Ahad, Mei 05, 2013
DAKWAT SPR TIDAK KEKAL
Ramai pengundi mengadu dapat menghilangkan dakwat kekal yang digunakan untuk menanda jari mereka dikala ribuan rakyat telah mula mengundi hari ini dalam pilihan raya paling sengit dalam sejarah negara.
Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din akan membuat laporan polis sebentar lagi kerana berjaya menghilangkan dakwat kekal di jarinya.
“Setelah pulang ke rumah jam 8.50 pagi, saya cuba membersihkan dakwat kekal. Dan saya terperanjat kerana dakwat kekal itu tidak kekal. Hanya dengan basuh menggunakan air biasa tanpa solvent chemical, telah dapat dibersihkan dakwat kekal itu sehingga tidak meninggalkan sebarang kesan.
“Bagaimana SPR menamakan dakwat itu dakwat kekal? Siapa tipu siapa? Samada pembekal menipu SPR atau SPR menipu pengundi atau pengundi menipu dirinya? Rakyat memerlukan penjelasan,” kata Haron di laman Facebooknya.
PKR mengatakan mereka menerima banyak laporan mengenai dakwat kekal yang boleh dibersihkan dengan menggunakan sabun dan pelbagai lagi pencuci di rumah setakat jam 11.38 pagi.
Selain itu, PKR juga menerima laporan mengenai kehilangan logo mereka di kertas undi saluran mengundi I dan II di Sekolah Menengah Bistari Jaya di Ijok. Tempat pengundian tersebut adalah untuk Parlimen Kuala Selangor dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok.
“Pengundi diberikan pensil untuk memangkah kertas undi mereka di saluran II Sekolah Menengah Mengkuang. Telah dipersetujui sebelum ini pensil tidak digunakan dalam pilihan raya.
“Seorang ketua tempat mengundi di Parlimen Gombak tidak membawa Borang 13. Borang tersebut digunakan untuk memastikan bilangan kertas undi diterima berada dalam bilik sebelum pengundian bermula,” kata PKR dalam satu kenyataan hari ini.
Seorang pengundi di DUN Pasir Tumboh, Kelantan juga mengatakan dakwat kekal di jarinya telah hilang tidak sampai sejam selepas pulang dari mengundi awal pagi tadi.
"7 hari baru hilang? Tak sampai sejam, lepas basuh pinggan dan masak, dakwat dah hilang," komen Qay Muhammad apabila dihubungi tadi.
Langgan:
Catatan (Atom)