Rabu, Mac 30, 2016

DR MAHATHIR YANG KHIANATI KU LI



Bekas PM, Dr Mahathir Mohamad ditanya sama ada beliau rasa diri dikhianati oleh Tengku Razaleigh, Mahathir berkata ia bukan pertama kali yang dilakukan oleh anggota parlimen Gua Musang itu.

Menceritakan kembali, Mahathir berkata sebelum ini Tengku Razaleigh pernah mengkhianatinya selepas kalah dalam pemilihan parti dan menyaman Umno sehingga menyebabkan mahkamah mengisytiharkan parti Melayu itu tidak sah.

"Saya dikhianati oleh dia (Ku Li) banyak kali. Bila dia kalah dalam pemilihan, dia saman parti dan bawa ke mahkamah. Dan mahkamah isytiharkan parti tidak sah. Saya perlu menghabiskan masa saya untuk bangunkan semula parti.

"Tetapi dia tidak sertai (Umno), tetapi menubuhkan Semangat 46. Jadi, daripada seseorang seperti itu apa yang kita boleh harapkan?," katanya.

Kenyataan bekas perdana menteri selama 22 tahun itu dipercayai merujuk peristawa pada 1987 apabila Tengku Razaleigh tewas menentangnya bagi jawatan presiden Umno.

Ekoran kekalahan itu, Tengku Razaleigh kemudian menyaman Umno supaya mengisytiharkan pemilihan parti itu terbatal dan tidak sah.

Mahkamah Tinggi kemudian mengisytiharkan Umno sebagai sebuah pertubuhan tidak sah.

Lucu juga baca kenyataan Dr Mahathir ini. Siapa yang khianati siapa? Beliau nampak Ku Li yang mengkhianatinya kerana tidak bersama dengan beliau dalam rancangan menggulingkan Najib Razak sebaliknya Ku Li turut menandatangani Deklarasi Kelantan menyokong Najib.

Dr Mahathir takkan sudah lupa bahawa  beliau yang mengkhianati Ku Li. Hussein Onn panggil Dr Mahathir dan Ku Li sebelum beliau bersara dari politik dan bertanya dengan Dr Mahathir adakah beliau boleh bekerjasama dengan Ku Li? Dr Mahathir menjawab ya, sebaliknya beliau menaja Musa Hitam menentang Ku Li dalam pertandingan timbalan presiden Umno pada tahun 1981. Ku Li kalah dalam pertandingan itu kerana Dr Mahathir menyokong Musa.

jadi siapa yang khianati siapa? Ku Li yang khianati Dr mahathir atau Dr mahathir yang khianati Ku Li?  Dr mahathir mendakwa Ku Li tidak sertai Umno sebaliknya menubuhkan Semangat 46. Sedangkan Dr Mahathir yang tidak membenarkan Ku Li dan Musa Hitam menyertai Umno (baru) yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir yang menyebabkan Ku Li terpaksa menyertai Semangat 46.
.

Ku Li menyokong Deklarasi Kelantan tidak bermakna beliau mengkhianati kumpulan Dr Mahathir sebaliknya cara Ku Li amat betul kerana Najib hanya boleh disingkirkan secara demokratik dan bukannya dengan cara Dr Mahathir yang bersekongkol dengan pembangkang.

PERLEMBAGAAN PERLU DILINDUNGI, BUKAN DICABULI

Apa yang didakwa sebagai perhimpunan 'Selamatkan Malaysia' pada Ahad lepas, sebenarnya bukan untuk menyelamatkan Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata sekiranya hendak menyelamatkan Malaysia, Perlembagaan perlu dilindungi, bukan dicabuli, sepertimana yang mereka anjurkan bagi menyingkirkan Perdana Menteri.

"Pertama sekali, mereka hendak menyelamatkan Malaysia daripada apa atau siapa? Dan bagaimana menyingkirkan Perdana Menteri secara melanggar Perlembagaan boleh dianggap sebagai menyelamatkan Malaysia?," kata Salleh dalam catatan terbaru beliau melalui blognya sskeruak.blogspot.my hari ini.


"Mereka berdiri di atas pentas dan menyerang apa yang dikatakan tidak ada demokrasi di Malaysia. Tetapi, apa yang tidak mereka sebut ialah hakikat bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Tun Razak membenarkan lebih banyak demokrasi di Malaysia, membolehkan mereka menganjurkan perhimpunan itu, yang mereka gunakan untuk menyerang Perdana Menteri," katanya.

Salleh berkata perhimpunan 'ramai rakan' yang tidak berkongsi aspirasi dan ideal yang sama itu menunjukkan bahawa pakatan 'Selamatkan Malaysia' itu sudah gagal sejak mula lagi.

"Kita sudah lihat Gagasan Rakyat, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, dan kini Pakatan Harapan.

"Setakat ini, semuanya mengalami kegagalan, manakala Pakatan Harapan pula sedang bertungkus-lumus ingin membuktikan ia mampu untuk kekal wujud. Dan, sebab kesemua mereka mengalami kegagalan ialah seperti kata orang Melayu, tidur satu bantal, mimpi lain-lain," katanya.

Menurut Salleh, kesemua yang menyertai pakatan 'Selamatkan Malaysia' itu tidak berkongsi cita-cita, doktrin, aspirasi atau objektif yang sama dan mereka hanya mahukan satu perkara - menyingkirkan kerajaan.

"Secara teknikal, itulah yang akan terjadi sekiranya anda menyingkirkan Perdana Menteri," katanya.

Salleh berkata kumpulan itu tidak akan sekali-kali bersetuju antara satu sama lain kerana setiap rakan dalam pakatan 'Selamatkan Malaysia' itu mempunyai pandangan sendiri mengenai siapakah yang akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri baharu sekiranya rancangan mereka itu berjaya.

"Dan adakah kempen 'Selamatkan Malaysia' itu termasuk atau tidak termasuk membebaskan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dari penjara? Dr Wan Azizah Wan Ismail (isteri Anwar dan Presiden PKR) berkata ya, tetapi semua yang lain tidak berkata apa-apa," katanya.

Salleh berkata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya muncul sebagai Ketua Pembangkang de facto baharu serta mengetuai 'Kempen Anti-Najib' atau 'Kempen Selamatkan Malaysia'.

"Kesemua yang lain kelihatan memberi kelulusan secara tersirat terhadap peranan kepimpinan dimainkan Mahathir apabila mereka tidak menamakan mana-mana pemimpin lain," katanya.

Salleh berkata Dr Mahathir tahu bahawa Najib hanya boleh disingkirkan sekiranya UMNO sendiri tidak mahukan beliau lagi.

Menurut menteri itu, Dr Mahathir sendiri mengaku bahawa Najib tidak boleh disingkirkan dari luar, maka oleh yang demikian, bekas Perdana Menteri itu berharap kempen 'Selamatkan Malaysia' itu akan membuktikan ia mendapat sokongan daripada rakyat dan dengan itu, akan memperoleh sokongan UMNO.

"Sebaliknya, UMNO amat marah kepada Mahathir dan oleh kerana itu, UMNO bersatu di belakang Najib. Jadi, langkah Mahathir benar-benar memakan dirinya sendiri," katanya.

-- BERNAMA