Rabu, September 07, 2016

PENGGUNA LRT KESAL MASALAH SERING BERULANG

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Ribuan pengguna perkhidmatan Light Rapid Transit (LRT) terkandas berikutan masalah teknikal yang menyebabkan keseluruhan perkhidmatan dari laluan Gombak hingga Putra Heights terjejas bermula 7 pagi tadi.

Paling terkesan, warga kota yang menggunakan LRT untuk ke tempat kerja.

Seorang pengguna, Farhana Azmi, petugas di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata beliau keluar rumah di Pantai Dalam pada 10 pagi untuk masuk ke pejabat pukul 11 pagi dengan menggunakan perkhidmatan LRT di Stesen Kerinchi.

Kebiasaanya, beliau akan tiba pada 10.30 pagi di Stesen Ampang Park dan meneruskan perjalanan dengan menaiki teksi ke pejabat.

"Tiba di Stesen Kerinchi, saya dengar pengumuman menyatakan perkhidmatan tren menghadapi masalah teknikal dan tren bergerak perlahan. Setiap tren berhenti di setiap stesen berikutnya lebih lima minit daripada waktu biasa. Tiba di Stesen Bangsar, tren berhenti paling lama kira-kira 20 minit, sebelum penumpang diarahkan keluar berikutan tren itu telah diberhentikan," katanya kepada Bernama.

Pengumuman yang dibuat menyebut pengguna boleh menunggu atau boleh mendapatkan kembali bayaran di kaunter.

"Saya tanya staf di situ, mereka kata tak pasti bila perkhidmatan akan disambung semula. Saya terpaksa naik teksi untuk ke pejabat dan tiba lewat hampir setengah jam di pejabat disebabkan jalan yang turut sesak," katanya.

Farhana yang merupakan pengguna tetap pengangkutan awam turut melahirkan rasa terkilan kerana masalah sebegitu sering berlaku tetapi kali ini perkhidmatan LRT tergendala paling lama.

Beliau turut menggesa papan makluman diletakkan di setiap pintu masuk stesen untuk memaklumkan pengguna mengenai masalah yang berlaku kerana ramai pengguna yang tertanya-tanya berikutan ia hanya dibuat menerusi makluman suara.

Laman twitter rasmi @AskRapidKL menerima pelbagai maklum balas termasuk luahan rasa tidak puas hati dan terkilan pengguna sejurus selepas ia mengumumkan masalah teknikal yang berlaku, berikutan masalah LRT tergendala sering berulang.

Seorang pengguna, kimbles@kimberly_g menulis 'You can't delay the LRT each time it rains. RapidKL its' probably time to step up'.

Seorang lagi pengguna, dingdong dingdong @dingdongb3ll berkata 'finally arrived office.took me 2h20m from Jelatek to KLCC. add 20 more minutes i'll be arriving Busan from Seoul, same duration.

Laman facebook Rapid KL turut hangat dengan soalan pengguna.

Nabihah Othman menulis "What....x settle2 lg ke? dan Rapid KL menjawab: "Maaf. Masih dalam proses baik pulih. Kami akan beri perkembangan terkini apabila perkhidmatan kembali normal. Maaf atas kesulitan".

Seorang pengguna Kamel Alias, menulis di laman facebook RapidKL 'I feel pity to those yang missed their flight, interview, appointment, masuk keje lambat, kena fired dengan boss, terlepas exam, stucked in train for few hours, kena marah sampai bergaduh dengan boyfriend / girlfriend sebab lambat janji dating... KL ni tak payah kena attack terrorist, bagi hujan sikit terus chaos...

Lee Tze Shern pada kira-kira 11 pagi tadi bertanya 'Still problem? When will be okay? dan dijawab pihak Rapid KL :"Hai. We are still rectifying the issue. Will update once the service resume back to normal. Apologize for the inconvenience caused."

-- BERNAMA

DUA NEGARA LAGI JADI NEGARA SUMBER PENGAWAL KESELAMATAN

PUTRAJAYA, 6 Sept (Bernama) -- Dua buah negara lagi akan menjadi negara sumber tenaga kerja pengawal keselamatan di Malaysia selain daripada Nepal, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata cadangan dua buah negara sumber baharu bagi pengawal keselamatan itu akan dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh terdekat.

"KDN (Kementerian Dalam Negeri) telah bersetuju bahawa syarikat boleh mengambil pengawal keselamatan dari dua negara selain Nepal.

"Namun begitu, tenaga kerja tempatan hendaklah didahulukan dan nisbah pengambilan pekerja tempatan hendaklah dipatuhi," katanya pada majlis pertemuan dengan Ahli Lembaga Pengarah, Pengurus Syarikat dan Pelanggan Industri Kawalan Keselamatan Negara di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Kujat serta Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Berhubung cadangan Kementerian Pendidikan untuk menggunakan khidmat Rela bagi mengawal keselamatan di sekolah, Ahmad Zahid berkata cadangan tersebut ditolak.

"Jika pengawal dan anggota Rela mahu digunakan (mengawal keselamatan di sekolah), mereka mesti diserapkan sebagai tenaga kerja (syarikat kawalan keselamatan)," katanya.

Menurutnya, pada masa ini 800 syarikat kawalan keselamatan sahaja dibenarkan beroperasi di seluruh negara.

Beliau berkata penetapan itu dibuat bagi mengehadkan bilangan syarikat kawalan keselamatan selain mengelak persaingan tidak sihat.

Beliau memaklumkan 47 syarikat kawalan keselamatan dibatalkan lesen pada tahun ini ekoran tidak mematuhi syarat ditetapkan KDN, termasuk pengawal keselamatan di syarikat tersebut tidak menjalani program latihan Pengawal Keselamatan Bertauliah (CSG).

Ahmad Zahid berkata beliau dimaklumkan terdapat 95 syarikat kawalan keselamatan yang masih tidak menghadiri CSG.

"Mungkin syarikat-syarikat ini tidak berminat untuk memperbaharui lesen... mereka diberi masa sehingga 31 Dis ini," katanya.

Beliau menegaskan bahawa CSG diwajibkan ke atas semua pengawal keselamatan dengan menyediakan latihan yang lebih teratur kepada mereka.

"CSG dilaksanakan bukan hanya sekadar memenuhi syarat tetapi untuk melengkapkan pengawal keselamatan agar berada di tahap kesiapsiagaan tinggi agar apabila sesuatu permasalah timbul, mereka mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP)," katanya.

Ahmad Zahid berkata KDN tidak akan berkompromi untuk membatalkan lesen mana-mana syarikat kawalan keselamatan yang dipajak atau disewakan kepada kongsi gelap.

"KDN sedang meneliti syarikat-syarikat terbabit. Kita dapat tahu dan sedang mencari bukti. Seperti dilaporkan media, ada syarikat di mana pemegang saham atau pengarahnya hanya 'window dresser' sahaja, di belakangnya kongsi gelap," katanya.

Bagi mengatasi masalah pembayaran lewat kementerian, jabatan dan agensi kepada syarikat kawalan keselamatan, Ahmad Zahid berkata Perbendaharaan Negara dan ketua setiausaha kementerian, ketua pengarah dan ketua agensi akan menyelaras agar bayaran dibuat dalam tempoh 30 hari selepas tuntutan dibuat.

"Jika mana-mana syarikat dapat bayaran lebih 30 hari, saya akan mengarahkan dua timbalan menteri melakukan tindakan susulan... saya juga sedia membawa perkara itu ke mesyuarat jemaah menteri untuk tindakan," katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia dan SIRIM Bhd untuk mewujudkan piawaian atau standard bagi industri kawalan keselamatan di Malaysia.

-- BERNAMA