Selasa, Oktober 14, 2008

ANTARA NASIR, AZMI DAN BASIR: KUALA NERUS MILIK SIAPA?


Peluang untuk bertemu dengan Datuk Nasir Tan Sri Ibrahim di parlimen pagi tadi tidak pernah saya sia-siakan. Sudah lama saya mahu berjumpanya tetapi masa tidak pernah mengizinkan. Saya turut diundang oleh beliau ke majlis berbuka puasa di kawasan parlimennya, Kuala Nerus baru-baru ini tetapi saya tak sempat balik dari Kuala Lumpur.


Saya sempat bertanya mengenai pertandingan bahagiannya. Beliau yang dapat 52 pencalonan akan ditentang oleh dua tokoh lain iaitu timbalannya, Azmi Abdul Rahman(24 pencalonan) dan naib ketuanya, Basir Ismail (26 pencalonan).


Dalam politik tidak ada kawan yang kekal. Dahulu Azmi yang juga bekas ahli parlimen Kuala Nerus adalah satu team dengan Nasir mengalahkan regu Datuk Rahin Mohd. Said. Tetapi kini Azmi menentang Nasir kerana menurutnya, Nasir tidak mampu menyatukan UMNO Bahagian Kuala Nerus yang terus berpecah.


Pertandingan sengit pada tahun 2004 di antara Nasir dengan Rahin menyebabkan BN terlepas kerusi Bukit Tunggal pada pilihan raya umum lalu.


Menurut sumber, Nasir tidak dapat sokongan dari Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri bahagian. Tetapi jika Basir tidak tarik diri kemenangan sudah tentu berpihak kepada Nasir. Jika berlaku pertandingan dua penjuru, kemenangan mungkin berpihak kepada Azmi.


Nasir mungkin tersepit kerana tiga ADUN tidak menyokongnya, ADUN Teluk Pasu, Rahin Mohd. Said; ADUN Seberang Takir, Razif Abdul Rahman dan ADUN Tepoh, Ramli Nuh.


Walaupun Menteri Besar, Datuk Ahmad Said meminta semua ketua bahagian tidak dicabar tetapi mungkin itu cakap politik kerana jika Nasir menang, ia akan menggugat kedudukan Ahmad Said sebagai Menteri Besar.


Sultan Mizan pernah memberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa Baginda mahukan Nasir sebagai pengganti Datuk Seri Idris Jusoh. Mengetahui berita itu, Idris menukarkan Nasir bertanding di parlimen.

Oleh itu jika Azmi atau Basir menang dalam pertandingan tiga penjuru ini, ia sudah tentu menjadi berita baik buat Ahmad Said.


Terpulanglah kepada para perwakilan untuk menentukan siapa yang layak memimpin UMNO Bahagian Kuala Nerus. Di atas kertas, Nasir sudah mengatasi Azmi dan Basir, tetapi dapatkah pencalonan ini diterjemahkan dalam bentuk undi?

ANWAR IBRAHIM DARI KACA MATA ADELINE


Siapa sangka seorang gadis manis dari Kota Belud, Sabah merupakan peminat nombor satu, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berusia 22 tahun, Adeline Anthony, anak Sino-Kadazan meminati Anwar sejak beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi.

Minatnya kepada Anwar kian meningkat bila Anwar dipenjarakan.

“Saya sedih bila beliau dipenjarakan tetapi sebagai pemimpin beliau kena hadapi apa sahaja risiko,”katanya sambil mengakui bahawa di mata Anwar nampak keikhlasannya berjuang untuk kepentingan rakyat.

Masih belajar di UiTM Shah Alam dalam bidang perakaunan, Adeline turut meminati bidang modeling. Beliau tidak minat dengan politik tetapi suka ambil tahu hal politik apatah lagi kalau akhbar menyiarkan berita mengenai Anwar Ibrahim.

“Saya yakin Anwar ikhlas berjuang untuk rakyat. Oleh itu rakyat perlu memberi peluang kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri pada pilihan raya umum akan datang,” katanya lagi yang tidak sempat mengundi pada 8 Mac lalu kerana belum mendaftar sebagai pengundi.

NASIR TANDING MKT


Di kantin parlimen, saya terserempak dengan ahli parlimen Kuala Nerus, Datuk Nasir Tan Sri Ibrahim. Sudah lama saya tak jumpanya. Masa saya menganggur dulu (2001-2006) beliau banyak membantu saya. Beliau memberitahu saya bahawa beliau mahu tanding ahli majlis tertinggi UMNO.

Sebagai Setiausaha Kumpulan Ahli Parlimen UMNO(UMPG), Nasir yakin beliau mampu menawarkan diri sebagai calon majlis tertinggi.
“Saya ada pengalaman sewaktu UMNO kalah di Terengganu dahulu (1999-2004) di mana ketika itu saya adalah Ketua Penerangan UMNO Terengganu. Dengan pengalaman ini saya yakin dapat membantu lima negeri yang kalah bila saya dipilih sebagai ahli majllis tertinggi nanti,” katanya.
Sudah lama saya nampak Nasir di dalam kantin itu. Tapi saya malas join mejanya kerana saya tidak berkenan dengan seorang ahli parlimen yang ada sama di mejanya itu. Saya pernah tolong isteri ahli parlimen itu tapi dia tak tahu cerita sebenar.

Apabila kerajaan PAS nak pecat isterinya dari bekerja dengan sebuah agensi kerajaan negeri, saya nasihati pengarah agensi itu supaya tidak memecatnya. Sebaliknya saya nasihati pengarah itu tukarkan isterinya itu ke bahagian lain. Tapi dia tak tahu cerita itu kerana dia ingat saya sengaja nak jatuhkan isterinya. Kalau saya tak sekat pengarah itu, sudah lama isterinya dipecat bekerja dengan agensi tersebut.

Sejak itu saya kurang berkenan kepada ahli parlimen itu kerana dia pernah membahasakan saya di depan orang ramai ketika terjumpa di satu pejabat kerajaan pada tahun 2006. Masa itu dia Exco. Hebatlah. Sekarang ni ahli parlimen biasa sahaja. Belum tentu menang bertanding Ketua Bahagian. Ketika itu saya bekerja dengan sebuah akhbar bulanan di Terengganu. Malunya saya bukan main bila dia bahasakan saya begitu.

Bila ahli parlimen itu beredar, baru saya join dengan Nasir dan saya bersembang dengan beliau. Sudah lama saya nak bertemu dengan Nasir sebelum hari raya lagi. Tetapi masa itu beliau berada di New York.
Terengganu akan mencalonkan Datuk Rahman Bakar, Datuk Tengku Putera, Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Dr. Abdullah Mohd. Zin sebagai calon MKT UMNO.

Dengan masuknya Nasir, saya rasa dia ada harapan untuk menang kerana dia adalah Setiausaha UMPG yang mana ahli-ahli parlimen UMNO adalah ahli kumpulan tersebut. Saya doakan beliau berjaya dengan percubaan pertama ini.
Sebelum berpisah dengan beliau, saya sempat berkata bahawa beliaulah bakal menteri dari Terengganu apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri pada bulan Mac 2009. Beliau ketawa mendengar ramalan saya ini kerana panglima Pak Lah, Datuk Ahmad Shabery Cheek sudah tentu digugurkan dari kabinet Najib.

PAK HABIB PUJI WATAN


Pagi ini saya menerima panggilan dari penulis buku terkenal, Pak Habib atau nama penuhnya S.H. Alattas. Katanya, beliau telah membaca blog saya dan beliau memuji blog saya itu.

Beliau telah mengambil blog saya untuk dijadikan pautan dalam blognya. Sebagai balasan, saya turut memuatkan blognya, http://www.shalattas.com/ dalam pautan saya.

Tidak lama selepas itu saya pergi ke parlimen. Tak sangka pula saya terjumpa dengan Pak Habib dengan Tan Sri Rafidah Aziz di lobi parlimen. Nampaknya mereka sedang berbincang sesuatu yang serius. Jadi saya tak mahu kacau mereka berdua.

Habis berbincang, Pak Habib mencari saya di lobi parlimen.

“Dah berapa circulation WATAN sekarang?” tanya Pak Habib.

“40 ribu,” jawab saya.

“Baguslah kalau WATAN kekalkan kebebasannya dan beri peluang kepada semua tokoh politik tanpa mengira parti,” kata Pak Habib lagi.