KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Tuduhan sesetengah pihak kononnya cadangan undang-undang baharu antiberita tidak benar bertujuan menyekat perbahasan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah tidak betul, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Salleh berkata tiada apa yang boleh menyekat sesiapa pun daripada berbahas atau bercakap mengenai 1MDB.
"Isunya ialah apabila seseorang mula menyebarkan 'berita´ dan 'fakta´ yang tidak benar. Sebagai contoh kita sering mendengar 'berita´ RM42 bilion wang 1MDB hilang begitu sahaja sedangkan perkara itu telah dijelaskan secara rasmi dan dibuktikan tidak benar, " katanya dalam catatan terbaru blog beliau www.sskeruak.blogspot.my hari ini.
Beliau berkata isu yang lebih besar ialah untuk menangani penyebaran tidak bertanggungjawab berita dan fakta tidak benar yang "mengaitkan banyak situasi dalam kehidupan kita."
"Bila pembohongan diulang terlalu kerap, orang ramai boleh mempercayainya sebagai betul. Inilah penyakit berita tidak benar yang memberi kesan kepada dunia, bukan sahaja Malaysia, " katanya.
Salleh menjelaskan bahawa kebenaran itu bukan subjektif dan harus tepat serta disokong dengan bukti yang telah disahkan benar.
"Jika tidak, ia hanya akan merupakan dakwaan dan tuduhan semata-mata tanpa dibuktikan.Setiap orang harus faham konsep ini supaya mereka tidak mudah dikelirukan oleh berita tidak benar, "katanya.
Salleh berkata adalah menghairankan ada rakyat Malaysia yang begitu jahil tentang asas undang-undang yang menetapkan beban bukti terletak kepada orang yang membuat dakwaan atau tuduhan dan defendan adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
"Jika anda membuat sesuatu dakwaan, anda perlu membuktikan ia benar, anda perlu tunjukkan bukti itu yang perlu disahkan kebenaran dan kesahihannya, " katanya.
-- BERNAMA