Sabtu, Januari 02, 2016

NIK ABDUH MASUK AMANAH BARU BERITA

Salah seorang anak kepada bekas mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan telah menyertai Parti AMANAH Negara (AMANAH).
Dalam satu majlis makan malam anjuran parti itu malam tadi, Pengarah Komunikasi Amanah Kelantan Nordin Hussin mengumumkan Nik Omar Nik Aziz dilantik sebagai Pengerusi Panel Syariah AMANAH Kelantan.
Nik Omar bagaimanapun tidak hadir dalam majlis tersebut yang berlangsung di Petaling Jaya.
Namun ketika ditemui  selepas itu, Nordin menafikan beliau ada menyebut penyertaan Nik Omar dalam AMANAH.
Malah, beliau mengatakan mungkin wartawan tersalah dengar berhubung pengumuman tersebut.
"Eh mana ada anak Nik Aziz masuk AMANAH. Kamu salah dengar ni. Mana ada," katanya selepas majlis yang dihadiri kira-kira 1000 penyokong parti itu.
Bagaimanapun, menurut seorang pemimpin AMANAH Kelantan yang ditemui  mengesahkan anak lelaki sulung kepada bekas menteri besar Kelantan itu memang telah menyertai parti berkenaan.
Sumber tersebut yang enggan namanya didedahkan berkata Nik Omar bagaimanapun tidak akan hadir pada majlis-majlis yang melibatkan orang ramai pada ketika ini.

Katanya, ia bagi menghormati permintaan keluarganya serta kematian bapanya yang meninggal dunia pada Februari lalu.
"Sebenarnya dia (Nik Omar) memang dah sertai AMANAH tapi sebab nak menghormati permintaan bondanya serta keluarganya yang lain.
"Tetapi kalau ada mesyuarat dalaman memang dia akan hadir cuma di majlis terbuka seperti ini dia tak mahu menonjol," katanya.

Selain itu, beliau menambah Nik Omar belum bersedia "menunjukkan" dirinya kerana permintaan ibunya sendiri Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.
"Lagi pun permintaan bonda dia. Iyalah, seorang (anak) PAS, seorang AMANAH.
"Tapi sebenarnya, dialah (Nik Omar) yang betul-betul mewarisi seperti ayahnya dari segala segi," kata sumber itu lagi.
Nik Omar merupakan anak kedua daripada sepuluh adik-beradik. Sebelum ini beliau dikhabarkan akan menyertai AMANAH tetapi menafikannya.
Manakala adiknya, Nik Abduh yang merupakan anak kelima pula merupakan Ketua Pemuda PAS dan anggota parlimen Pasir Mas.
Ulasan saya, apa yang hairannya anak Nik Aziz masuk Amanah. Lagipun Nik Omar tidak pernah aktif dalam politik maka kesannya tidak kuat mana.

Melainkan Nik Abduh yang juga Ketua Pemuda PAS yang masuk Amanah, baru ia adalah berita yang kuat. Soal dua beradik masuk parti yang berlainan bukan soal baru. Lihat Shahrir Samad, Ahli parlimen BN Johor Bharu dengan adiknya Khalid Samad, ahli parlimen Amanah Shah Alam.

Jadi kemasukan Nik Omar ke dalam Ananah bukannya menunjukkan Amanah makin berpengaruh. Sebaliknya jika pemimpin besar PAS menyertai Amanah barulah ia satu pukulan kepada PAS. Amanah belum terbukti ia kuat kecuali ada pilihanraya kecil Amanah menang mengalahkan PAS dan BN. Barulah Amanah boleh mendabik dada menggantikan PAS.