Jumaat, Julai 31, 2009

DATUK SHAHIR DALAM KENANGAN

Bekas Imam Besar Masjid Negara Datuk Ahmad Shahir Daud, sempat menyambung tugas arwah bapanya mengajar agama di surau di kampung kelahirannya di Kampung Selingsing di sini sebelum meninggal dunia akibat barah usus, petang semalam.
Menurut balunya, Datin Naimah Mohd Nawi, 60, itulah khidmat terakhir Allahyarham sebelum menghabiskan sisa-sisa hidupnya sebagai pendakwah selepas berkhidmat dengan kerajaan selama 24 tahun.Ahmad Shahrir, 73, pernah menjadi Pegawai Agama Istana Negara, berkhidmat sebagai Imam Besar Masjid Negara dari 1975 hingga 1980 dan dari 1984 hingga 1992. Allahyarham adalah juga bekas pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malasyia (Jakim)
."Arwah lebih suka bercakap (berceramah) daripada menulis, sebab itu bila berkhutbah di masjid dia tidak suka membaca teks, walaupun disediakan pihak berkenaan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Lorong Merican, Jalan Telipot, di sini Khamis.
Beliau berkata, Allahyarham merupakan pendakwah yang dedikasi, kerana walaupun dalam keadaan uzur beliau sanggup menyampaikan ceramahnya dan semasa hayatnya arwah sering diundang menyampaikan ceramah di Radio Televisyen Malaysia (RTM) cawangan Kota Baharu.
Menurut Naimah lagi, allahyarham uzur sejak beberapa tahun lalu selepas terjatuh ketika mengubah suai rumahnya.Ahmad Shahir meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, kira-kira jam 5.30 semalam, selepas dimasukkan ke hospital kerana menghidap penyakit barah usus pada Selasa lepas.
"Itulah khidmat terakhir arwah sebagai mewarisi tugas arwah ayahnya, Tuan Guru Haji Daud Mohd Amin," kata Naimah. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Tok Kenali, Kubang Kerian, dekat sini jam 11 pagi tadi. Allahyarham meninggalkan tiga anak perempuan dan seorang lelaki serta tujuh cucu.