Selasa, Oktober 14, 2008

ANTARA NASIR, AZMI DAN BASIR: KUALA NERUS MILIK SIAPA?


Peluang untuk bertemu dengan Datuk Nasir Tan Sri Ibrahim di parlimen pagi tadi tidak pernah saya sia-siakan. Sudah lama saya mahu berjumpanya tetapi masa tidak pernah mengizinkan. Saya turut diundang oleh beliau ke majlis berbuka puasa di kawasan parlimennya, Kuala Nerus baru-baru ini tetapi saya tak sempat balik dari Kuala Lumpur.


Saya sempat bertanya mengenai pertandingan bahagiannya. Beliau yang dapat 52 pencalonan akan ditentang oleh dua tokoh lain iaitu timbalannya, Azmi Abdul Rahman(24 pencalonan) dan naib ketuanya, Basir Ismail (26 pencalonan).


Dalam politik tidak ada kawan yang kekal. Dahulu Azmi yang juga bekas ahli parlimen Kuala Nerus adalah satu team dengan Nasir mengalahkan regu Datuk Rahin Mohd. Said. Tetapi kini Azmi menentang Nasir kerana menurutnya, Nasir tidak mampu menyatukan UMNO Bahagian Kuala Nerus yang terus berpecah.


Pertandingan sengit pada tahun 2004 di antara Nasir dengan Rahin menyebabkan BN terlepas kerusi Bukit Tunggal pada pilihan raya umum lalu.


Menurut sumber, Nasir tidak dapat sokongan dari Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri bahagian. Tetapi jika Basir tidak tarik diri kemenangan sudah tentu berpihak kepada Nasir. Jika berlaku pertandingan dua penjuru, kemenangan mungkin berpihak kepada Azmi.


Nasir mungkin tersepit kerana tiga ADUN tidak menyokongnya, ADUN Teluk Pasu, Rahin Mohd. Said; ADUN Seberang Takir, Razif Abdul Rahman dan ADUN Tepoh, Ramli Nuh.


Walaupun Menteri Besar, Datuk Ahmad Said meminta semua ketua bahagian tidak dicabar tetapi mungkin itu cakap politik kerana jika Nasir menang, ia akan menggugat kedudukan Ahmad Said sebagai Menteri Besar.


Sultan Mizan pernah memberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa Baginda mahukan Nasir sebagai pengganti Datuk Seri Idris Jusoh. Mengetahui berita itu, Idris menukarkan Nasir bertanding di parlimen.

Oleh itu jika Azmi atau Basir menang dalam pertandingan tiga penjuru ini, ia sudah tentu menjadi berita baik buat Ahmad Said.


Terpulanglah kepada para perwakilan untuk menentukan siapa yang layak memimpin UMNO Bahagian Kuala Nerus. Di atas kertas, Nasir sudah mengatasi Azmi dan Basir, tetapi dapatkah pencalonan ini diterjemahkan dalam bentuk undi?