Rabu, September 11, 2013

TERENGGANU INCORPORATED BAYAR DIVIDEN RM20.2 JUTA KEPADA ENAM AGENSI

KUALA TERENGGANU,-- Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc.) akan membayar dividen RM20.2 juta kepada enam agensinya dalam tempoh terdekat. Syarikat pegangan pelaburan utama negeri Terengganu itu membuat pembayaran itu kepada Lembaga Tabung Warisan Negeri Terengganu, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Yayasan Terengganu, Yayasan Islam Terengganu (YIT), Yayasan Pembangunan Keluarga dan Menteri Besar Diperbadankan. Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Wan Ahamad Wan Muda berkata pembayaran tersebut merupakan komitmen syarikat itu kepada agensi di bawahnya untuk melaksanakan agenda mereka. "Agensi berkenaan kemudiannya akan menyalurkan dividen itu kepada rakyat Terengganu yang layak mengikut peranan agensi terbabit untuk memastikan kebajikan rakyat Terengganu terpelihara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Menurut Wan Ahamad, dividen tersebut akan disalurkan melalui pelaksanaan projek-projek yang dikenal pasti mengikut peranan dan fungsi agensi terbabit. Menurutnya sehingga kini nilai aset bersih Terengganu Inc. melalui pelaburan dalam anak syarikat, syarikat bersekutu dan lain-lain pelaburan di dalam sektor perladangan, minyak dan gas, hartanah, pelancongan serta hospitaliti, berjumlah RM987 juta. Beliau juga berkata syarikat itu sedang merangka Pelan Strategik Lima Tahun dengan unjuran nilai aset bersih meningkat kepada RM2 bilion, atau peningkatan 20 peratus setahun. "Bagi menjayakan rancangan itu, Terengganu Inc. bercadang menceburi projek-projek berpotensi yang menghasilkan pulangan yang tinggi dan lumayan, selain pelaburan strategik," katanya. -- BERNAMA