Selasa, Disember 23, 2008

DAP DAN PAS BERGADUH GARA-GARA PROVOKASI KHAIRY



Nampaknya provokasi calon ketua pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam wacana dengan Husham Musa di Kota Bharu baru-baru ini berjaya menimbulkan ketegangan antara DAP dengan PAS. Kata Husham, PAS akan laksanakan hukum hudud jika Pakatan Rakyat memerintah.


Kenyataan Naib Presiden PAS itu menyebabkan para pemimpin DAP melenting. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang membantah cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud.


Katanya, pelaksanaan hukum hudud tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac lalu. Pengerusi PKR Pulau Pinang, Zahrain Mohamed Hashim berkata sekiranya PAS ingin melaksanakan cadangannya itu, parti itu perlu merujuk pandangan sekutunya sebelum membuat keputusan.


Menjelang pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari depan, provokasi Khairy menguntungkan BN kerana nampaknya Pakatan Rakyat tidak sepakat mengenai hukum hudud.


Para pengundi Cina sudah tentu akan mengundi BN kerana mereka bimbang jika Pakatan Rakyat memerintah negara yang mana ahli parlimen PAS menjadi majoriti, maka hukum hudud akan dilaksanakan di negara ini sedangkan bagi Penasihat DAP, Lim Kit Siang, negara itu tetap adalah negara sekular dan bukannya negara Islam.


Suasana haru-biru di kalangan Pakatan Rakyat kerana isu hukum hudud telah menyebabkan pembangkang berpecah dan ini memberi keuntungan kepada BN pada 17 Januari. Terima kasih kepada Khairy yang berjaya memecahbelahkan para pemimpin parti pembangkang.


Rakyat mula sedar sampai bila pakatan rapuh di antara DAP dengan PAS hendak dijalin. Lihatlah saja di Pulau Pinang. DAP menang tetapi ia tak beri peluang kepada ADUN PAS untuk pegang apa-apa jawatan di Pulau Pinang.


Begitu juga di Kedah, PAS tak beri peluang kepada DAP. Ini bermakna mereka tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain. Yang pening PKR yang menjadi orang tengah di antara DAP dengan PAS.