Ahad, November 09, 2008

BAHAGIAN PEKAN TIDAK BERANI



Umno Bahagian Pekan membuat kejutan semalam, apabila tetap mencalonkan Datuk Seri Najib Razak untuk jawatan Presiden Umno, walaupun Majlis Tertinggi (MT) sebelum ini, memutuskan supaya bahagian itu dan Umno Bahagian Kepala Batas dikecualikan daripada membuat sebarang pencalonan.

Sebaik mesyuarat bermula pada kira-kira jam 11.30 pagi selepas Najib selesai memberi ucapan dasarnya, seorang perwakilan mencadangkan Najib dicalonkan juga untuk jawatan Presiden dan kemudian disokong semua ahli yang hadir.


Dalam cadangannya itu, perwakilan terbabit berkata, adalah tidak wajar semua bahagian Umno mencalonkan Najib tetapi bahagiannya sendiri tidak berbuat demikian.


“Sehubungan itu, saya mencadangkan Bahagian Pekan tetap mencalonkan Najib untuk jawatan Presiden tetapi akur dengan keputusan tidak mencalonkan calon bagi jawatan lain," katanya.


Tetapi nampaknya Pekan tidak gentleman kerana tidak berani calonkan Muhyiddin atau Ali atau Muhammad untuk jawatan Timbalan Prtesiden UMNO. Malah Pekan juga penakut untuk calonkan tiga orang calon Naib Presiden UMNO.


Sedangkan melalui bahagian ini mungkin Dr. Jamaluddin Jarjis, Dr. Zahid Hamidi dan Hishamuddin akan mendapat pencalonan.


Sekurang-kurangnya bila Pekan calonkan Muhyiddin, ia dapat memberi petunjuk kepada ahli-ahli UMNO bahawa Najib mahu Muhyiddin sebagai timbalannya. Bila Pekan tak buat pencalonan, maka para perwakilan terpaksa buat pilihan sendiri yang mungkin bertentangan dengan kemahuan Najib.


Najib mungkin tidak mahu Muhyiddin yang akan menyukarkan masa depan politiknya. Mungkin Ali yang jadi pilihan Najib kerana Ali lebih bersih dari Muhammad.


Di Wangsa Maju, Muhyiddin dicalonkan untuk jawatan nombor dua tetapi tidak semestinya Najib mahukan Muhyiddin walaupun Wangsa Maju diketuai oleh setiausaha politiknya, Datuk Shafie Abdullah.

TAHNIAH NASIR



Tahniah kepada Datuk Nasir yang mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus dengan majoriti 18 undi malam tadi. Beliau mendapat 225 undi manakala bekas timbalannya, Azmi Abdul Rahman mendapat109 undi dan bekas naibnya, Basir mendapat 207 undi.


Jika berlaku pertandingan dua penjuru, kemenangan mungkin berpihak kepada Basir atau Azmi jika salah seorang menarik diri. Sebaliknya pertandingan tiga penjuru telah menyelamatkan Nasir dari tersungkur.


Dengan keputusan ini, diharapkan ahli-ahli UMNO Kuala Nerus dapat bersatu semula untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang terutamanya untuk merampas kembali kerusi DUN Bukit Tunggal yang merupakan satu-satunya kerusi DUN yang tewas dalam parlimen Kuala Nerus pada pilihan raya umum lalu.


Sebagai ahli parlimen yang baru, kita doakan selamat maju jaya kepada Datuk Nasir. Semoga di zaman Najib kelak beliau akan jadi timbalan menteri atau menteri penuh. Tahniah!

TIMBALAN PRESIDEN DIJANGKA TIGA PENJURU



Nampaknya pertandingan timbalan presiden UMNO pada tahun depan melibatkan tiga penjuru antara Muhyiddin Yassin, Ali Rustam dan Muhammad Muhd. Taib. Ali yang dapat 41 pencalonan semalam sudah layak manakala Muhammad memerlukan tiga pencalonan lagi.


Kemungkinan besar beliau akan mendapat tiga pencalonan lagi pada hari ini. Bila berlaku pertandingan tiga penjuru, bukanlah laluan mudah bagi Muhyiddin kerana dalam tempoh empat bulan akan datang, macam-macam boleh berlaku kepada para perwakilan.


Pencalonan tidak menggambarkan pengundian. Sudah banyak berlaku seorang calon dapat banyak pencalonan bila mengundi kalah. Tak tahu apa faktornya? Adakah wang? Calon B yang hulur lebih dari calon A mungkin menang.


Para perwakilan lebih suka ada pertandingan bagi jawatan timbalan presiden supaya Muhyiddin tidak boleh cakap besar. Yang kedua, bila ada pertandingan perwakilan dapat rasa wang dari ketiga-tiga calon sama ada Muhyiddin, Ali dan Muhammad.


Bagi jawatan Naib Presiden, hari ini Dr. Jamaluddin Jarjis dijangka mendapat cukup pencalonan bersama Dr. Rais Yatim. Ini bermakna pertandingan ini melibatkan lapan penjuru iaitu Hishamuddin, Khaled, Syed Hamid, Isa Samad, Dr. Ahmad Zahid, Shafie Afdal, Dr. Jamaluddin dan Dr. Rais. Biarlah perwakilan menentukan siapa yang layak duduk di tiga kerusi naib presiden itu.