Rabu, Januari 06, 2016

SUDAH SAH PERTANDINGAN TIGA PENJURU DI KELANTAN

Pintu perbincangan antara PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah) sudah ditutup untuk rundingan mengelakkan berlakunya pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya umum akan datang, kata Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Beliau berkata perbincangan itu tidak perlu diadakan kerana Amanah pernah membuat perjanjian dengan parti itu untuk tidak bertanding di Kelantan.

"Tapi dia (Amanah) kena ingat janji dia dahulu (untuk tidak bertanding) di Kelantan... orang ingat janji dia tu.

"Kalau dia nak bertanding itu hak dia. Dalam negara demokrasi tak ada orang boleh ganggu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri satu mesyuarat di Kompleks Kota Darul Naim di sini, semalam.

Mohd Amar mengulas kenyataan Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah semalam bahawa Amanah masih membuka pintu rundingan dengan PAS bagi mengelak berlakunya pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya umum nanti.

Mohd Amar, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, PAS tidak akan menghantar wakilnya untuk menghadiri sebarang perbincangan dengan Amanah kerana dari awal lagi PAS "tak ada apa-apa hubungan" dengan parti itu.

Ini bermakna sudah sah akan berlaku pertandingan tiga penjuru di antara BN dengan PAS dan Amanah dalam PRU 2018 di Kelantan. Sejauh mana kuatnya Amanah di Kelantan akan ditentukan pada PRU akan datang. Sehingga ini Amanah belum terbukti kuat kecuali ada pilihanraya kecil di Kelantan sebelum Mei 2016 Amanah menang.

Adakah selepas ketiadaan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada April 2015 akan menyebabkan PAS akan hilang pengaruh? Adakah generasi muda Kelantan akan menyokong Amanah terutamanya pengundi baru? Atau adakah BN yang kehilangan Kelantan sejak tahun 1990 akan dapat menawan semula Kelantan gara-gara perpecahan PAS-Amanah ini.

Di kubu kuat PAS, PAS mungkin menang tetapi di kerusi yang PAS menang dengan majoriti kecil mungkin memberi kemenangan kepada BN. Sebaliknya Amanah belum pasti dapat menang di kawasan mana.

Namun demikian jika berlaku kerjasama Umno-PAS sebelum PRU 2018, maka BN akan berdepan dengan Amanah dan PAS akan berdepan dengan Amanah dalam pertandingan dua penjuru juga. Jika kerjasama ini berlaku, maka status quo akan digunakan di mana PAS bertanding di 32 buah kerusi yang mereka menang pada 2013. Begitu juga BN akan bertanding 12 kerusi sahaja.







Soalnya adakah BN dan PAS akan bersetuju dengan pembahagian kerusi ini? Jika mereka tidak capai kata sepakat maka pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan.