Mahkamah Tinggi mendapati bahawa ada ahli yang tidak sah yang menjadi perwakilan dalam pertandingan Umno pada 24 April 1987.

Selepas itu Dr Mahathir menubuhkan Umno (baru) dan ROS membenarkan Umno membuang perkataan baru dan akhirnya Umno sekarang dianggap sebagai kesinambungan Umno yang dilahirkan pada tahun 1946. Umno Dr Mahathir baru berusia 28 tahun sedangkan Umno Dato Onn sudah berkubur pada tahun 1988 ketika berusia 42 tahun.

Oleh itu kenyataan Ahmad Shabery Cheek di atas tidaklah menghairankan apabila beliau berkata Dr Mahathir sanggup bunuh anaknya sendiri kerana Umno Dato Onn pun sanggup dia bunuh. Maka jika Umno berkubur dalam PRU 2018 maka usia Umno Dr Mahathir hanya setakat 30 tahun dan bukannya 72 tahun seperti yang digembar-gemburkan sekarang.

Dr mahathir sanggup menipu sejarah kononnya Umno yang dia tubuhkan sudah berusia 70 tahun sedangkan pada hakikat sebenar Umno ini baru berusia 28 tahun. Oleh itu jika Umno gagal memerintah pada tahun 2018 maka Dr Mahathir akan mencatat sejarah sebagai pemimpin yang menubuhkan Umno dan yang menghancurkan Umno. Itulah Dr Mahathir.