Rabu, Oktober 09, 2013

EMPAT ORANG TAK LAYAK BERTANDING DI KEMAMAN

KUALA TERENGGANU: Jawatankuasa Pemilihan UMNO Terengganu menyenaraikan 42 daripada keseluruhan 1,567 calon di lapan bahagian UMNO di negeri ini tidak layak bertanding peringkat bahagian dan sayap. Pengerusinya, Datuk Muda Mamat berkata, bahagian Setiu mencatat angka tertinggi iaitu sembilan calon diikuti Kuala Nerus (lapan), Besut (tujuh), Hulu Terengganu (lima), Kuala Terengganu (lima), Kemaman (empat), Dungun (dua) dan Marang (dua). Katanya sebahagian besar daripada 42 calon yang gagal melayakkan diri bertanding terlibat dengan masalah jaminan pinjaman dan muflis yang tidak disedari calon. "Kalau sah tidak lepasi saringan Jabatan Insolvensi dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), terlibat berkaitan jenayah, khalwat dan sebagainya, mereka secara automatiknya akan digugurkan daripada bertanding," katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan menjelang pemilihan UMNO. Pemilihan bagi tiga sayap parti diadakan serentak di seluruh negara Sabtu ini, manakala pemilihan peringkat bahagian dan majlis tertinggi 19 Oktober ini. - BERNAMA