Jumaat, Februari 12, 2016

LANGKAH RAKYAT JEPUN BERJIMAT WAJAR DIJADIKAN IKHTIBAR



oleh SHAHBUDIN EMBUN

(disiarkan dalam Berita Harian, 12 Februari 2016)








Langkah penjimatan sektor awam yang telah bermula sejak 1 Januari 2014 dan masih berkuatkuasa sehingga kini merupakan satu usaha kerajaan ke arah perbelanjaan yang lebih berhemat terutama dalam mengawal defisit negara. Antara initiatif penjimatan yang dijalankan adalah menghadkan sajian semasa mesyuarat dan majlis keraian, pembekuan pengubahsuaian ruang pejabat dan pemberian saguhati dan cenderamata.


Malah, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa turut menegaskan bahawa langkah perbelanjaan berhemat sektor awam ini dapat menghasilkan penjimatan yang juga dilihat sebagai sumbangan penjawat awam untuk negara. Walau bagaimanapun, langkah penjimatan sektor awam ini turut dipersoalkan oleh sesetengah pihak, terutamanya usahawan bumiputera.

Meskipun negara, malahan seluruh negara pengeluar minyak dunia mengalami kejatuhan harga pasaran minyak yang kritikal, langkah penjimatan ini dianggap memberi kesan kumulatif yang negatif terhadap usahawan bumiputera khasnya yang banyak bergantung kepada kerajaan sebagai pelanggan utama mereka.

Melihat kepada senario tersebut, penulis terpanggil untuk berkongsi pengalaman lawatan kerja sekitar tahun 2013 dan pembacaan tentang cara hidup dan mentaliti positif rakyat daripada negara matahari terbit, iaitu Jepun. Sorotan daripada malapetaka gempa bumi pantai Pasifik Tohoku dan kejadian Tsunami pada tahun 2011, Jepun terpaksa menanggung kerugian gempa bumi yang mencecah US$34.6 bilion. Tragedi gempa bumi tersebut dikatakan sebagai tragedi terburuk Jepun selepas perang dunia kedua yang memberi kesan besar terhadap perbelanjaan negara. Ia turut menyebabkan 4.4 juta isirumah di timur laut Jepun terpaksa meneruskan kehidupan tanpa bekalan elektrik.

Antara langkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan negara Jepun adalah dengan mengalihkan sebilangan besar bajet negara untuk membina semula kawasan yang musnah akibat gempa bumi tersebut. Pembinaan semula infrastruktur di kawasan ini memerlukan modal yang besar malah ianya diteruskan sehingga kini.

Antara contoh penjimatan yang dilaksanakan melibatkan pengurangan perbelanjaan utiliti seperti elektrik yang dikuatkuasakan di bangunan-bangunan Kerajaan, lapangan terbang dan pusat membeli belah. Meskipun musim pada ketika itu agak berbahang, penulis dapat melihat rata-rata daripada rakyat Jepun yang tidak merungut dengan keadaan tersebut, malah ramai juga di kalangan mereka yang membawa ‘kipas tangan’ sendiri.

Tidak cukup dengan keadaan yang kurang selesa itu, rata-rata daripada mereka tidak menggunakan lif mahupun eskalator dan berpusu-pusu menggunakan tangga. Apabila ditanya tentang keadaan tersebut, rakan Jepun saya menjelaskan bahawa inilah antara sumbangan kecil yang mampu diberikan oleh rakyat dalam membantu mangsa-mangsa Tohoku yang lebih memerlukan.

Berbalik kepada keadaan di Malaysia, kita bernasib baik kerana berada di luar dari Lingkaran Api Pasifik yang mana tiada tragedi buruk seumpama itu berlaku di negara kita. Namun demikian, kita tidak dapat lari daripada menghadapi kemelesetan ekonomi yang memberi kesan besar terhadap pendapatan negara secara amnya.

Oleh itu, langkah penjimatan melalui pengurangan perbelanjaan sajian semasa mesyuarat dan majlis keraian serta langkah-langkah penjimatan lain yang dikuatkuasakan oleh kerajaan seharusnya dipandang positif dan disokong penuh oleh semua pihak. Dalam hal ini, pembekal bumiputra perlu mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan sebagai sumber tunggal perniagaan.


Mungkin sudah tiba masanya untuk pembekal menjadi lebih kreatif dalam menjalankan perniagaan melalui usaha memperluaskan jaringan perniagaan dan meningkatkan keupayaan dalam membekal ke pelbagai jenis segmentasi pasaran. Pada masa yang sama, terutamanya penjawat awam yang sebelum ini menikmati kemudahan sajian mesyuarat mahupun keraian, perlulah mencontohi badan-badan korporat dan swasta yang mengamalkan perbelanjaan bersederhana semasa mesyuarat.

Anjakan paradigma ini memerlukan sokongan pengurusan tertinggi organisasi bagi membolehkan ianya dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menjadikannya sebagai budaya baru organisasi. Malahan idea yang diutarakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hamzah Zainuddin berkenaan pengurangan sajian semasa mesyuarat dan kakitangan digalakkan untuk membawa bekal ke pejabat bagi menangani kos sara hidup dilihat sebagai idea yang bernas, walaupun ia dianggap sebagai satu gurauan oleh rakyat jelata. Hakikatnya, saranan ini telah lama dipraktikkan di negara-negara maju seperti Jepun dan Korea.

Mengambil iktibar daripada pengalaman penulis di Jepun, rakyat Malaysia hendaklah sedar bahawa budaya dan gaya hidup serta mentaliti rakyat merupakan perkara asas dan tunjang dalam membentuk sesebuah negara maju.

Melihat kepada senario semasa yang berlaku di kalangan rakyat Malaysia, timbul persoalan dan kegusaran di hati penulis, mampukah negara Malaysia yang tercinta ini mencapai taraf negara maju yang hanya tinggal kurang lima tahun sahaja lagi? Tepuk dada tanya selera. Apa yang pasti, kisah ketegaran rakyat Jepun seharusnya dijadikan sebagai ikhtibar untuk anjakan paradigma dalam membentuk budaya dan gaya hidup masyarakat yang berbelanja secara berhemah, suatu pendekatan baru ke arah mencapai status negara maju dengan acuan sendiri dan membentuk masyarakat yang lebih adaptif.