Khamis, April 05, 2018

UMNO DIMINTA PECAT TAJUL URUS

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bedong, Merbok, Kedah mahu Exco Pendidikan dan Badan Badan Bukan Kerajaan Kedah, Datuk Tajul Urus Zain dipecat dari Umno kerana menemui anak Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyelesaikan hutang peribadinya.

Menurut Pengerusi JKKK tersebut, Ismail Saad, Tajul Urus yang juga Ketua Umno Bahagian Merbok telah menemui Tan Sri Mokhzani Mahathir pada 11 Januari lalu kerana mahu minta tolong anak Pengerusi Parti Bersatu itu menyelesaikan hutang perniagaannya sebanyak RM50 juta.

Beliau dikatakan telah minta tolong dari pemimpin Umno tetapi mereka tidak mampu menyelesaikan hutang yang banyak itu maka beliau telah minta tolong Mokhzani melangsaikan hutangnya dengan harapan beliau akan mempastikan Parti Bersatu menang di Merbok.

Ismail berkata beliau tidak sepatutnya menjadi duri dalam daging.

" Oleh itu Umno dan Barisan Nasional perlu mengambil tindakan tegas kepada Tajul Urus dengan memecat beliau dari Umno kerana tindakannya itu telah mengkhianati parti," katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Katanya lagi, jika BN masih mengekalkan Tajul Urus sebagai calon maka Umno Bahagian Merbok akan berpecah belah.

"Gambar yang disertakan dalam kenyataan akhbar ini adalah bukti Tajul Urus menemui Mokhzani," katanya lagi.