Khamis, Jun 09, 2011

KEMAMAN CORNER DI THE MALL


Tanpa disedari setiap petang ramai orang Kemaman lepak di The Mall. Kebetulan petang kelmarin bekas ADUN Kemasik, Datuk Haji Abu Bakar Ali menyertai kami seramai enam orang.

Saya, bekas Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Kemaman bersama bekas Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Haji Rahim Husin; bekas pengerusi tetap, Tok Mulu Dalam.Orang luar ialah Fakrul Azman Abu Bakar bekas Ketua Pemuda Keadilan terengganu dan bekas Setiausaha Kerja UMNO malaysia, Datuk Mustafa Mat Yasin dan Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Abang Abdullah.

Datuk Bakar bukan orang baru dalam politik. Beliau lima penggal menjadi ADUN Kemasik dari tahun 1986,1990,1995,1999 dan 2004. Ketika tsunami melanggar Terengganu pada tahun 1999, beliau menang di Kemasik bersama tiga ADUN lain, Datuk rashid Ngah (Seberang Takir), Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Telemong) dan Datuk Rosol Wahid (Ajil).

Itulah kehebatan Datuk Bakar yang tak pernah kalah. Tapi Datuk Bakar tidak dihargai oleh Datuk Seri Idris Jusoh yang menjadi MB dari tahun 2004-2008. Sepatutnya Idris lantiklah beliau sebagai Exco sebaliknya beliau dikekalkan sebagai ADUN.Datuk Bakar adalah pemangku ketua umno bahagian tetapi beliau tewas kepada naib ketua, Datuk Ahmad said dalam perebutan ketua UMNO Bahagian kemaman.

Kini timbul spekulasi siapa bakal menggantikan Ir. Rosli yang ada kes dengan SPRM di Kemasik pada pilihanraya umum akan datang. Tok Mulu Dalam kata Datuk Bakar layak lagi dicalonkan kerana UMNO mahu menang. Katanya, kalau letak YDP Majlis Perbandaran kemaman, Mustaphar Khalid belum tentu menang.

Tok Mulu Dalam menambah jika Datuk Bakar tidak berminat, apa salahnya letakkan anaknya, Fizi. Dia ada kelulusan tapi kalah bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman pada pemilihan 2008. Dia buat bisnes sendiri dan beliau kecil hati dengan Menteri belia dan sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga ahli parlimen Kemaman.

Fizi berani menegur menteri yang berasal dari kemasik itu. Fizi mohon projek di bawah kementeriannya pada pilihanraya umum Sarawak baru-baru ini. Sebaliknya Shabery tidak menolong anak Kemaman sebaliknya menolong penyanyi Hattan yang buat projek itu yang mendapat penajaan sampai RM60 juta.

Ramai yang bersungut dengan kelemahan Shabery yang tidak menolong rakyat Kemaman. Baru-baru ini ada kawan lama saya beritahu saya, shabery tanya kenapa saya banyak mengkritiknya dalam blog saya. Yang hairan kenapa dia tak panggil saya. kenapa perlu hantar orang tengah.

Shabery semakin tidak popular maka beliau cadangkan penubuhan Persatuan Anak Kemaman Di rantauan (PAKAR). Shabery arah Haji Mustafa, timbalan ketua cawangan Gong chengal dan juga ahli jawatankuasa UMNO bahagian kemaman melaksanakan PAKAR.

Maka pertemuan pertama PAKAR diadakan di pejabat Shabery pada 24 Mei lalu. menurut sumber, orang Kemaman yang datang seramai 25 orang sahaja daripada ratusan yang hadir. Kenapa majlis ini gagal? Adakah kerana orang kemaman sudah bosan dengan Shabery? Lebih memalukan Shabery bergaul dengan orang kaya yang datang dengan kereta mewah berbanding dengan orang biasa. Adakah kerana orang kaya sahaja yang mengundi Shabery di Kemaman?

Datuk Rahimlah yang bertanggungjawab membawa pulang Shabery ke Kemaman pada tahun 2000 untuk menentang Nazri salleh. Pada tahun 1998, Shabery kalah bertanding jawatan ketua pemuda kepada ahli parlimen Kemaman, Dr. Ramli taib. Ketika itu saya berkempen untuk Shabery, tetapi apa yang saya dapat daripadanya?

Dalam pertandingan berakit ini Datuk Bakar -vs- Datuk Ahmad said, Shabery menentang Nazri Salleh dari pasukan Datuk Bakar bagi jawatan timbalan ketua manakala Datuk Rahim melawan Haji Shabudin Maidin dari pasukan Datuk Bakar bagi jawatan naib ketua bahagian. Rakit Ahmad Said menang. Dua penggal berada di kerusi naib ketua, akhirnya Datuk rahim disingkirkan oleh Wan Ahmad Nizam, setiausaha politik Ahmad Said pada tahun 2008.

Mengulas mengenai Ahmad sabery ini, Tok Mulu Dalam yang tak cukup pencalonan untuk mencabar Shabery pada tahun 2008, berkata Ahmad shabery ada pun tak ada makna. Dia tak ada pun tak ada makna. Tak ada kesan langsung. Oleh itu pucuk pimpinan patut menggantikan calon parlimen Kemaman jika mahu melihat Kemaman maju. Yang maju bukan Kemaman tetapi Shabery yang maju dari setiausaha parlimen kementerian luar terus menjadi menteri penerangan tanpa menjadi timbalan menteri. Hanya satu sahaja manusia yang dapat keistimewaan ini iaitu Shabery.

Shabery jarang balik kawasan. sebab itu Ahmad said menyindir ada wakil rakyat yang jarang balik pengkalan dalam ucapan perasmian UMNO Bahagian Kemaman pada tahun lepas. Mampukah Shabery bertahan? beliau yang menyokong Datuk Seri Ali rustam dalam pertandingan timbalan presiden UMNO kini sudah menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin.Hanya Najib dan Muhyiddin yang tahu nasib Shabery pada pilihanraya umum akan datang.