Sabtu, Ogos 28, 2010

SATU RENUNGAN

HADIRI MAJLIS TAK APA, JANGAN TAZKIRAH



Tak salah wakil rakyat bukan Islam mahu berbuka puasa dengan para pengundi Islam di surau. Yang salah ialah apabila wakil rakyat bukan Islam baca tazkirah kepada umat Islam. Oleh itu baguslah kalau ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching sudi berbuka puasa dengan para pengundinya.

Amalan ini pernah dilakukan oleh Presiden SAPP, Datuk Yong teck Lee ketika beliau menjadi ADUN Likas tidak lama dahulu. Saya selalu ikuti program Yong teck lee berbuka dengan para pengundi Islam tetapi Teck Lee tidaklah membaca tazkirah. Oleh itu kita alu-alukan kalau wakil rakyat bukan Islam mahu berbuka puasa dengan para pengundinya tetapi jangnlah baca tazkirah atau berucap di majlis itu sehingga menimbulkan isu politik pula.

Ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang mencetuskan kontroversi apabila lawatannya ke Surau Al-Huda Kajang pada Ahad lalu dilaporkan oleh Utusan Malaysia sebagai ‘tazkirah’ di surau, hari ini memohon maaf.

Katanya, beliau menyesal kerana lawatan ikhlasnya itu telah menimbulkan perasaan keresahan antara umat Islam negara ini dan lebih malang lagi apabila ada pihak-pihak tertentu mengeksploitasikannya untuk kepentingan politik mereka.

“Saya juga akan memajukan penjelasan dan permohonan maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan Selangor Darul Ehsan mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut ahli parlimen dari DAP itu, pada Ahad, 22hb Ogos, selaku wakil rakyat kawasan itu beliau telah mengunjungi surau al-Huda dengan tujuan menghulurkan bantuan kewangan sumbangan kerajaan negeri Selangor bagi memperbaiki pagar surau dan juga sumbangan berbuka puasa bersama ahli jawatankuasa dan jemaah surau.

“Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor.,” katanya.



Teo menegaskan lawatannya itu adalah “secara ikhlas dan murni serta tidak berniat politik” dan “tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan”.

Beliau yang kesal dengan tindakan pihak yang berkepentingan yang cuba mempolitikkan lawatannya itu berkata akan lebih berhati-hati pada masa depan.

“Saya menyambut baik pesanan, peringatan dan nasihat dari semua pihak mengenai perkara tersebut, dan akan dengan segala upaya, menjalankan tugas saya dengan lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan perasaan kurang senang dan perselisihan faham di kalangan umat Islam pada masa yang akan datang.

Semalam, pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata Sultan Selangor dilaporkan amat murka dan dukacita terhadap laporan akhbar berhubung ‘tazkirah’ Teo di surau berkenaan.

Sehubungan itu, katanya Mais dititahkan bertindak tegas, termasuk mengambil alih surau itu dan menguruskan pentadbirannya dengan serta merta.

Mohamad Adzib juga berkata, surat amaran akan juga diberikan kepada Teo supaya mengambil perhatian terhadap perkara itu dan tidak mengulanginya lagi.